Friday, July 18, 2008

Guess What My Juniors Did On Winter'08

Last two weeks was very hectic moment for me...it was school winter holiday in Queensland. While my darling has to attend one whole week extensive statistical analysis workshop, I need to be very creative in ensuring my two juniors have meaningful school break. I decided that my juniors should have an excursion and as well get new skills.

Well, I do not know how ideas to introduce golf to my kids spark. This winter holiday, the get a kick start to experience golf skills. May be it all starts with the influence of US Open Golf Championship... since then, my kids get so excited about golf. In fact they are with me watching the tournament in the wee hour. My younger son said ‘Tiger Wood is marvellous’ and he enjoys Wood’s putting skills. While, his big brother said ‘Woww...Wood’s tee off so powerful’. In sport history of my two kids, they got the very expensive gifts from me...they got their own golf set worth AUD$100.00(RM300.00) each. I and my darling feel very cheerful to know they’re so excited to do golfing. Just name to them golf concepts ... driver, iron, pitching, putter, eagle, par, birdie, bogey, tee-off, they got the basic. Alhamdulillah, at last our family get together the first time one chill night in winter at Oxley Driving Range during. So quite looking at Ammar when he start to practice teeing off. While his big brother really shown very interesting body posture when teeing off. They had spent four times driving at golf range during the school break, while Ariff (elder son), I took for 18 holes play at Corinda Golf Club for the first time.





Strawberry farm at Palmvile, Sunshine Coast was our family school holiday excursion this time. The location which heading to northern part of Brisbane claimed almost 90 minutes drive from Brisbane. We’re fortunate to had Sharizal’s family convoy with us to the farm. The 120km journey from Brisbane really enjoyable as the view and panorama along the way are beautiful. With TomTom navigator newly installed into my PocketPC, we’re not worry about going into wrong way. This was our first experience picking berries. The kids are so excited to picked and taste fresh berries from farm. I’m so grateful when the big brother asked me why Allah makes the strawberry red in colour! Now my son able to tell which berry is fresh and juicy. Alhamdulillah and mashAllah what are the great school winter holiday we have had. For sure, this might be the last winter in Brisbane ...




Wednesday, July 16, 2008

15 Julai Melakar Sejarah


Imej dari laman web Agendadaily-Penganjur debat


Ramai yang ternantikan tarikh 15 Julai 2008 khususnya di Malaysia. Apakah tarikh ini ada peringatan peristiwa besar berlaku. Tepat jam 9.00 malam waktu Malaysia, satu lakaran istimewa khususnya bagi jiwa yang dahagakan wacana ilmiah pasti ternanti-nanti. Pada tarikh ini dan waktu tersebut, media di Malaysia malah politik Malaysia juga buat julung kalinya memperlihatkan keterbukaan 'sementara' dengan berlangsung debat di antara Menteri, Datuk Ahmad Shabery Chik dengan pemimpin pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim. Secara peribadi, debat yang bertajuk 'Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak' telah mengerakkan senario politik sihat dan amalan media terbuka. Mungkin ini juga adalah akibat tsunami politik yang digegarkan oleh pilihanraya umum ke-12 pada Mac lalu.


Pastinya tajuk debat ini mengundang minat orang ramai tanpa mengira fahaman politik. Ia melibatkan isu ekonomi sosial segenap lapisan masyarakat tanpa ada kekecualian ke atas etnik. Apapun tahniah besar diberikan kepada Datuk Shabery atas kesungguhan dan sikap 'gentleman' untuk berdebat atas tajuk yang pastinya kurang populis di pihak kerajaan. Bagi Dato Seri Anwar, tahniah bukan kerana keupayaan berdebat (semua orang tahu kehebatannya) tetapi berjaya mencipta ruang positif memunculkan diri dalam media arus perdana. Apapun, Datuk Shabery patut diberi pujian kerana berjaya mempamerkan keupayaan berdebat sungguhpun ramai kalangan pemimpin besar negara atau UMNO tidak bersetuju (kenapa...tidak pasti pula).

Berdasarkan analisis akademik, ternyata DS Anwar berjaya mengemukakan formula menurunkan harga minyak. Di pihak Datuk Shabery pula nampaknya beliau seakan-akan gagal menyakinkan kenaikan harga minyak sebanyak lebih 40% itu adalah wajar. Sedangkan kewajaran kenaikan tersebut terus menjadi tanda tanya yang belum terjawab dengan yakin. Tatkala DS Anwar mencadangkan keuntungan Petronas, dividen khas Petronas kepada kerajaan, menskalakan semula rezab IPP, memperbetul tadbirurus subsidi diesel sebagai formula membentuk dana mengurungkan harga petrol sebanyak 50sen selitar dari RM2.70, Datuk Shabery hanya menkonsepkan subsidi wajar di kembangkan kepada aspek yang lain seperti sekolah, makanan dan pembangunan sosial yang lain. Apabila formula DS Anwar itu disifatkan tidak adil kepada usaha bantuan dalam bidang yang lain, ketiadaan jawapan daripada Datuk Shabery berhubung kenaikan minyak 40% itu disifatkan oleh DS Anwar sebagai formula IMF dalam menangani kenaikan harga minyak.
Biar apapun, hati ini serasa ada kepuasan melihat dan menghadamkan minda dengan perdebatan yang sebegini walaupun kerap juga hujah atau debatan dijurus ke arah peribadi pendebat khususnya ke atas diri DS Anwar. Tanpa dapat dinafikan, Datuk Shabery memang sesuai dan ada susuk pendebat berbanding dengan Menteri lain hatta PM sendiri. Semoga usaha yang menguntungkan semua pihak melalui penghujahan sebegini terus mekar kekal di Malaysia demi perkembangan iklim negara yang sihat. Syabas kepada semua...tanpa tsunami politik dalam pilihanraya baru-baru ini, mungkin hasrat melihat debat sebegini hanya igauan semata.

Bahagian 1


Bahagian 2


Bahagian 3


Bahagian 4


Bahagian 5


Bahagian 6

Monday, June 23, 2008

6 Tahun Berlalu...Al-Fatihah

Dikala hampir larut malam, tiba-tiba terasa ingin membelek-belek dokumen-dokumen lama yang disimpan secara digital. Sudah hampir 3 hari tidak membaca cerita politik Malaysia. Tetapi malam ini 'folder' yang naluri kuat menuju ialah 'folder' politik. Setelah beberapa fail dibuka, terdapat satu dokumen tertulis Fadzil Noor. Hari ini, 23 Jun enam tahun yang lalu, negara kehilangan seorang tokoh politik yang agak tersohor iaitu Dato Ustaz Fadzil Noor mantan Presiden Parti Islam SeMlaysia (PAS). Ustaz Fadzil yang dilahirkan pada Mac 1937 telah kembali kerahmahtullah ketika usia 65 tahun. Masih teringat lagi ustaz telah diberi penghormatan yang baik daripada kerajaan walaupun beliau merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia ketika itu. Jenazah beliau telah diterbangkan khas dengan pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia dari Kuala Lumpur ke Kepala Batas, Alor Setar.

Pada mulanya memang aku berhasrat untuk hadir ke majlis pengebumian Ustaz, tetapi disebabkan kelewatan jenazah tiba di Alor Setar dan juga kerja-kerja di pejabat telah menyebabkan hasrat itu terbantut. Ditambah lagi nasihat dan makluman dari rakan-rakan yang lebih dahulu sampai di tempat bakal beliau disemadikan, dipujuk hati untuk melupakan hasrat tersebut. Kesesakan kenderaan ke tempat pengebumian beliau di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena telah kelihatan dari Alor Setar lagi. Di Madrasah inilah juga membuat aku terkenang bersua secara nyata dengan Ustaz Fadzil tatkala beberapa kali mendengar ceramah beliau ketika menuntut di universiti dahulu hinggakan dipanggil bersoal jawab dengan pihak pengetua kolej kediaman.

Sebagai bekas Pensyarah universiti, Ustaz Fadzil mempunyai kehebatan berpidato yang bersahaja tetapi tetap mantap. Ini diakui sendiri oleh beberapa ahli politik termasuk di kalangan bukan Islam. Bagi aku, sumbangan besar Ustaz Fadzil ialah meletakan PAS dalam arus perdana politik Malaysia. Malah yang lebih terkesan ialah gerakan dan perjuangan Islam untuk kesejahteraan semua. Tanpa dapat dinafikan beliau dianggap sebagai tokoh pemimpin PAS yang mahsyur dalam politik moden Malaysia. Semoga allahyarham sejahtera di sana...Al-Fatihah.

Tuesday, June 17, 2008

Hitam itu menawan!

Minggu lepas terasa sangat meletihkan. Mengadap komputer mentranskripsikan temubual kajian bukan sahaja meletihkan tetapi agak tertekan. Adakalanya bagaikan nak termuntah, marah, tertekan, menyesal, ... dan sebagainya. Namun memujuk hati, apa pula keadaan kehidupan orang kampung, orang miskin, orang susah tatkala harga minyak naik. Rasanya membaca penjelasan dan berita tentang hal-hal tersebut lagi memualkan.



Barack Obama dan Tiger Woods

Kehidupan umpama bola, kekadang di atas, adakalanya di bawah. Malah bola sepak juga sudah berubah dari segi bahan, kualiti dan coraknya. Minat, harapan dan kepercayaan manusia juga berubah. Siapa sangka, dua 'budak' hitam telah mempengaruhi pandangan serta kehidupan orang putih di abad ke-21 ini. Lebih seminggu yang lepas, bekas Wanita Pertama (First Lady) Amerika tunduk menghormati hak ramai yang menyokong Barack Obama sebagai calon Presiden Amerika. Siapa sangka 'budak' hitam itu bakal memimpin negara nombor satu dunia.
Keletihan pada minggu lepas juga telah mengundang minat untuk menonton televisyen. Tatkala selepas subuh mula menurunkan tirainya, beberapa transkripsi dilakukan, alat kawalan jauh tv ditekan punatnya. Pertandingan Golf Terbuka US kali ke-108 yang memulakan episod baru terpancar di kaca tv. Lama sudah sukan ini ditinggalkan sejak menapak di Brisbane ini. Hampir 2 tahun lebih hanya 3 kali sahaja batang-batang golf hinggap ditangan. Tetapi episod Terbuka US ke-108 ini agak berbeza. Tiger Wood, jaguh golf yang terkemuka menjadi tumpuan. Tiger Woods yang baru menjalani pembedahan lutut dijangka kurang menyerlah. Beberapa berita yang dibaca juga memberi sedikit keadaan tidak mesra 'orang putih' kepada 'budak hitam' ini. Memang sejak hari pertama lagi bukan sahaja para pengulas bersikap sedikit 'tidak mesra' terhadap Woods, malah ada juga penonton yang mencemuh 'budak hitam' ini. Inilah realiti yang terpancar ditengah-tengah siaran langsung kejohanan tersebut tanpa dapat diselindung. Namun bintang golf tersebut tetap mendapat sambutan hangat.
Ramai orang kata GOLF adalah permainan 'Golongan Orang Lemah Fikiran'. Tetapi menyaksikan para pemain terutamanya Tiger Wood, golf adalah permainan yang mencabar fizikal, perasaan, minda, dan persekitaran. Bermain golf anda menguji kecekalan dan ketabahan diri kerana kekalahan dan kemenangan kesemuanya dalam kawalan anda ... orang lemah fikiran sewajarnya bermain golf untuk meningkatkan jati diri. Ada orang kata Woods hebat kerana dia Tiger Woods, ada orang kata dia hebat kerana Allah kurniakan keistimewaan kepadanya. Apa pun begitulah pemurahnya Allah dan hebat ciptaanNya.
Rupanya setelah puluhan tahun, Barack Obama muncul menggantikan Martin Luther King sebagai wira 'hitam' di dunia 'putih'. Manakala Tiger Woods pula mengambil tempat Muhammad Ali... dua budak hitam dalam dunia putih yang pasti kelihatan menawan.

Monday, June 09, 2008

Yang Ditunggu Tiba Lagi

Sejak berada di bumi Brisbane ini, awal tahun dan pertengahan tahun merupakan saat yang dinantikan. Bukan sebabnya ia detik permulaan 'summer' dan 'winter' di sini, tetapi kebiasaannya pada dua ketika ini ramai pencinta buku yang agak kekurangan 'isi dompetnya' membeli sakan. Brisbane Lifeline Bookfest bagi tahun ke-18 edisi kedua kembali lagi. Dengan hampir 1 juta naskah buku terpakai bakal menjadi milik pengunjung, manakala hasilnya disalurkan pula kepada perkhidmatan kaunseling percuma kepada masyarakat di sini.




Seperti tahun terdahulu, pesta buku ini diadakan di Brisbane Convention Center bermula 7 hingga 10 Jun 2008. Dengan harapan untuk tidak terkilan, seawal 8.30pagi kami sekeluarga bergegas ke sana dengan harapan untuk menjadi antara pengunjung terawal dan demi mengelakan kekecewaan. Baru 8 minit dibuka, tiga ruang pameran yang setiap satu seluas 5000 meter persegi sudah dipenuhi orang ramai. Untuk mengoptimakan masa, anak-anak (Ariff & Ammar) ditinggalkan di bahagian buku kanak-kanak agar mereka mencari sendiri buku yang diminati. Aku dan isteri masing-masing mencari buku yang berkenan di hati. Setelah hampir 2 jam, kami berkumpul semula dan beredar ke kaunter bayaran. Kesemuanya 48 buah buku kami sambar dengan nilai hanya AUD52 (sekitar RM150). Memang berbaloi, hampir 8 buah buku kulit tebal yang kami dapatkan. Kalau ikutkan hati hendak lagi lama di situ, namun apakan daya bila anak-anak mula tak senang duduk dan kepenatan.



Bersama sebahagian buku dari Lifeline Bookfest 2008


Buku-buku yang dijual diperolehi dari dalam dan luar negara. Banyak juga buku-buku akademik yang hebat (awal...dah kuningpun) boleh diperolehi jika bernasib baik. Apapun, bila agaknya pesta sebegini akan berlaku di negara sendiri. Moga satu hari nanti ia akan berlaku dan semoga masyarakat Malaysia menjadikan membaca buku sabagai satu budaya sepanjang hayat. Malah bagi umat Islam, mencari ilmu dengan membaca membawa makna yang cukup besar.

Wednesday, June 04, 2008

10sen...Ooohh..30sen...Haaa..78sen

Dua hari lepas, menteri yang bertanggungjawab meramalkan harga petrol di Malaysia akan naik tiga puluh sen seliter mulai Ogos 2008. Tetapi hari ini, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa harga petrol di Malaysia akan naik mulai 5 Jun 2008 dengan kenaikan bukan 30sen tetapi 78sen dari RM1.92/liter kepada RM2.70/liter. Rupa-rupanya badi tsunami pilihanraya ke-12 Malaysia baru-baru ini seakan-akan petanda pelbagai lagi tsunami akan melanda berbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia. Dengan maklumat yang berjaya dikumpul, kenaikan kali ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah sekitar 20 tahun kebelakangan ini iaitu kenaikan 40.6% daripada harga sebelum ini.

Sebelum 90an - RM 0.89
Tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)
01/10/2000 - RM 1.20 (kenaikan RM 0.10)
20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)
01/05/2002 - RM 1.32 (kenaikan RM 0.02)
31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
01/03/2003 - RM 1.35 (kenaikan RM 0.02)
01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)
01/10/2004 - RM 1.42 (kenaikan RM 0.05)
05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)
31/07/2005 - RM 1.62 (kenaikan RM 0.10)
28/02/2006 - RM 1.92 (kenaikan RM 0.30)
05/06/2008 - RM2.70 (kenaikan RM 0.78)


Walaupun kenaikan adalah pasti (seiring dengan fenomena sejagat), namun kenaikan yang mendadak ini pastinya sukar buat masyarakat. Pengalaman di negara orang ketika ini menyatakan, kenaikan harga petrol menjanjikan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang lain. Di Australia umpamanya, kenaikan harga petrol hampir 50% berbanding dengan harga pada 3 tahun lepas. Namun kenaikan tidaklah begitu mendadak secara sekaligus. Walaupun harga petrol melonjak naik, namun masyarakat di Brisbane umpamanya masih mampu mengawal keadaan ekonomi masing-masing memandangkan sistem serta infrastruktur pengangkutan awamnya memang boleh diharapkan dan boleh dipercayai. Bukan setakat bas masuk hampir setiap pelusuk kawasan, malah sistemnya bersifat intergratif lagi sistematik. Itupun masih lagi kedengaran suara dan luahan ketidakpuasan masyarakat terhadap sistem yang bagi saya mendahului Malaysia 10 tahun kehadapan. Sekurang-kurangnya, walaupun petrol masih mahal, kebajikan dan kemudahan masyarakat terus terjamin. Hatta, sejak kos petrol meningkat mendadak sekitar 2 tahun lepas, pihak pengusaha pengangkutan awam sudah mula merangka strategik menangani permasalahan ini. Kini, boleh dikatakan sekurang-kurangnya 40% bas di Brisbane bukan sahaja rendah kos bahan apinya, tetapi mesra alam juga dengan lebih 35% daripada jumlah basnya menggunakan gas (CNG) berbanding petrol. Malah jadual dan segala maklumat lengkap perjalanan bus disediakan menerusi internet. Namakan saja anda di mana dan ke mana hendak pergi, beberapa cadangan laluan berserta jam dan jarak menunggu bas semuanya anda tahu.

Bas awam di Brisbane
Bagaimana halnya keadaan pengangkutan awam tatkala petrol meningkat di Malaysia...rasanya makin 'bermasalah' lagi berkemungkinan. Kekadang terfikir juga...apa pak/mak menteri, pegawai tinggi kerajaan atau pegawai-pegawai kerajaan buat bila melakukan lawatan kerja seluruh dunia? Dari mulut seorang bekas pegawai perancang bandar DBKL yang saya temui di Brisbane hampir 2 tahun lalu, katanya ...'KL sekarang umpamanya dah patut jadi macam Brisbane sekurang-kurangnya Brisbane 5 tahun lalu...kita dihantar untuk mengkaji dan menerapkan sistem infrastruktur Brisbane ke KL. Tapi bila 'orang politik' mula masuk, cadangan tinggal kenangan...'.



Tuesday, June 03, 2008

Harapkan Pagar ...Pagar Makan ...

Masalah jenayah berlalu dan silih berganti tanpa meletakkan titik noktah. Sejak mengenali penyalahgunaan dadah dan seangkatan dengannya, hari demi hari berita penangkapan penagih, pengedar dan penyeludup dadah tidak pernah terhenti. Secanggih mana sekalipun peralatan dan teknologi pencegahan, masalah ini tidak pernah terhenti. Bukan baru usaha dilakukan untuk membenteras jenayah ini, sudah berzaman dan berdekad...keadaan tetap sama. Undang-undang jenayah dadah di Malaysia bukan calang-calang. Pernah Malaysia hampir 'berbalah' dengan negara jiran serta serantau apabila hukuman kesalahan dadah dijatuhkan ke atas rakyat asing. Tetapi jenayah dadah di Malaysia tiada penamat.


Semasa kecil, tatkala keluarga menyewa kongsi sebuah rumah di tengah-tengah bandar Georgetown, gejala ganja dan dadah tidak asing. Boleh dikatakan tiap minggu pasti terserempak anak jiran serumah hanyut dengan dadah. Sedih, kasihan malah takut ada saja pada perasaan. Alhamdulillah, kami adik-beradik tiada seorangpun yang terkesan dengan fenomena 'bahana' serumah tersebut. Apabila teringatkan si anak jiran tu, kelakar pun ada juga. Bila mana si mamat ni 'high' menarik pula cerita-ceritanya yang terkeluar dari mulutnya. Lebih hebat lagi bila mengenangkan nasihat-nasihat daripada dia sendiri agar jauhi ganja dan dadah ... mungkin inilah yang dikatakan sedar tetapi miskin atau 'papa' hidayah.


