Wednesday, November 05, 2008

Barrack Hussein Obama di Rumah Putih

Satu ketika dahulu, Martin Luther King meniupkan impian 'orang kulit hitam' menjadi pemimpin kuasa 'kulit putih', hari ini impian tersebut direalisasikan oleh Barack Obamma. Kira-kira 4 bulan yang lalu, blog ini ada melakarkan tentang bakal Presiden Amerika yang baru iaitu senator Barack Obama. Hari ini, 4 Nov 2008 (waktu semasa di Amerika) menjadi tumpuan seluruh dunia kerana rakyat Amerika akan menentukan siapakah bakal diangkat sebagai Presiden ke-44 Amerika Syarikat. Sekitar jam 2.30petang, aku tinggalkan sebentar kerja-kerja belajar dan menapak di depan televisyen. Stesen televisyen di Australia menyiarakan siaran secara langsung pemilihan presiden Amerika sejak jam 11.00pagi lagi.




Tiba-tiba, stesen Channel 9 mengumumkan bahawa Barack Obama secara rasmi telah diistiharkan sebagai Presiden Amerika ke-44. Dengan tidak semena, sebak terasa hati dan hampir menitis air mata. Tergamam sebentar apabila diberitakan kemenangan Obama. Slogan kempen pemilihannya iaitu 'CHANGE' nampaknya slogan yang cukup keramat. Hatta mana-mana pemimpin yang cuba memartabatkan slogan 'PERUBAHAN' kerap kali berjaya memikat hati para pengundi. Barak Obama berjaya mencipta sejarah dan sekali gus mengubah sejarah tradisi negara yang mendabik dada sebagai penegak demokrasi yang agung. Obama merupakan Presidenyang pertama dari golongan kulit hitam dalam sejarah Amerika. Apakah senario ini bakal menjelmakan demokrasi sebenar Amerika? Apakah senario ini juga adalah realiti sebenar majoriti rakyat Amerika yang tidak terjelma akibat diselimuti oleh kuasa-kuasa di Rumah Putih.

Pemerhatian yang dibuat ke atas liputan media dalam pemilihan presiden Amerika kali ini memperlihatkan seolah-olah ada pihak yang tidak ingin melihat orang 'kulit hitam' menguasai kepemimpinan Amerika. Seperti liputan media di Australia (sekutu kuat Amerika), memperlihatkan sikap bias dan kurang menerima Obama. Namun melihat suasana meraikan ucapan sulung Presiden Amerika yang baru di Chichago, ternyata rakyat Amerika yang menyokong perjuangan PERUBAHAN jelas memperlihatkan perubahan. Tanpa mengira kaum serta warna kulit, mereka berkumpul meraikan kemenangan mereka yakni kemenangan memperjuangankan PERUBAHAN. Tahniah BARACK HUSSEIN OBAMA, semoga Amerika berubah.