Tuesday, August 28, 2007

CITRA MERDEKA

BENARKAH SUDAH 33 TAHUN AKU RASAKAN MERDEKA ...

Sejarah merdeka kian dilupai
Tiada pengisian terpahat dihati
Kenapa ini semua terjadi
Kerana sifat jahiliah masih disanubari

Ibn Kathir berbicara jelas
Jenis Jahiliah-Zannul, Hukmul, Tabarrajul, Hamiyatul
Lantaran makna merdeka yang tak jelas
Cara sambutnya pasti tak betul

Nilai wang dan ringgit boleh dicari
Nilai pengorbanan dan jati diri sukar diganti
Raikanlah merdeka secara terpuji
Bukan jenuh berpesta ‘party’

Tidaklah salah muzik dan lagu
Andai petrotisme digubal rangka
Berhibur, pesta berkhayal tak tentu
Begitulah lalai anak merdeka

Bapa Kemerdekaan orangnya ramah
Pemimpin dahulu merdekanya sejati
Banyakkan wacana galakkan ceramah
Penghayatan merdeka pasti bererti

Dari robohan kota Melaka
Mari dirikan jiwa merdeka
Apa bangganya sambutan berseri-seri
Andai minda dikongkong negara sendiri


-mokhah-
Brisbane, 28/08/07

Saturday, August 04, 2007

Tetamu dari 'Putra'

World Communication Association (WCA) telah menganjurkan Persidangan Antrabangsanya bagi tahun 2007 di Brisbane, Australia. Agak terkejut juga persidangan ini hanya diketahui seminggu sebelum ianya bermula. Kebetulan rakan dari Malaysia akan bertandang di Brisbane, dari situlah baru diketahui persidangan ini. Lokasi persidangan ini jaraknya tak sampai 5km namun semua rakan-rakan PhD di UQ tidak tahu bahawa Queensland University of Technology (QUT) akan menjadi tuan rumah persidangan WCA ini. Mungkin terlalu banyak persidangan dan juga banyak institusi/organisasi akademik bidang komunikasi menjadikan persidangan ini tidak begitu tertarik oleh sarjana-sarjana di UQ. Mungkin juga ini ada kaitan dengan 'mazhab-mazhab' atau 'kumpulan' dalam lingkungan sarjana komunikasi itu sendiri. Biar apapun, kesempatan bersemuka dengan sarjana komunikasi dari Malaysia menceriakan suasana.


Nerawi, Prof.Salleh, Khairie & Prof.Madya Ezhar

Pertemuan dengan Prof. Madya Dr. Ezhar (mula kenal sekitar 12 tahun lalu), Prof. Dr. Salleh, Prof. Dr. Musa dan Dr. Abdul Muati sedikit sebanyak menyumbang kepada penjanaan dan percambahan idea. Terkejut mereka bila dimaklumkan University of Queensland menduduki tangga ke-45 dunia dengan keupayaan menjana pendapatan universiti hampir AUD$0.93 billion pada 2006. Lebih terkejut lagi bila mereka dimaklumkan gaji Naib Canselornya sekitar AUD$14 juta setahun. Setelah lebih 11 tahun memimpin UQ, Naib Canselornya dengan rendah diri mengundur dari jawatan lumayan itu untuk memberi ruang dan peluang kepada orang lain menerajui UQ dengan lebih sinergi dan inovatif lagi. Agaknya jika dengan pendapatan selumayan demikian mahukah sarjana di negara lain mengundur diri dari jawatan sedemikian?



Rakan-rakan sarjana Komunikasi dari UPM bertandang di St.Lucia

Di kesempatan bersama dengan rakan-rakan sarjana dari Malaysia itu, membuahkan idea untuk menganjurkan persidangan komunikasi yang didasari dengan pemikiran Islam. Sudah tiba masanya untuk dijana kumpulan-kumpulan penyelidik bagi mengenegahkan gagasan pemikiran komunikasi Islam khususnya dari gugusan Asia.