Sejak di sekolah menegah lagi, persoalan sosial seperti ini kerap otak ini memikirkan musabab dan penyelesaian. Bingung juga bila macam-macam dilakukan oleh pelbagai pihak, tetapi masalah tetap berlanjutan. Membaca suratkhabar The Australian pagi ini mengesahkan lagi hipotesis yang terbenak sekian lama jauh dalam pemikiran. 'Top cop arrested over $120m ice scheme' dengan sebuah foto terpampang besar di muka depan akhbar The Australian. Seorang Pesuruhjaya Kanan Polis telah ditangkap kerana disabitkan dengan sindiket penyeludupan dadah ke Australia. Mark Standen, Penolong Pengarah Suruhanjaya Jenayah telah dikenalpasti oleh pihak perisikan Australia sebagai individu penting dalam usaha menyeludup dadah ke negara itu. Malah menurut laporan akhbar tersebut, beliau bukan sahaja dalang dalam proses menyeludup, tetapi juga telah melaksanakan strategis dalam 'menyilap mata' usaha penguatkuasaan. Benarlah teori dalam Islam yang menekankan aspek kepimpinan dan pemimpin. Pemimpin itu haruslah taat kepada Allah serta Rasul. Kalaulah kita punya ketua atau pemimpin di kalangan umat Islam, yang ketaatannya pada Allah serta Rasulpun sudah goyah...apakah mungkin mampu memimpin kita ke arah kesejahteraan dunia apatah lagi akhirat.




Mark Standen


Berbalik kisah di Australia tu...mungkin juga di 'kampung kita' perkara yang sama berlaku...

Sunday, May 25, 2008

Shanghai Oktober 2007 ... Catatan 2


University of Shanghai

Persidangan antarabangsa buat sulung kalinya ini adalah anjuran Global Communication Association (GCA) yang ditunjangi oleh Perdue University, USA. Global Communication and Development Conference ini berusaha mengumpulkan pemikir, penyelidik dan pengamal bidang komunikasi untuk berwacana berhubung peranan komunikasi dan perubahan serta pembangunan masyarakat. Namun buat pertama kali ini, banyak kertas kerja di dominasi oleh rakan-rakan dari China memandangkan University of Shanghai menjadi hos bersama GCA. Agak ternyata bahawa kerangka pemikiran bidang komunikasi di China banyak dilatari oleh pemikiran sosialis. Kertas kerja para professor pengajian komunikasi dari China jelas menampakan pengaruh pemikiran sosialis. Namun di kalangan golongan 'muda' China pula terkesan aliran pemikiran 'post-modernism'.

Dewan persidangan yang canggih ala PBB dengan tiap deligasi punyai paparan sendiri
Persidangan ini begitu menarik apabila diskusi berhubung aliran pemikiran pro-komunisme dan liberalisme terbibit dalam beberapa pembentangan. Hospitaliti yang disediakan oleh penganjur khususnya dari China begitu merangsang. Hari pertama menjejak kaki masuk ke dewan persidangan antarabangsa University of Shanghai, dengan mendadak persepsi terhadap China gugur sedikit demi sedikit. Malah apa yang dirasakan ini tidak terkecuali bagi peserta khususnya dari dunia Barat. Tempat persidangan yang cukup kondusif dengan alat bantuan audio visual yang moden, ditambah dengan terjemahan selari antara bahasa Inggeris dan Mandarin, menjadikan komunikasi cukup bermakna. Dengan perasaan bangga terhadap identiti diri, hampir 70% pembentang dari negara China membentang kertas persidangan mereka menggunakan bahasa Mandarin termasuk beberapa professor tersohor mereka. Rasanya fenomena ini membawa falsafah tersendiri dalam membicarakan mauduk 'Komunikasi Global dan Pembangunan'. Namun apapun, rasa ada satu kepuasan membentangkan kertas kerja yang cuba membugar satu perspektif sejati dalam komuniti akademia dan pada masa yang sama kerja dakwah oleh diri ini terus bernyawa.

Bersama Prof. Yahya Kamalipur (Pengasas GCA) & Seong Bin (Korean)


'Otai'- seorang seniman jalan yang cukup mencuri perhatian



Sunday, April 27, 2008

Shanghai Oktober 2007...catatan 1

'Untapped Potential: Cultural Sensitivity-Islamic Persuasive Communication in Health Promotion Programs' telah menerbangkan diri ini ke negara ke-3 sebelah utara Asia. Selepas menerima anugerah hadiah 'Look East Policy' pada 1996, lebaran abad baru pada 2001 telah dikurniakan rezeki Allah untuk berkhidmat di Phom Phen, Kemboja. Kini giliran China pula destinasi dihantar. Penyertaan kali ke-4 persidangan antarabangsa kali ini cukup mencabar kerana inilah kali pertama pengembaraan secara 'solo' dilakukan.


Hotel Four Point-Sheraton


Bilik hotel yang cukup menarik


Pesawat MAS yang bertindak untuk memulakan pendaratan memberi pemandangan yang tiada sangat bezanya antara Alor Setar, Phom Phen dan Tokyo. Seawal memulakan hari baru di tempat baru, aku sudah terkena. Rupanya teksi 'haram' lagi ligat di bandar perniagaan utama China ini. Apa-apa pun semuanya terasa lega tatkala sampai di hotel penginapan yang diluar jangkaan. Perjalanan dari Pudong Airport mengambil masa hampir 1 jam pada pagi itu. Kesesakan lalu lintas jauh teruk lagi dari Kuala Lumpur ditambah dengan ratusan ribu kenderaan tenaga kaki yang meluru lagi bersimpang siur.


Pemandangan di sebuah lebuhraya sekitar jam 9.00pagi


Tempat letak basikal sekitar sebuah pasaraya

Deretan kenderaan kuasa manusia

'DOA'

Entah kenapa tiba-taba sahaja terdetik untuk mendengar koleksi lagu-lagu yang lama sudah tidak didengar. Dengan takdir Allah juga lagu nyanyian Rahimah Rahim diklik...mendengar lagu tersebut tatkala dingin malam membuat hati cukup sayu mengenang diri yang Allah berikan sedikit masa melalui duniaNya ini. Ingatan juga mengamit suasana ketika di alam kanak-kanak dan remaja. Lagu berjudul 'Doa' ini kerap terdengar dicorong radio pada waktu tengah malam dan juga tatkala subuh mula melangkah. Semoga klip video ini ada keinsafan buat kita yang pasti selalu leka akan 'bila tiba saatnya nanti'.



Hanya padaMU
Aku Meminta
Sesungguhnya KAU PEMURAH
Ampuni Segala Dosaku
Kesejahteraan Kedamaian
Keimanan Ketaqwaan
Pintaku dari MU Tuhan

Selawat Serta Salam
Buat Nabi Junjungan
Kepada Muslimin
Juga Muslimat

Ya ALLAH Ya Tuhanku
Aku Mendengar Seruan
Dan Hanya Kepada MU Ku Beriman
Kerana MU Aku di Sini
Kepada MU Aku Kembali
Apabila Tiba Saatnya Nanti
Sehingga Tiba Detik Itu
Ku Bermohon Hanya Dari MU
ENGKAU Peliharalah Diriku

Dengan Nama MU
ALLAH Yang Agung
Yang PENGASIH, Yang PENGAMPUN
Kepada MU Ku Berlindung

Wednesday, April 23, 2008

Ajal itu pasti ... 2

Allahyarham Boestamam dan allahyarham Rustam



Lebih kurang jam 6.30pagi (sekitar waktu kebiasaan orang bangun bertahajut di Malaysia ... 4.30pagi) 22 April, deringan panggilan telefon melenyapkan kelekaan melayari internet seketika. Innalillah... berita kepulangan ayah Zul OT dimaklumkan. Lantas rakan-rakan membuat persiapan untuk menunaikan Solat Ghaib pada petang 22 April.



Hari ini tatkala menjemput anak-anak dari sekolah, rakan menyapa dan maklumkan seorang penulis dan pemikir luar biasa di Malaysia telah kembali ke rahmahtullah. Rustam A. Sani bukanlah nama yang agak baru kepada diri ini. Nama beliau yang juga tersenarai sebagai penulis idola diri ini, telah mencuri hati tatkala masih di tingkatan 2 lagi (sekitar tahun 89). Memang benar kata Lutfi Othman (dalam Harakah) bahawa Rustam punyai kurniaan Allah yang cukup istimewa yakni keupayaan menterjemah pemikiran kritikal lagi kompleks dalam bahasa yang mudah difahami. Kehebatan Rustam yang merupakan bekas pensyarah universiti mengenegahkan isu atau persoalan besar dalam negara tatkala beliau masih dalam kerangka media arus perdana cukup menambat hati. Ketika mengupas sesuatu isu, Rustam tidak hanya menjelaskan persoalan tersebut tetapi menampilkan kerangka pemikiran yang menyumbang kepada isu berkenaan. Dengan demikian beliau mampu menjadikan pembaca bukan sahaja tahu tetapi faham akan perkara tersebut. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang bermakna buat mereka yang suka dan cintakan kepada pemikiran. Yang pasti jaringan blog beliau dalam blog ini akan meninggalkan satu nokhta dengan tanda tanya, apakah ada lagi keturunan Ahmad Boestaman yang bakal melestarikan pemikiran Rustam dan ayahnya (Boestaman). Semoga allahyarham Boestamam, Rustam dan Abdul Rahim (ayah Zul OT) mendapat rahmatNya... al-Fatihah.

Saturday, March 08, 2008

Makna 8 Mac 2008

Ramai yang bertanya mengapa menyepi ... bukan saya sibuk berkempen pilihanraya, bukan saya sudah kering minda, mandul menulis atau penyelidikan PhD mematikan saya berblog, tetapi itulah iman kita, saya ditakdirkan tidak sihat dalam satu tempoh yang agak panjang. Manusia boleh merancang, manusia boleh berusaha untuk tidak berlaku sesuatu atau untuk berlaku sesuatu. Tetapi sebagai seorang Islam, kita beriman dengan qada dan qadar Allah. Teringat saya akan rakan dari Timur Tengah yang menyapa saya setelah selesai solat Zohor 3 hari yang lalu, "How are you brother?", jawab saya "Not that good!". Lantas dia berkata, "No, you're good...good...fine". Tersentak di bawah bumbung mussola (surau) itu, secara spontan mult menjawab "Yap, you're right, alhamdulillah I still can performed solat in jamaah". Benarlah, kita selalu terlalu berfikir tentang apa yang berlaku ke atas kita sehinggakan kita sering lupa apa tangggungjawab kita kepada pencipta kita. Kalau dah sakit, susah, derita, ditekan pun kita masih tidak terfikir ada lagi nikmat Allah kepada kita, apakan pula tatkala kita sudah selesa, senang dan sihat?

Tarikh hari ini sungguh bermakna khususnya buat diri ini. Setelah menjangkau hampir 3.5 dasawarsa, rasanya sudah banyak nikmat Allah berikan dan terasa pula masih banyak yang diri ini perlu pulangkan kepada ummah dan masyarakat. Selain itu ia juga merupakan tarikh bermakna bagi Malaysia dalam menentukan kepemimpinan kerajaan menerusi pilihanraya umum ke-12. Ramai yang meramalkan pilihanraya kali ini agak sengit kepada Barisan Nasional. Kata orang, kebangkitan rakyat untuk berubah angin pemerintahan juga semakin tinggi, pembangkang semakin bersatu, rakyat rasa tertekan, masalahan dalaman parti komponen Barisan Nasional dan pelbagai lagi. Apa pun saya tetap yakin bahawa majoriti 2/3 masih dalam tangan BN. Kemungkinan yang agak pasti kepada parti pembangkang ialah peningkatan dalam undi popular dan pertambahan beberapa kerusi parlimen mahupun dewan undangan negeri. Saya juga berpendapat beberapa buah negeri di sebelah utara Malaysia bakal membentuk kerajaan baru yang dipimpin oleh parti pembangkang.

Masa 10 tahun dalam gerakan menyokong atau sebenarnya gerakan simpati kepada parti-parti pembangkang adalah masih muda. Sekurang-kurangnya saingan yang betul-betul sengit hanya akan mampu dilakukan oleh pembangkang adalah di antara 10 ke 20 tahun lagi. Faktor masa tersebut ada kaitan dengan proses penyuburan (cultivation) terhadap pemikiran. Tetapi faktor masa ini boleh berubah agak awal lagi sekiranya media massa menyediakan gelanggang yang 'gentleman' kepada parti-parti politik khususnya politik kepembangkangan.

Apa-apa pun, semua pihak wajar mengiktiraf apa saja keputusan yang bakal berlaku. Kepada pihak yang menang, TAHNIAH dan tanggungjawab anda pasti disoal 'di sana' kelak. Kepada yang memilih (mengundi) anda telah menentukan nasib anda dan juga bakal ditanya 'di sana'.

Wednesday, January 30, 2008

Ajal itu pasti ...

Tatkala dalam penerbangan ke Shangai Oktober lalu, berita Benazir Bhutto hampir terbunuh mengejutkan ramai. Lantaran hampir sebulan sejak Disember lalu beberapa nama besar dalam dunia Islam tempatan dan luar negara melakarkan noktah sejarah. Bermula dengan pembunuhan Benazir Bhutto pada 27 Disember 2007, diikuti pula dengan pemergian seorang lagi negarawan dari dunia Islam yang besar iaitu bekas Presiden Indonesia Pak Suharto pada 27 Januari 2008. Tatkala pagi ini selepas membaca akhbar News Strait Times, agak terperanjat pula membaca berita Harakahdaily yang menyatakan Dato Ishak Baharom kini dalam keadaan tenat. Ketika berusaha mendapatkan maklumat terkini beliau sekitar jam 4.00 petang tadi, agak tergamam sekali apabila diberitakan tokoh Islam besar di Malaysia ini yang juga bekas Mufti Negeri Selangor telah kembali menemui penciptanya. Tanpa sedar bergenang air mata ketika membaca berita tersebut kerana Allahyarham merupakan antara responden berpotensi dalam kajian PhD saya setelah tiada maklumbalas daripada Mufti Perak dan keenggan Mufti Perlis untuk ditemubual.




