Wednesday, April 23, 2008

Ajal itu pasti ... 2

Allahyarham Boestamam dan allahyarham Rustam



Lebih kurang jam 6.30pagi (sekitar waktu kebiasaan orang bangun bertahajut di Malaysia ... 4.30pagi) 22 April, deringan panggilan telefon melenyapkan kelekaan melayari internet seketika. Innalillah... berita kepulangan ayah Zul OT dimaklumkan. Lantas rakan-rakan membuat persiapan untuk menunaikan Solat Ghaib pada petang 22 April.



Hari ini tatkala menjemput anak-anak dari sekolah, rakan menyapa dan maklumkan seorang penulis dan pemikir luar biasa di Malaysia telah kembali ke rahmahtullah. Rustam A. Sani bukanlah nama yang agak baru kepada diri ini. Nama beliau yang juga tersenarai sebagai penulis idola diri ini, telah mencuri hati tatkala masih di tingkatan 2 lagi (sekitar tahun 89). Memang benar kata Lutfi Othman (dalam Harakah) bahawa Rustam punyai kurniaan Allah yang cukup istimewa yakni keupayaan menterjemah pemikiran kritikal lagi kompleks dalam bahasa yang mudah difahami. Kehebatan Rustam yang merupakan bekas pensyarah universiti mengenegahkan isu atau persoalan besar dalam negara tatkala beliau masih dalam kerangka media arus perdana cukup menambat hati. Ketika mengupas sesuatu isu, Rustam tidak hanya menjelaskan persoalan tersebut tetapi menampilkan kerangka pemikiran yang menyumbang kepada isu berkenaan. Dengan demikian beliau mampu menjadikan pembaca bukan sahaja tahu tetapi faham akan perkara tersebut. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang bermakna buat mereka yang suka dan cintakan kepada pemikiran. Yang pasti jaringan blog beliau dalam blog ini akan meninggalkan satu nokhta dengan tanda tanya, apakah ada lagi keturunan Ahmad Boestaman yang bakal melestarikan pemikiran Rustam dan ayahnya (Boestaman). Semoga allahyarham Boestamam, Rustam dan Abdul Rahim (ayah Zul OT) mendapat rahmatNya... al-Fatihah.

1 comment:

admin said...

antara sumbangan allahyarham kepada dunia ilmu ialah usaha beliau memperkenalkan konsep 'nation of intent'. konsep ini secara ringkasnya membincangkan mengapa wujudnya perbezaan di kalangan masyarakat Melayu dari segi cita-cita hidup bernegara. saya akan cuba bincangkan konsep ini sedikit masa lagi..