Sunday, December 31, 2006



Salam Eidul Adha 1427

Assalamualaikum,

SALAM EIDUL ADHA UNTUK KELUARGA & SAHABAT-SAHABAT DI MALAYSIA serta RAKAN-RAKAN SEPERJUANGAN DI BRISBANE. Eidul Adha 1427 merupakan Eidul Adha yang ke-2 buat kami sekeluarga di bumi Kangaroo ini.


10 Zulhijjah 1427 cukup kita kenali sebagai Eidul Adha atau Hari Raya Haji atau juga Hari Raya Korban. Hakikatnya perayaan Islam ini tidak lain dan tidak bukan sebagai satu simbolik terhadap proses memantapkan keIslaman kita melalui iman dan amal. Falsafah Eidul Adha menerusi ibadat Haji dan Qurban bukannya terletak kepada kehadiran kita di Ka’bah atau haiwan yang kita sembelih. Tanpa hadir secara fizikal di Ka’bah kita senantiasa mengarah diri kearah ka’bah juga (menerusi solat-solat kita). Penyembelihan haiwan bukannya untuk kita persembahkan kepada Allah. Yang jelas kesemua ibadah yang dilakukan tersebut merupakan manifestasi kepatuhan kepada Allah yang jauh zat dan pengetahuanNya terhadap alam ini. Tunduk dan patuhnya kita terhadap perintahNya bukan melalui fizikal kita semata, tetapi terletak kepada nilai keimanan dan keinsanan kita.

Menyentuh tentang ibadah qurban yang bermula dari 10 Zulhijjah sehinggalah hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah), ia amat bersangkut rapat dengan dengan falsafah berikut:
1. Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim Alaihissalam yang sanggup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam.

2. Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah.
3. Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar ayat ke-2 yang bermaksud “Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai tanda bersyukur” serta Surah Al-Haj ayat ke-37 “Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu”. Menerusi dalil pensyariatan ibadah Qurban tersebut amat jelas bahawa merayakannya (Eidul Adha) adalah satu proses memuhasabah akan nikmat Allah kepada kita dan mengajak umat Islam berfikir tentang KEPEDULIAN terhadap masyarakat khususnya ummah. Manakala melaksanakan ibadah qurban bagi mereka yang mampu pula adalah satu tanda syukur akan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita. Malah selain itu, melaksanakan qurban mendidik kita bahawa nikmat dunia menurut syariat Islam tidak lain dan tidak bukan adalah untuk akhirat kita.


Mengenang banjir yang melanda di Johor minggu lalui serta gempa bumi di Acheh 18 Dis. lalu, kita boleh lakukan sesuatu seperti kutipan derma untuk membantu masyarakat atau ummah yang ditimpa ujian Allah itu. Setidak-tidaknya falsafah qurban ini dapat kita terjemahkan dalam bentuk bersyukur dengan apa yang dikurniakanNya dengan mengingati mereka yang memerlukan bantuan.

Salam Eidul Adha.

Monday, December 11, 2006

Antara Pemimpin dan Kepimpinan ...2

bersambung dari ... "Antara Pemimpin dan Kepimpinan 1"

Pilihanraya kampus UUM tahun 1995 merupakan antara yang cukup tragik. Setelah 2 hari pilihanraya semula berlalu, aku telah dipanggil oleh pegawai HEP. Kenapa aku? Tidak yang lain? Mudah saja, kerana dikalangan ahli MPP yang baru itu, akulah antara individu yang agak kerap berurusan dengan HEP kerana menjadi Editor majalah universiti yang aku hidupkan setelah berkubur buat beberapa tahun sudah. Tak pasti pula sama ada majalah tersebut masih lagi disambung hayatnya.

Setelah 4 hari berlalu pilihanraya, aku diberi mandat oleh HEP untuk mengadakan mesyuarat bagi membentuk kebinet MPP UUM. Hasrat dihati adalah untuk memastikan bahawa MPP UUM diterajui oleh individu Melayu. Itulah juga yang mencetuskan pemikiran untuk aku bertanding. Pada malam mesyuarat itu, aku cukup risau dan menanamkan semangat untuk menjadi dominan demi memastikan 'Melayu' tidak layu... Komposisi ahli MPP yang ada adalah 6 - 6 dengan seorang dari yang 6 satu lagi tu Muaalaf. Agak genting juga apabila keputusan untuk mencadangkan Yang Di Pertua MPP hendak dibincangkan. Namun dengan sedikit sebanyak ilmu serta minat berpolitik serta ilmu daripada beberapa kursus Pentadbiran Awam yang baru dipelajari banyak membantu aku berfungsi sebagai perunding 'kuasa'. Apa yang menarik ialah kesemua cadangan pemilihan jawatan dilaksanakan secara terbuka antara 12 orang kami. Aku telah dengan sebulat suara dipilih untuk memikul amanah sebagai YDP MPP sesi 1995/1996. Sejurus mesyuarat aku terus memaklumkan keputusan pemilihan kabinet MPP kepada 2 orang pegawai HEP yang amat lega dengan kedudukan exco baru. Mana tidak leganya mereka, sekurang-kurangnya boleh lena untuk melaporkan keadaan 'selamat' di UUM kepada Kementerian.