Namun apa pun pengajaran besar yang boleh saya iktibarkan di sini ialah, ajal itu pasti ... mengenang mereka yang telah meninggalkan kita juga pasti, namun yang lebih penting apakah yang telah kita tinggalkan kepada agama atau ummah kita jauh lebih bererti. Saya menghormati dan menyanjungi Dato Ishak Baharom tatkala begitu ramai 'ulama', mufti, ustaz, pendakwah ... tetapi allahyarham berani menyatakan yang hak tentang ammar makruf nahi munkar. Semoga allahyarham Dato Ishak Baharom bersemadi dengan peninggalan yang cukup berharga untuk kita yang masih hidup .... Al-Fatihah

Sunday, January 20, 2008

Media & Pilihanraya

Masa berlalu tanpa dapat kembali, tetapi kita masih mampu untuk berbuat sesuatu demi masa depan. Begitulah resam masa, kali terakhir catatan di blog ini adalah pada tahun lepas ... 2007. Kini sudah 11 hari umat Islam di tahun baru 1429 Hijrah dan 20 hari pula telah kita jangkau tahun 2008. Namun masih tidak lewat untuk saya ucapkan selamat tahun baru.

Pastinya di Malaysia kini, cakap-cakap pilihanraya ke-12 menjadi sajian di samping nasi lemak, nasi kandar, roti canai dan entah apa-apa lagi. Tanda-tanda pilihanraya amat jelas sejak awal Disember 2007 yang lalu. Mengimbau kembali sejarah gerakan propoganda tentera bersekutu ketika Perang Dunia I dan II, menjelaskan teori yang sama setiap kali pilihanraya semakin hampir. Sebagai pemikir dan pengkaji komunikasi, media arus perdana di Malaysia telah menjadi perantara yang amat jelas bagi parti pemerintah. Bila mana RTM mengumumkan siaran Warta Perdana (berita) dipanjangkan masanya dari amalan biasa, ia merupakan satu indikator yang makin menyakinkan bahawa pilihanraya begitu hampir. Isi kandungan berita media perdana seperti RTM dan TV3, kebelakangan ini penuh dengan berita 'keprihatinan' pihak pemerintah terhadap hal rakyat. Hatta pihak pemerintah malah pihak pembangkang juga menerima 'habuan' akibat keperitan bencana banjir di Malaysia baru-baru ini. Namun dalam situasi massa, pastinya pihak pemerintah lebih 'untung' kerana menguasai media dan dana.

Di pihak pembangkang pula gerakan kempen pilihanraya nampaknya lebih 'high-tech' dan sedikit canggih. Tanpa akses kepada media arus perdana, pembangkang tidak mempunyai jalan lain selain memaksimumkan kecanggihan teknologi komunikasi seperti internet. Sekarang ini, menurut pengamatan saya, siaran media atas talian (on-line) pihak pembangkang menjangkau pihak pemerintah. Ini bukan kerana pihak pemerintah cetek teknologi, tetapi mereka miliki media 'naga'. Manakala di pihak pembangkang pula, keadaan dibataskan akses terhadap media perdana menyebabkan mereka agak inovatif. Apapun setiap kali musim pilihanraya, pastinya media akan membogelkan diri mereka disebalik janji-janji mereka seperti 'Penyebar Fikiran Rakyat', 'Cetusan Hati Naruni Rakyat', 'The people's paper', 'Tepat,Tegas'Terkini' dengan menjelmakan wajah di sebalik topeng slogan-slogan mereka.

Namun berita pada hari ini amat menarik apabila dua pemimpin institusi kesarjanaan membuat penafian pelajar universiti mereka akan menubuhkan sebuah parti politik untuk bertanding pada pilihanraya nanti. Selain membuat penafian mereka juga terus menegaskan larangan pelajar berpolitik kerana AUKU. Tetapi yang paling menarik ialah hasrat mahasiswa universiti untuk menubuhkan parti politik. Apakah golongan ini sudah jelak dengan parti-parti politik sedia ada? Apakah idealisme mahasiswa tidak mampu digarap dan dijuangkan oleh parti politik semasa? Apakah golongan yang dianggap 'cerdik pandai' yang juga semakin ramai ini merasakan suara mereka lebih ideal diwakili dikalangan mereka sendiri. Atau setidak-tidaknya tindakan kumpulan mahasiswa ini merupakan satu manifestasi terhadap sistem, ruang dan amalan demokrasi pilihanraya di Malaysia mahupun sistem demokrasi/kepolitikan di Malaysia umumnya.

Menurut rakan-rakan 'di dalam' menjangkakan pilihanraya antara lepas Tahun Baru China dan bulan Mac. Pastinya hanya Perdana Menteri Malaysia ada tarikh yang pasti. Namun kempen pilihanraya akan tetap menarik minat ramai terutamanya para pengkaji komunikasi dan politik.

Thursday, December 20, 2007

Salam Eidul Adha

Di kesempatan ini, saya sekeluarga mengucapkan Salam Eidul Adha 1428 buat sanak saudara, seluruh warga Persatuan Pelajar Melayu Queensland, rakan-rakan di Australia, rakan sekerja di UUM dan semua kenalan. Semoga pengajaran serta ibadah korban yang kita laksanakan mendapat keredhaanNya serta menjadikan kita terus istiqomah dalam menyebarkan risalah Islam demi kebaikan sejagat. Jadikanlah Eidul Adha kali ini titik pengerak untuk kita terus berjihad di jalan Allah dengan pengorbanan-pengorbanan yang telah Allah nikmatkan kepada kita.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, walillahil hamd.

Monday, December 17, 2007

RM2.5 juta: Wang atau Nilai Kemanusiaan!

Tatkala berada 'sebentar' di Malaysia, rutin harian yang dilepaskan 2 tahun lalu dapat dinikmati kembali. Mencari berita menarik, menyelak helaian-helaian akhbar tempatan mengambarkan agak serius masalah sosial dan kehidupan di Malaysia. Namun entah bagaimana, berita-berita mahkamah menarik minat. Sebenarnya berita mahkamah kurang diminati sebab seringkala ia dilakukan hanya untuk mengisi ruang di mana pemberita/penulis sudah hilang idea ... mana tidaknya, kalaulah berita itu disiarkan atau mendapat liputan sepanjang tempoh perbicaraan, sedikit sangat intipati baru yang dijelmakan. Selainnya hanyalah ulangan fakta kes yang 'dizikirkan' berulang kali. Apapun, membaca segala bentuk kes mahkamah sama ada dalam proses perbicaraan mahupun rayuan, menggambarkan hakikatnya betapa manusia itu selamanya tidak akan terlepas dari dihitung selama-lamanya. Di dunia, undang-undang manusia menghukum manusia tetapi hukuman yang pastinya benar sebagai seorang Muslim adalah di 'padang mahshar' nanti.

Sesuatu yang pasti tentang undang-undang ialah demi kepentingan manusia. Penting sama ada untuk menjamin kesejahteraan umum mahupun demi kepentingan mereka yang mencipta undang-undang tersebut. Yang kedua ini mungkin dilihat sebagai manipulasi undang-undang, tetapi hakikatnya itulah undang-undang ciptaan manusia. Atas dasar itu jugalah dan menghayati bahawa manusia (penggubal dan pelaksana) adakalanya menggunakan undang-undang demi kepentingan sendiri malah hakikatnya bahawa manusia itu tidak sempurna maka diwujudkan proses semakan atau rayuan dalam perundangan.

