Tuesday, October 14, 2008

'Jacaranda'... jatuh hati di musim Spring


"Kejadian alam ini dan isinya bukannya sekadar untuk kita lihat akan kuasaNya, tetapi lebih untuk menginsafi kejadian kita (insan)"

Setiap kejadian alam oleh Allah tiada yang tidak boleh dihargai. Tatkala mula menjejaki bumi Brisbane tiga tahun sudah, tersemat dilubuk hati untuk merakam salah satu keindahan ciptaan Allah bila mana musim Spring menjelang. Kali pertama melihat, sudah jatuh hati dibuatnya. 'Jacaranda' atau nama saintifiknya 'Jacaranda Mimosifolia' merupakan antara jenis bunga berwarna unggu yang rutin menghiasi ruang udara Brisbane dan juga menghujani tanan tatkala gugur semasa musim Spring. Bunga ini yang dikatakan berasal dari Selatan Amerika, hidup subur di merata kawasan dan seringkali kelihatan di sebelah kiri kanan jalan raya di Brisbane. Alhamdulillah, tahun ini kesempatan diambil untuk merakam fenomena unggu di kala Spring di Brisbane.

Sila klik di sini untuk beberapa rakaman 'Jacaranda'.


Thursday, October 09, 2008

Syawal 1429 di St.Lucia, Brisbane

Tahun ini merupakan Eidul Fitri ke-3 kami sekeluarga di sini. Insyallah, ia juga bakal menjadi Eidul Fitri terakhir di Brisbane sebelum bermastautin kembali di Malaysia. Tahun ini, alhamdulillah hampir keseluruhan kawasan di Queensland hatta di Australia merayakan Eidul Fitri pada tarikh yang sama yakni pada 1 Oktober 2008. Berbanding apabila mula sampai 3 tahun lalu, para imam akan mengumumkan atau memutuskan permulaan Ramadhan dan mulanya Syawal. Kini, sejak 2007 langkah menyeragamkan tarikh-tarikh tersebut menunjukkan perkembangan yang positif. Bermula dengan penubuhan Australian National Imam Council pada penghujung 2006, usaha menyusun secara sistematik hal ehwal Islam nampaknya semakin berkembang positif.


Suasana semasa solat sunat Eidul Fitri


Anak-anak... Ariff & Ammar beraya kali ketiga di Brisbane

Tahun ini kami sekeluarga berkesempatan bersama-sama menunaikan solat sunat Eidul Fitri. Seawal 7.00pagi, kami mula bergerak ke padang bola berhampiran University of Queensland. Inilah kali ketiga bersolat sunat Eidul Fitri berbumbungkan langit terbuka dan pancaran sinaran matahari. Pemandangan bersolat secara terbuka sebegini amat jarang ditemui di Malaysia kecualilah di Stadium Sultan Mohammad, Kota Bharu...itupun kebiasaanya pada malam hari. Solat kali ini bertambah ceria memandangkan diimamkan oleh iman solat sunat tarawih di musolla UQ. Bacaannya cukup indah dan sering membuat hati menangis...entah kenapa walaupun saya kurang memahami bahasa Arab.

Dengan khutbahnya yang menjurus ke arah istiqamah keperibadian tatkala melalui Ramadhan serta perlunya umat Islam khususnya di Australia bangkit menjalani hidup seorang Muslim menurut Quran dan Sunnah, meniupkan semangat agar setiap Muslim berani mempamerkan cara hidup Islam yang sebenar. Mengenang beberapa peristiwa diambang Syawal, terasa sedih juga apabila masih ada ramai rakan-rakan remaja yang masih tidak memahami konsep merayakan Eidul Fitri...tak kurang juga mereka yang dah dewasa pun masih tidak dapat membezakan antara budaya kaum dan amalan Islam.

Suasana setelah solat sunat Eidul Fitri cukup membahagiakan sekali. Dengan kepelbagian ragam dan rupa pakaian, umat Islam di Brisbane, khususnya di St.Lucia ini ceria meraikan hari kebesaran Islam. Bisik isteri saya, seronok betul tengok warna-warni dan pelbagai fesyen. Lebih terasa lagi apabila masing-masing mula berjabat dan berpelukan mengucapkan Eid Mubarak ... sayu seketika teringatkan keluarga dan rakan yang berada di Malaysia. Tatkala bersalaman, ada rakan-rakan kaget dan terpinga-pinga seketika bilamana aku melafazkan "Eid Mubarak, maaf zahir batin dan TAHNIAH!"...tentunya ini bukan ucapan lazim .... dari raut wajah mereka kelihatan seolah-oleh tertanya-tanya apa sebabnya ucapan tahniah aku lafazkan. Ya, TAHNIAH kerana berjaya menunaikan rukun Islam ketiga ... semoga kita makin dekat dan fahami Islam. Ramadhan telah memberi peluang untuk mengukuhkan kedudukan kita sebagai seorang Islam. Berdoa agar Ramadhan dan Syawal akan datang ditemui di Malaysia pula.


Hidangan berbuka puasa hari pertama tahun ini