Memang bukan hasrat aku untuk memikul tanggungjawab besar itu. Tetapi niat utama aku adalah untuk menyelamatkan maruah 'Melayu' walaupun ada orang kata sebahagian besar kami adalah 'opportunist' tetapi mereka itu aku sifatkan sebagai tidak rasional tetapi terlalu emosi. Aku amat risau sekali kerana berlatarbelakangkan persekitaran sekular kini aku berhadapan dengan gelombang Islamisasi. Namun keadaan ini jugalah yang akhirnya menjadikan aku mempunyai kekentalan untuk turut sama melaksanakan proses Islamisasi kemsyarakatan dan ilmu. Tanpi dinafikan lagu-lagu nasyid seperti dari kumpulan Nadamurni tanpa gagal telah meniupkan dan membina semangat keislaman yang membara dalam diri aku. Apatah lagi ditambah dengan peluang mentelaah tulisan-tulisan daripada kumpulan ABIM dan PAS. Tatkala itu juga gerakan Anwar Ibrahim dalam kerajaan menerusi gelombang Islamisasinya amat kuat mendasari prinsip kepimpinan berteraskan Islam.

Dengan tidak ragu-ragu, aku katakan banyak pemikiran dan gerakan Anwar Ibrahim telah menjadi wasilah kepada aku dalam memimpin MPP UUM ketika itu. Harakah dan tatacara itu memang disenangi oleh pihak universiti ketika itu (sekarang, aku tak pasti). Memang ketika memimpin MPP waktu itu, yang aku gerakkan ialah diskusi dan wacana yakni mengerakkan wahdatul fikr. Aku kurang memberi tumpuan kepada soal-soal seperti kebajikan kolej dan persekitaran hidup pelajar. Ini kerana bagi aku, itu kerja serta perjuangan Jawatankuasa Pelajar Kolej masing-masing. Kerana dididik dalam disiplin ilmu Pentadbiran Awam, aku gariskan dengan jelas kuasa J/Kuasa Kolej dengan MPP. Memang ramai tidak senangi akan cara ini tetapi bagi aku kepimpinan MPP UUM perlu kepada mencetus anjakan paradigma agar mahasiswa tidak lagi hanya tertumpu kepada soal yang bersifat 'peribadi'. Apa yang kau dambakan ialah mahasiswa UUM sewajarnya mula berfikir tentang masyarakat, negara dan dunia. Alhamdulillah rakan-rakan daripada PKPIM dan ABIM banyak mendukung gerakan aku ... mungkin kerana ini selari dengan tokoh besar mereka yang sedang memimpin negara ketika itu.

Ketika menjadi Yang DiPertua MPP aku lebih banyak mengenali urusan pentadbiran universiti yang sebenarnya tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata tetapi juga ada peranan politiknya. Ketika ini jugalah aku lebih kenal akan modus operandi dan fungsi polis-polis Special Branch (SB). Sebagai YDP MPP rupanya aku semakin tidak 'bebas'. Aku dapat tahu bukan sahaja pergerakan dipantau tetapi minda aku juga turut dipantau. Satu hari abang aku ada menelefon memaklumkan supaya aktiviti aku perlu diberi perhatian dan pembacaan aku pasti turut dipantau. Katanya setiap bahan yang aku pinjam di perpustakaan pasti akan diselidiki oleh SB. Tetapi aku kata, aku tak perlu takut sebab banyak buku politik dalam dan luar negara aku baca kerana aku mahasiswa Pentadbiran Awam! Semakin banyak buku yang aku baca semakin membesar jurang untuk mempersoal pemerintahan wujud. Masih aku ingat lagi, antara tugasan awal yang aku hasilkan untuk kursus Tamadun ialah soal rasuah di Malaysia dan tugasan yang mengkritik dasar birokrasi dalam pentadbiran di Malaysia untuk kursus Pentadbiran Awam.

Segala pengalaman memimpin gerakan pelajar dan pendedahan terhadap ilmu menguru-tadbir manusia menimbulkan rasa kerisauan aku terhadap kualiti graduan. Yang paling aku risau adalah kualiti nilai insan yang ada pada mereka. Dengan kursus-kursus atau program pengajian yang berteraskan atau menjurus urusan kebendaan, apakah mereka ini akan ada 'kepedulian' pada masyarakat serta nilai budaya mereka? Kegagalan kepimpinan mahasiswa memimpin, adalah musibah kepada satu generasi masyarakat. Hari ini sekularisme berjaya, kerana para cerdik-pandai seperti graduan sudah boleh membezakan ini hal keduniaan dan ini pula hal agama. Inilah malapetaka apabila yang pemimpin gagal dalam urusan kepemimpinan.