Salam Eidul Adha 1427
Assalamualaikum,
SALAM EIDUL ADHA UNTUK KELUARGA & SAHABAT-SAHABAT DI MALAYSIA serta RAKAN-RAKAN SEPERJUANGAN DI BRISBANE. Eidul Adha 1427 merupakan Eidul Adha yang ke-2 buat kami sekeluarga di bumi Kangaroo ini.
10 Zulhijjah 1427 cukup kita kenali sebagai Eidul Adha atau Hari Raya Haji atau juga Hari Raya Korban. Hakikatnya perayaan Islam ini tidak lain dan tidak bukan sebagai satu simbolik terhadap proses memantapkan keIslaman kita melalui iman dan amal. Falsafah Eidul Adha menerusi ibadat Haji dan Qurban bukannya terletak kepada kehadiran kita di Ka’bah atau haiwan yang kita sembelih. Tanpa hadir secara fizikal di Ka’bah kita senantiasa mengarah diri kearah ka’bah juga (menerusi solat-solat kita). Penyembelihan haiwan bukannya untuk kita persembahkan kepada Allah. Yang jelas kesemua ibadah yang dilakukan tersebut merupakan manifestasi kepatuhan kepada Allah yang jauh zat dan pengetahuanNya terhadap alam ini. Tunduk dan patuhnya kita terhadap perintahNya bukan melalui fizikal kita semata, tetapi terletak kepada nilai keimanan dan keinsanan kita.
Menyentuh tentang ibadah qurban yang bermula dari 10 Zulhijjah sehinggalah hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah), ia amat bersangkut rapat dengan dengan falsafah berikut:
1. Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim Alaihissalam yang sanggup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam.
2. Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah.
3. Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar ayat ke-2 yang bermaksud “Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai tanda bersyukur” serta Surah Al-Haj ayat ke-37 “Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu”. Menerusi dalil pensyariatan ibadah Qurban tersebut amat jelas bahawa merayakannya (Eidul Adha) adalah satu proses memuhasabah akan nikmat Allah kepada kita dan mengajak umat Islam berfikir tentang KEPEDULIAN terhadap masyarakat khususnya ummah. Manakala melaksanakan ibadah qurban bagi mereka yang mampu pula adalah satu tanda syukur akan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita. Malah selain itu, melaksanakan qurban mendidik kita bahawa nikmat dunia menurut syariat Islam tidak lain dan tidak bukan adalah untuk akhirat kita.
Mengenang banjir yang melanda di Johor minggu lalui serta gempa bumi di Acheh 18 Dis. lalu, kita boleh lakukan sesuatu seperti kutipan derma untuk membantu masyarakat atau ummah yang ditimpa ujian Allah itu. Setidak-tidaknya falsafah qurban ini dapat kita terjemahkan dalam bentuk bersyukur dengan apa yang dikurniakanNya dengan mengingati mereka yang memerlukan bantuan.
Salam Eidul Adha.
No comments:
Post a Comment