Tuesday, June 03, 2008

Harapkan Pagar ...Pagar Makan ...

Masalah jenayah berlalu dan silih berganti tanpa meletakkan titik noktah. Sejak mengenali penyalahgunaan dadah dan seangkatan dengannya, hari demi hari berita penangkapan penagih, pengedar dan penyeludup dadah tidak pernah terhenti. Secanggih mana sekalipun peralatan dan teknologi pencegahan, masalah ini tidak pernah terhenti. Bukan baru usaha dilakukan untuk membenteras jenayah ini, sudah berzaman dan berdekad...keadaan tetap sama. Undang-undang jenayah dadah di Malaysia bukan calang-calang. Pernah Malaysia hampir 'berbalah' dengan negara jiran serta serantau apabila hukuman kesalahan dadah dijatuhkan ke atas rakyat asing. Tetapi jenayah dadah di Malaysia tiada penamat.


Semasa kecil, tatkala keluarga menyewa kongsi sebuah rumah di tengah-tengah bandar Georgetown, gejala ganja dan dadah tidak asing. Boleh dikatakan tiap minggu pasti terserempak anak jiran serumah hanyut dengan dadah. Sedih, kasihan malah takut ada saja pada perasaan. Alhamdulillah, kami adik-beradik tiada seorangpun yang terkesan dengan fenomena 'bahana' serumah tersebut. Apabila teringatkan si anak jiran tu, kelakar pun ada juga. Bila mana si mamat ni 'high' menarik pula cerita-ceritanya yang terkeluar dari mulutnya. Lebih hebat lagi bila mengenangkan nasihat-nasihat daripada dia sendiri agar jauhi ganja dan dadah ... mungkin inilah yang dikatakan sedar tetapi miskin atau 'papa' hidayah.


Sejak di sekolah menegah lagi, persoalan sosial seperti ini kerap otak ini memikirkan musabab dan penyelesaian. Bingung juga bila macam-macam dilakukan oleh pelbagai pihak, tetapi masalah tetap berlanjutan. Membaca suratkhabar The Australian pagi ini mengesahkan lagi hipotesis yang terbenak sekian lama jauh dalam pemikiran. 'Top cop arrested over $120m ice scheme' dengan sebuah foto terpampang besar di muka depan akhbar The Australian. Seorang Pesuruhjaya Kanan Polis telah ditangkap kerana disabitkan dengan sindiket penyeludupan dadah ke Australia. Mark Standen, Penolong Pengarah Suruhanjaya Jenayah telah dikenalpasti oleh pihak perisikan Australia sebagai individu penting dalam usaha menyeludup dadah ke negara itu. Malah menurut laporan akhbar tersebut, beliau bukan sahaja dalang dalam proses menyeludup, tetapi juga telah melaksanakan strategis dalam 'menyilap mata' usaha penguatkuasaan. Benarlah teori dalam Islam yang menekankan aspek kepimpinan dan pemimpin. Pemimpin itu haruslah taat kepada Allah serta Rasul. Kalaulah kita punya ketua atau pemimpin di kalangan umat Islam, yang ketaatannya pada Allah serta Rasulpun sudah goyah...apakah mungkin mampu memimpin kita ke arah kesejahteraan dunia apatah lagi akhirat.




Mark Standen


Berbalik kisah di Australia tu...mungkin juga di 'kampung kita' perkara yang sama berlaku...

No comments: