Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Sebulan ini masa yang cukup sibuk dengan penulisan yang berkajang-kajang. Mujurlah kecanggihan teknologi bukan sahaja membantu gerak kerja menulis (menaip) tetapi yang cukup signifikan ialah jaringan maklumat yang merentasi sempadan geografikal, masa, disiplin dan pemikiran. Melihat kalendar kecil di reban kerja, mencuit sejenak minda mengimbau peristiwa 13 Mei 1969. Agak masih segar kata-kata emak dan bapa tatkala pilihanraya umum hadir saban hampir setiap lima tahun. Tatkala masih kecil, bila ada pilihanraya umum, beras, gula, kopi, sardin, susu, biskut dan entah apa lagi, emak akan beli sebanyak mungkin. Pesannya lagi, tak boleh main luar rumah, jangan pergi rumah kawan, duduk dalam rumah kunci pintu dan tingkap. Bila ditanya kenapa ... mudah, ringkas dan padat ... 'takut-takut jadi darurat'. Ini kisah yang berlaku lewat 1970an dan awal 1980an di tempat kelahiran ku ... Pulau Pinang. Sensitif dan oportunis juga kekawan sekerja apabila pada lewat 1990an dalam satu majlis sesi perkenalan aku perkenalkan diri dengan antara ungkapan ... saya dilahirkan dan berasal dari negeri yang sama dengan insan pencetus gerakan Reformasi. Hebat juga kena panggil dan bersoal jawab. Tetapi sebagai insan yang berani masuk ke kancah menara mencari kebenaran (ilmu), prinsip berani kerana benar menolak sama sekali prinsip 'ikut-ikut, tunjuk-tunjuk, sini-sini, sana-sana'. Kepada rakan yang menyampaikan itu, aku dah lama maafkan malah peristiwa itu menjadikan diri aku lebih berprinsip tatkala gerbang ilmu layu kerana pangkat dan habuan singkat.
Berbalik peristiwa 13 Mei yang tak pernah aku alami, ia memang satu yang cukup menyedihkan dan menginsafkan. Namun kenapa sehingga hari ini kad-kad 13 Mei terus dimainkan tatkala politikus berasa tergugat bukan kerana rakyat tetapi kerana pangkat. Pastinya orang tua-tua mungkin sedikit tersinggung bila dikatakan sebegitu. Tetapi aku cukup yakin pada ketika itu ada kelemahan para pemimpin. 26 tahun lalu ketika sedang mengemas rumah (almari buku bapa ku), terjumpa sebuah buku bertajuk '13 Mei 1969' (tak berapa ingat), buku warna kehijauan dengan tajuk berwarna merah. Mulanya bapa aku kata, tak boleh baca, kena sembunyi, buku itu menurutnya buku yang diharamkan. Lepas beberapa hari aku curi-curi baca juga, ohh mungkin kerana penulis menceritakan aksi-aksi ganas perkauman ... tapi yang menarik bila aku terbaca ... "TAR sedang main mahjung ...". Walau apapun setuju sangat agar peristiwa 13 Mei harus menjadi tauladan tetapi bukannya sebabnya untuk halalkan kedudukan kuasa politik???
Namun 13 Mei 2007 cukup manis apabila Griffith University yang satu-satunya ada Institut Kajian Islam di Brisbane menganjurkan satu seminar bermakna. Inilah juga universiti Sdr. Anwar Ibrahim duduk sebagai pelajar PhD ketika ini. Prof. Hashim Kamali (UIA) dan Sheik Naeem Abdul Wali (pendakwah - muaalaf bangsa Amerika) membicarakan soal Perundangan Islam (Maqasid Shariah). Kehadiran yang menjangkau 100 orang samada Muslim dan bukan Muslim cukup bermakna meletakkan satu lagi wadah Islamiah di persada dominasi barat. Tapi tak jumpa rakan-rakan Malaysia! Semoga setelah sebahagian perundangan kewangan Islam mekar dalam dominasi barat yakni Perbankan Islam, diharapkan lebih banyak lagi garapan perundangan Islam diserap dalam perkara yang lain. Namun yang membuat aku tertarik tetapi tiada langsung diberi peluang bertanya ialah persoalan berhubung pelaksanaan hukum/perundangan Islam. Tidak begitu pasti nasnya, Prof. Hashim dan juga ramai rakan-rakan bidang perundangan mendalilkan dan menaskan, "Kita harus patuh apa-apa perlembagaan selagi mana ia datang dari pemimpin kita (Ulil Amri). Persoalannya, bagaimanakah harus ditafsir Ulil Amri itu yang pastinya hadir pula persoalan kedua layakkah atau sesuaikah gelaran 'Ulil Amri' kepada pemimpin itu???
Salam,
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment