Sunday, August 31, 2008

Merdeka...Merdeka...Merdeka...

Tanggal 31, bulan lapan, 57...Merdeka...Merdeka, tetaplah Merdeka, ia pasti menjadi sejarah.... demikianlah antara lirik awal lagu yang cukup tidak asing lagi tatkala melalui detik 31 Ogos saban tahun. Sama ada anak-anak, dewasa mahupun mereka yang lanjut usia pastinya menjadikan tarikh ini suatu yang patut disambut, dikenang ,malah dirayakan. Detik 31 Ogos, menandakan Tanah Melayu (Malaya) pada 51 tahun lalu secara rasminya dikembalikan hak kuasa pemerintahannya kepada empunya tanah yang telah berubah milik (berbilang kaum). Usahlah kita mencabar akan senario dan realiti ini walaupun kita berpatah arang mengatakan Tanah Melayu adalah milik Melayu. Yang pastinya, antara individu yang secara termaktub diangkat sebagai ikon kemerdekaan adalah orang Melayu sendiri. Insan-insan inilah yang layak menjelaskan kenapa dan bagaimana akhirnya Tanah Melayu adalah untuk orang Melayu, Cina, India dan peribumi lain. Malah, tidaklah salah juga jika ingin kita letakkan beban tanggungjawab kehilangan hak Tanah Melayu ke atas insan-insan tersebut. Di samping itu, adalah salah juga jika kita mengatakan bahawa Kemerdekaan Tanah Melayu diasaskan oleh individu atau parti politik sekitar tahun 1940an dan 1950an saja. Hakikatnya pada 1511, Tanah Melayu telah mula dijajah sebahagiannya.





Merdeka bererti kebebasan, merdeka bererti hak dikembalikan, merdeka bererti maruah diangkat. Merdeka bukan bererti kita bebas melakukan apa saja, merdeka bukan bererti hak individu mengatasi hak yang lain, kemerdekaan bukan bererti identiti kita berubah. Hakikatnya kemerdekaan adalah proses memastikan, mengangkat, mempertahankan, mempelihara, memperkasa dan menjamin jati diri serta minda rakyat. Justeru itu, hakikat kemerdekaan tidak wajar diukur hanya dengan sekadar cara kita menyambut hari kemerdekaan. Yang jauh lebih utama adalah rupa bentuk dan kualiti minda kita. Hari ini atas nama Kemerdekaan kita sambutnya dengan perarakan, pesta, sukan, jamu selera dan entah apa lagi, namun fikirkan sejenak sejauh mana semua itu bersungguh untuk mengangkat martabat minda kita. Hatta ada acara-acara tersebut langsung tiada pengisian jitu terhadap jati diri minda kemerdekaan. Acara-acara tersebut tidak lebih hanya sebagai himpunan keramaian dengan tempelan pelbagai aktiviti atas nama sambutan kemerdekaan. Lantaran, jika ianya berlaku di kalangan golongan berpendidikan tinggi pula, apakah rupa bentuk bangsa kita pada masa hadapan. Apakah benar kita sudah merdeka...tanah air, budaya, jiwa, minda...


Pada tahun ini, tatkala hari kemerdekaan disambut, bertaut pula Ramadhan al-Mubarak. Ramadhan adalah satu kesempatan atau proses penyuburan diri dengan matlamat menginsankan diri dan sesama manusai serta mengesakan Allah. Dengan segala rutin ibadah harian sepanjang Ramadhan, diyakini umat Islam disediakan ruang menilai, membina serta memperkasa jati diri. Justeru itu, dengan semangat sambutan kemerdekaan yang masih terasa, marilah kita pupuknya serta sebatikan dengan semangat Ramadhan. Malah datangnya Islam adalah untuk memerdekan manusia dari kepompong Jahiliah. Moga-moga dengan demikian kita dapat menginsafi makna kemerdekaan selaras dengan fitrah, jiwa, minda serta budaya kita sebagai seorang yang benar-benar merdeka di sisi penciptanya yakni Allah azza wa jala. Semoga kita tidak lagi tertipu dengan diri sendiri tentang erti kemerdekaan yang kerap kita fahami, dipertontonkan atau meraikannya.


Salam Ramadhan Al-Mubarak 1429 ... Salam Kemerdekaan ke-51...