Sejak berada di bumi Brisbane ini, awal tahun dan pertengahan tahun merupakan saat yang dinantikan. Bukan sebabnya ia detik permulaan 'summer' dan 'winter' di sini, tetapi kebiasaannya pada dua ketika ini ramai pencinta buku yang agak kekurangan 'isi dompetnya' membeli sakan. Brisbane Lifeline Bookfest bagi tahun ke-18 edisi kedua kembali lagi. Dengan hampir 1 juta naskah buku terpakai bakal menjadi milik pengunjung, manakala hasilnya disalurkan pula kepada perkhidmatan kaunseling percuma kepada masyarakat di sini.
Seperti tahun terdahulu, pesta buku ini diadakan di Brisbane Convention Center bermula 7 hingga 10 Jun 2008. Dengan harapan untuk tidak terkilan, seawal 8.30pagi kami sekeluarga bergegas ke sana dengan harapan untuk menjadi antara pengunjung terawal dan demi mengelakan kekecewaan. Baru 8 minit dibuka, tiga ruang pameran yang setiap satu seluas 5000 meter persegi sudah dipenuhi orang ramai. Untuk mengoptimakan masa, anak-anak (Ariff & Ammar) ditinggalkan di bahagian buku kanak-kanak agar mereka mencari sendiri buku yang diminati. Aku dan isteri masing-masing mencari buku yang berkenan di hati. Setelah hampir 2 jam, kami berkumpul semula dan beredar ke kaunter bayaran. Kesemuanya 48 buah buku kami sambar dengan nilai hanya AUD52 (sekitar RM150). Memang berbaloi, hampir 8 buah buku kulit tebal yang kami dapatkan. Kalau ikutkan hati hendak lagi lama di situ, namun apakan daya bila anak-anak mula tak senang duduk dan kepenatan.
Bersama sebahagian buku dari Lifeline Bookfest 2008
Buku-buku yang dijual diperolehi dari dalam dan luar negara. Banyak juga buku-buku akademik yang hebat (awal...dah kuningpun) boleh diperolehi jika bernasib baik. Apapun, bila agaknya pesta sebegini akan berlaku di negara sendiri. Moga satu hari nanti ia akan berlaku dan semoga masyarakat Malaysia menjadikan membaca buku sabagai satu budaya sepanjang hayat. Malah bagi umat Islam, mencari ilmu dengan membaca membawa makna yang cukup besar.
No comments:
Post a Comment