Minggu lepas terasa sangat meletihkan. Mengadap komputer mentranskripsikan temubual kajian bukan sahaja meletihkan tetapi agak tertekan. Adakalanya bagaikan nak termuntah, marah, tertekan, menyesal, ... dan sebagainya. Namun memujuk hati, apa pula keadaan kehidupan orang kampung, orang miskin, orang susah tatkala harga minyak naik. Rasanya membaca penjelasan dan berita tentang hal-hal tersebut lagi memualkan.
Barack Obama dan Tiger Woods
Kehidupan umpama bola, kekadang di atas, adakalanya di bawah. Malah bola sepak juga sudah berubah dari segi bahan, kualiti dan coraknya. Minat, harapan dan kepercayaan manusia juga berubah. Siapa sangka, dua 'budak' hitam telah mempengaruhi pandangan serta kehidupan orang putih di abad ke-21 ini. Lebih seminggu yang lepas, bekas Wanita Pertama (First Lady) Amerika tunduk menghormati hak ramai yang menyokong Barack Obama sebagai calon Presiden Amerika. Siapa sangka 'budak' hitam itu bakal memimpin negara nombor satu dunia.
Keletihan pada minggu lepas juga telah mengundang minat untuk menonton televisyen. Tatkala selepas subuh mula menurunkan tirainya, beberapa transkripsi dilakukan, alat kawalan jauh tv ditekan punatnya. Pertandingan Golf Terbuka US kali ke-108 yang memulakan episod baru terpancar di kaca tv. Lama sudah sukan ini ditinggalkan sejak menapak di Brisbane ini. Hampir 2 tahun lebih hanya 3 kali sahaja batang-batang golf hinggap ditangan. Tetapi episod Terbuka US ke-108 ini agak berbeza. Tiger Wood, jaguh golf yang terkemuka menjadi tumpuan. Tiger Woods yang baru menjalani pembedahan lutut dijangka kurang menyerlah. Beberapa berita yang dibaca juga memberi sedikit keadaan tidak mesra 'orang putih' kepada 'budak hitam' ini. Memang sejak hari pertama lagi bukan sahaja para pengulas bersikap sedikit 'tidak mesra' terhadap Woods, malah ada juga penonton yang mencemuh 'budak hitam' ini. Inilah realiti yang terpancar ditengah-tengah siaran langsung kejohanan tersebut tanpa dapat diselindung. Namun bintang golf tersebut tetap mendapat sambutan hangat.
Ramai orang kata GOLF adalah permainan 'Golongan Orang Lemah Fikiran'. Tetapi menyaksikan para pemain terutamanya Tiger Wood, golf adalah permainan yang mencabar fizikal, perasaan, minda, dan persekitaran. Bermain golf anda menguji kecekalan dan ketabahan diri kerana kekalahan dan kemenangan kesemuanya dalam kawalan anda ... orang lemah fikiran sewajarnya bermain golf untuk meningkatkan jati diri. Ada orang kata Woods hebat kerana dia Tiger Woods, ada orang kata dia hebat kerana Allah kurniakan keistimewaan kepadanya. Apa pun begitulah pemurahnya Allah dan hebat ciptaanNya.
Rupanya setelah puluhan tahun, Barack Obama muncul menggantikan Martin Luther King sebagai wira 'hitam' di dunia 'putih'. Manakala Tiger Woods pula mengambil tempat Muhammad Ali... dua budak hitam dalam dunia putih yang pasti kelihatan menawan.
No comments:
Post a Comment