Agak berbeza dengan undang-undang Islam, ia dilakukan untuk mengEsakan Allah dan pada masa yang sama adalah untuk mengangkat martabat insan. Undang-undang Islam bukan berdasarkan atau ciptaan manusia, tetapi ianya diciptakan oleh yang mencipta manusia. Seabad lalu isu undang-undang Islam pernah mewarnai polimek di Malaysia. Ramai yang kurang faham akannya begitu mudah menuduh perundangan Islam itu zalim (seperti hukum Hudud). Tetapi menerusi beberapa pembacaan, didapati banyak undang-undang Islam telah mendahului perundangan sivil seperti undang-undang keluarga, harta dan sebagainya. Hatta, yang lebih menarik dalam proses pendakwaan perundangan Islam jelas mendukung prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dihukum bersalah oleh hakim. Manakala proses pensaksian juga begitu teliti dalam Islam demi mendukung keadilan kemanusiaan. Tatkala matlamat pendakwaan perundangan manusia adalah untuk menghukum manusia, sebaliknya proses pendakwaan dalam Islam berteraskan mengangkat nilai kemanusiaan.

Berhubung isu perundangan ini, laporan akhbar sekitar 21 Oktober 2007 cukup menarik minat. Seorang penyokong gerakan Reformasi era kejatuhan Anwar Ibrahim iaitu Abdul Malek Hussein telah mengemukakan saman terhadap pegawai PDRM dan juga kerajaan Malaysia atas dakwaan telah ditahan secara tidak sah menurut ISA dan juga telah dicederakan. Menurut saman tersebut, beliau telah menuntut sejumlah wang akibat kecederaan yang disengajakan ke atasnya yang dilakukan oleh pihak PDRM. Hakim Mahkamah Tinggi Malaya yang mendengar kes ini telah memenangkan Abdul Malek Hussein dengan diberi gantirugi sejumlah RM2.5 juta. Pastinya keputusan kes ini cukup menarik tatkala ramai mengganggap sistem kehakiman di Malaysia sudah 'malap'. Ramai juga tertarik kerana Abdul Malek telah menjadi 'jutawan segera'. Namun yang lebih menarik adalah kenyataan Abdul Malek yang menuntut agar proses pendakwaan/perundangan perlu bersifat kemanusiaan demi mencapai matlamat undang-undang iaitu mengangkat harakat insan.

Tuesday, December 11, 2007

Seloka Cak Kun Cak

Sebuah lagu daripada M.Nasir dan SM Salim yang amat mendalam pengertiannya.


Satu masa yang telah silam
Tak dapat diambil kembali
Melayu masyhur serata alam
Hidup mewah gagah sekali
Pahlawan kita ramai terbilang
Ditakuti ramai perwira
Melawan musuh tak terbilang
Keras semangat kerana bangsa
Gerak semangat kerana bangsa

Dialog itu orang dulu, berani rajin

Kelekaan jangan dikenang
Lautan juga kelak direnang
hampir tinggal sehelai benang
bencana sengaja dipinang
jika perhati bangsa dagang
kapak beliong,di tangan memegang
kekayaan hendaklah diregang
akhirnya saudagar pangkat dijulang

Disulami syair termasyhur
usahlah berdengkur
Kita jua yang bertafakur
Yang mana khilaf tegur menegur

laallalala

kulitnya bersih, hatipun bersih
budi yang baik hatinya pengasih
kulitnya besih, hatipun bersih
memikul belati tiada yang memilih

Jadikan besih, hatipun putih
Berkata benar bermulut fasih
Jadikan bersih, hatipun putih
Biarlah khazanah pintu terpilih

hohoohoh

Awak yang payah membelah ruyung
Orang bertandang yang beroleh untung
Akhirnya kita tak akan dihitung


Video http://www.youtube.com/watch?v=Bonj5P8wjuY

Tuesday, November 27, 2007

Media dan Perdana Menteri Baru Australia


Kevin Rudd PM Australia ke-26 John Howard 11 tahun sebagai PM Australia

Selepas 11 tahun memimpin sebagai Perdana Menteri Australia, akhirnya pada 24 Nov. 2007 John Howard secara rasmi ditolak oleh majoriti penduduk Australia. Parti Liberal yang dipimpinnya telah ditumbangkan oleh Kevin Rudd iaitu ketua pembangkang Parlimen Australia yang tak sampai 1 tahun baru memimpin sebagai ketua pembangkang. Kevin yang memimpin Parti Buruh berjaya melonjakan daripada 40% penguasaan parlimen pada pilihanraya lepas kepada penguasaan 55% parlimen pada pilihanraya 2007.

Ramalan dan sikap pengundi Australia untuk menukar kerajaan sudah agak jelas sejak awal tahun 2007 lagi. Keupayaan kepimpinan Rudd cukup terserlah seperti yang dilaporkan oleh kajiselidik populariti kepimpinan oleh media-media di Australia. Hatta bilamana populariti Rudd menunjukkan penambahan yang konsisten, John Howard telah disarankan untuk turun dari jaawatan dan menyerahkannya kepada Peter Castelo iaitu Bendahari yang juga Menteri Kewangan Australia. Kejayaan Parti Buruh ini memperlihat penguasaan yang lebih kukuh berbanding parti pimpinan John Howard semasa pilihanraya lepas iaitu yang hanya menguasai 49% parlimen sahaja. Berbanding dengan Howard, Rudd dilihat sebagai pemimpin yang lebih Aussie sikapnya. Pendirian Rudd bahawa tentera Australia di Iraq wajar ditarik pulang secara berperingkat, lebih berpendirian daripada terlalu menyokong atau menurut dasar Amerika, mempunyai pengalaman serta hubungan yang mesra dengan pemimpin negara jiran serta lebih menyokong golongan 'proletariat' berbanding golongan 'bourgeoisie' nampaknya serasi dengan harapan majoriti Aussie.

Biar apa pun yang amat menarik minat ialah bagaimana media telah diruangkan dan digunakan dengan cara yang begitu adil. Pada pandangan penulis, sehebat mana sekalipun menifesto dan janji pilihanraya, jika tidak salurkan dengan strategi media yang terbaik, besar kemungkinan ia hanya tinggal janji. Sebagai seorang akademia, yang lebih penting dalam mana-mana pilihanraya adalah ruang dan peluang yang seimbang, adil serta saksama diberikan kepada mana-mana pihak yang bertanding. Kesempatan berada di Australia cukup membuat penulis kagum dengan sikap media serta kerajaan Howard yang amat menghormati kesaksamaan hak dalam bermedia lebih-lebih lagi dalam keadaan pilihanraya. Sejak dari pertengahan tahun lagi, iklan-iklan politik (pilihanraya) sudah turut terselit dalam semasa iklan-iklan komersial.

