Sunday, April 27, 2008

Shanghai Oktober 2007...catatan 1

'Untapped Potential: Cultural Sensitivity-Islamic Persuasive Communication in Health Promotion Programs' telah menerbangkan diri ini ke negara ke-3 sebelah utara Asia. Selepas menerima anugerah hadiah 'Look East Policy' pada 1996, lebaran abad baru pada 2001 telah dikurniakan rezeki Allah untuk berkhidmat di Phom Phen, Kemboja. Kini giliran China pula destinasi dihantar. Penyertaan kali ke-4 persidangan antarabangsa kali ini cukup mencabar kerana inilah kali pertama pengembaraan secara 'solo' dilakukan.


Hotel Four Point-Sheraton


Bilik hotel yang cukup menarik


Pesawat MAS yang bertindak untuk memulakan pendaratan memberi pemandangan yang tiada sangat bezanya antara Alor Setar, Phom Phen dan Tokyo. Seawal memulakan hari baru di tempat baru, aku sudah terkena. Rupanya teksi 'haram' lagi ligat di bandar perniagaan utama China ini. Apa-apa pun semuanya terasa lega tatkala sampai di hotel penginapan yang diluar jangkaan. Perjalanan dari Pudong Airport mengambil masa hampir 1 jam pada pagi itu. Kesesakan lalu lintas jauh teruk lagi dari Kuala Lumpur ditambah dengan ratusan ribu kenderaan tenaga kaki yang meluru lagi bersimpang siur.


Pemandangan di sebuah lebuhraya sekitar jam 9.00pagi


Tempat letak basikal sekitar sebuah pasaraya

Deretan kenderaan kuasa manusia

'DOA'

Entah kenapa tiba-taba sahaja terdetik untuk mendengar koleksi lagu-lagu yang lama sudah tidak didengar. Dengan takdir Allah juga lagu nyanyian Rahimah Rahim diklik...mendengar lagu tersebut tatkala dingin malam membuat hati cukup sayu mengenang diri yang Allah berikan sedikit masa melalui duniaNya ini. Ingatan juga mengamit suasana ketika di alam kanak-kanak dan remaja. Lagu berjudul 'Doa' ini kerap terdengar dicorong radio pada waktu tengah malam dan juga tatkala subuh mula melangkah. Semoga klip video ini ada keinsafan buat kita yang pasti selalu leka akan 'bila tiba saatnya nanti'.



Hanya padaMU
Aku Meminta
Sesungguhnya KAU PEMURAH
Ampuni Segala Dosaku
Kesejahteraan Kedamaian
Keimanan Ketaqwaan
Pintaku dari MU Tuhan

Selawat Serta Salam
Buat Nabi Junjungan
Kepada Muslimin
Juga Muslimat

Ya ALLAH Ya Tuhanku
Aku Mendengar Seruan
Dan Hanya Kepada MU Ku Beriman
Kerana MU Aku di Sini
Kepada MU Aku Kembali
Apabila Tiba Saatnya Nanti
Sehingga Tiba Detik Itu
Ku Bermohon Hanya Dari MU
ENGKAU Peliharalah Diriku

Dengan Nama MU
ALLAH Yang Agung
Yang PENGASIH, Yang PENGAMPUN
Kepada MU Ku Berlindung

Wednesday, April 23, 2008

Ajal itu pasti ... 2

Allahyarham Boestamam dan allahyarham Rustam



Lebih kurang jam 6.30pagi (sekitar waktu kebiasaan orang bangun bertahajut di Malaysia ... 4.30pagi) 22 April, deringan panggilan telefon melenyapkan kelekaan melayari internet seketika. Innalillah... berita kepulangan ayah Zul OT dimaklumkan. Lantas rakan-rakan membuat persiapan untuk menunaikan Solat Ghaib pada petang 22 April.



Hari ini tatkala menjemput anak-anak dari sekolah, rakan menyapa dan maklumkan seorang penulis dan pemikir luar biasa di Malaysia telah kembali ke rahmahtullah. Rustam A. Sani bukanlah nama yang agak baru kepada diri ini. Nama beliau yang juga tersenarai sebagai penulis idola diri ini, telah mencuri hati tatkala masih di tingkatan 2 lagi (sekitar tahun 89). Memang benar kata Lutfi Othman (dalam Harakah) bahawa Rustam punyai kurniaan Allah yang cukup istimewa yakni keupayaan menterjemah pemikiran kritikal lagi kompleks dalam bahasa yang mudah difahami. Kehebatan Rustam yang merupakan bekas pensyarah universiti mengenegahkan isu atau persoalan besar dalam negara tatkala beliau masih dalam kerangka media arus perdana cukup menambat hati. Ketika mengupas sesuatu isu, Rustam tidak hanya menjelaskan persoalan tersebut tetapi menampilkan kerangka pemikiran yang menyumbang kepada isu berkenaan. Dengan demikian beliau mampu menjadikan pembaca bukan sahaja tahu tetapi faham akan perkara tersebut. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang bermakna buat mereka yang suka dan cintakan kepada pemikiran. Yang pasti jaringan blog beliau dalam blog ini akan meninggalkan satu nokhta dengan tanda tanya, apakah ada lagi keturunan Ahmad Boestaman yang bakal melestarikan pemikiran Rustam dan ayahnya (Boestaman). Semoga allahyarham Boestamam, Rustam dan Abdul Rahim (ayah Zul OT) mendapat rahmatNya... al-Fatihah.