Sungguhpun Australia Broadcasting Corporation (ABC) merupakan stesen penyiaran awam (dibiayai kerajaan), namun dalam soal penyiaran daripada pihak pembangkang, stesen ini bersikap profesional dengan menyediakan ruang kepada pihak pembangkang mengisi ruangnya. Media seperti televison telah bersikap terbuka dengan memberi ruang kepada mana-mana parti untuk membeli slot-slot iklan mereka. Hasilnya Parti Liberal, Buruh serta lain-lain parti mempunyai akses media yang terjamin. Hasil pencarian disenaraikan beberapa iklan siri kempen pilihanraya yang disiarkan menerusi tv Australia yang ditaja oleh parti pemerintah dan juga pembangkang.

Melihat dan memikirkan senario ini, bilakah masanya media peyiaran di negara-negara sedang membangun atau negara membangun boleh menyediakan persekitaran yang adil bagi menyokong proses demokrasi dalam berpilihanraya? Jika media yang tidak saksama berlaku di mana-mana negara, apakah ini disebabkan oleh kurang tahap keupayaan rakyatnya atau tidak profesionalnya pengamal media atau tidak demokrasinya kumpulan pemerintah atau kesemuanya sekali? Jika pepatah Islam menyatakan 'Kebersihan itu sebahagian daripada iman' maka 'saksamanya media itu adalah sebahagian daripada demokrasi pilihanraya'.




Wednesday, November 21, 2007

Australia-Malaysia-China Catatan 1

Hampir tiga bulan tiada yang ditulis diblog ini. Ada yang bertanya, tak kurang yang mencebik inilah dunia penulis blog ... hilang idea ... tiada idea... Apapun itulah hakikat insan, kita sering lupa bahawa kudrat manusia adalah terbatas. Kita sering terlupa, hanya sedar setelah sakit akan sihat, susah tatkala pernah hidup senang, tidak cukup masa sedangkan banyak masa yang terbuang. Namun kekadang adalah menjadi suatu keperluan untuk kita bermuhasabah sebentar akan perkara atau kerja-kerja yang dilakukan.

Peluang dan ruang kembali ke Malaysia buat seketika cukup indah. Apatah lagi tanpa diduga berpeluang berAidil Fitri setelah 2 musim diperantauan. Debaran Aidil Fitri semakin terasa tatkala apabila mula melangkah masuk ke pesawat MAS kedengaran nyaring-nyaring irama muzik lagu-lagu hari raya. Anak-anak begitu gembira kerana 'nak balik kampung'. Tepat jam 12.32 am 10.10.2007, pesawat MAS mula terbang ke Kuala Lumpur. Bangga dengan penerbangan MAS yang bertahun berturut-turut dinobatkan dengan anugerah 'Best Cabin Services'. Namun dalam hati kecil masih belum berpuas hati dengan 'sikap' MAS. Entah berapa ramai yang sudah mengadu tetapi sikap 'penjajah' masih kekal ... yer tak yer juga, tanah Mlayu sudah bebas dari dijajah 50 tahun dulu tetapi apabila kita di udara terus kekal terjajah. "Sir beer sir ... anybody want beer ... " begitulah adab layanannya yang pada pandangan aku cukup kurang ajar. Sampai bila harus kita tunduk kepada budaya barat ini. Apakah kalau tidak dijaja 'beer' maka potensi anugerah 'Best Cabin' akan terlepas!

Setiba di KLIA, terasa sedikit janggal. Biasanya sepanjang bulan Ramadhan, KLIA akan penuh dengan gerai-gerai 'Aidil Fitri'. Tapi 1428 nampaknya tidak semeriah di KLIA seperti sekurang-kurangnya 2 tahun lalu. Apakah orang Melayu sudah berkurang guna KLIA? Apakah orang Melayu hanya mampu di LTCC? Ataupun ramai peniaga Melayu sudah tidak mampu berniaga di KLIA? Ataupun orang M'sia sudah bijak lagi berhemah dalam berbelanja di kala keadaan ekonomi yang seakan lembap. Apapun jawapan awal diperolehi sejurus mendarat di lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang. Ekonomi nampak macam okay, tapi sekarang duit habis cukup cepat ... begitulah kata-kata pemandu limosin Perdana V6.

Setiba di rumah orang tua, kami sekeluarga meluncur pula ke Changlun dengan Proton Waja yang ditinggalkan lebih 2 tahun. Anak-anak seronok tak terkata apabila bandingkan kereta buruk berjasa kami di Brisbane. Alangkah terkejutnya melihat betapa pekan Changlun satu ketika dahulu pekan 'cowboy' kini pesat berkembang lebih dari St. Lucia mahupun Toowong ... dari segi perkembangan fizikal. Habis berkubur peniaga-peniaga kecil disambar dengan peniagaan ala 'mega' atau 'kompleks'. Dalam masa tak sampai dua tahun bagaikan cendawan tumbuh restoran mamak. Memang anak Melayu dilimpah rezeki ... sekadar makan gaji untuk makan tiap-tiap hari ... esok hari...minggu depan...tahun depan... fikirkan kemudian.


Anwar Ariff excited going back to M'sia Ammar Afif ... I'm glad to be home for a while
Agak tergamam juga apabila mula berkereta. Kiri, kanan, masuk suka hati, potong sana sini, tiada lampu isyarat diberi, pejalan kaki tiada dihormati, begitulah sikap sejati pemandu Malaysiaku ini. Aku pun tak pasti, apa sebenarnya yang aku rindu pada Malaysia ... satu yang pasti ... dari mana asal aku ... keluargaku. Yang lain cukup aku celaru, keliru dan adakalanya rasa langsung tak tahu.








Tuesday, August 28, 2007

CITRA MERDEKA

BENARKAH SUDAH 33 TAHUN AKU RASAKAN MERDEKA ...

Sejarah merdeka kian dilupai
Tiada pengisian terpahat dihati
Kenapa ini semua terjadi
Kerana sifat jahiliah masih disanubari

Ibn Kathir berbicara jelas
Jenis Jahiliah-Zannul, Hukmul, Tabarrajul, Hamiyatul
Lantaran makna merdeka yang tak jelas
Cara sambutnya pasti tak betul

Nilai wang dan ringgit boleh dicari
Nilai pengorbanan dan jati diri sukar diganti
Raikanlah merdeka secara terpuji
Bukan jenuh berpesta ‘party’

Tidaklah salah muzik dan lagu
Andai petrotisme digubal rangka
Berhibur, pesta berkhayal tak tentu
Begitulah lalai anak merdeka

Bapa Kemerdekaan orangnya ramah
Pemimpin dahulu merdekanya sejati
Banyakkan wacana galakkan ceramah
Penghayatan merdeka pasti bererti

Dari robohan kota Melaka
Mari dirikan jiwa merdeka
Apa bangganya sambutan berseri-seri
Andai minda dikongkong negara sendiri


-mokhah-
Brisbane, 28/08/07