Saturday, March 08, 2008

Makna 8 Mac 2008

Ramai yang bertanya mengapa menyepi ... bukan saya sibuk berkempen pilihanraya, bukan saya sudah kering minda, mandul menulis atau penyelidikan PhD mematikan saya berblog, tetapi itulah iman kita, saya ditakdirkan tidak sihat dalam satu tempoh yang agak panjang. Manusia boleh merancang, manusia boleh berusaha untuk tidak berlaku sesuatu atau untuk berlaku sesuatu. Tetapi sebagai seorang Islam, kita beriman dengan qada dan qadar Allah. Teringat saya akan rakan dari Timur Tengah yang menyapa saya setelah selesai solat Zohor 3 hari yang lalu, "How are you brother?", jawab saya "Not that good!". Lantas dia berkata, "No, you're good...good...fine". Tersentak di bawah bumbung mussola (surau) itu, secara spontan mult menjawab "Yap, you're right, alhamdulillah I still can performed solat in jamaah". Benarlah, kita selalu terlalu berfikir tentang apa yang berlaku ke atas kita sehinggakan kita sering lupa apa tangggungjawab kita kepada pencipta kita. Kalau dah sakit, susah, derita, ditekan pun kita masih tidak terfikir ada lagi nikmat Allah kepada kita, apakan pula tatkala kita sudah selesa, senang dan sihat?

Tarikh hari ini sungguh bermakna khususnya buat diri ini. Setelah menjangkau hampir 3.5 dasawarsa, rasanya sudah banyak nikmat Allah berikan dan terasa pula masih banyak yang diri ini perlu pulangkan kepada ummah dan masyarakat. Selain itu ia juga merupakan tarikh bermakna bagi Malaysia dalam menentukan kepemimpinan kerajaan menerusi pilihanraya umum ke-12. Ramai yang meramalkan pilihanraya kali ini agak sengit kepada Barisan Nasional. Kata orang, kebangkitan rakyat untuk berubah angin pemerintahan juga semakin tinggi, pembangkang semakin bersatu, rakyat rasa tertekan, masalahan dalaman parti komponen Barisan Nasional dan pelbagai lagi. Apa pun saya tetap yakin bahawa majoriti 2/3 masih dalam tangan BN. Kemungkinan yang agak pasti kepada parti pembangkang ialah peningkatan dalam undi popular dan pertambahan beberapa kerusi parlimen mahupun dewan undangan negeri. Saya juga berpendapat beberapa buah negeri di sebelah utara Malaysia bakal membentuk kerajaan baru yang dipimpin oleh parti pembangkang.

Masa 10 tahun dalam gerakan menyokong atau sebenarnya gerakan simpati kepada parti-parti pembangkang adalah masih muda. Sekurang-kurangnya saingan yang betul-betul sengit hanya akan mampu dilakukan oleh pembangkang adalah di antara 10 ke 20 tahun lagi. Faktor masa tersebut ada kaitan dengan proses penyuburan (cultivation) terhadap pemikiran. Tetapi faktor masa ini boleh berubah agak awal lagi sekiranya media massa menyediakan gelanggang yang 'gentleman' kepada parti-parti politik khususnya politik kepembangkangan.

Apa-apa pun, semua pihak wajar mengiktiraf apa saja keputusan yang bakal berlaku. Kepada pihak yang menang, TAHNIAH dan tanggungjawab anda pasti disoal 'di sana' kelak. Kepada yang memilih (mengundi) anda telah menentukan nasib anda dan juga bakal ditanya 'di sana'.

1 comment:

Nadlique said...

Salaam :)

Nampak gayanya, Barisan Nasional telah gagal meraih majoriti dua pertiga. Kalau nak ikutkan, ada hikmahnya itu berlaku. Mulai sekarang, harap-harap, kuranglah ego pemimpin-pemimpin dan penyokong Barisan Nasional yg menyangka mereka kebal. InsyaAllah, mereka akan kerja lebih keras lagi selepas ini.

Walaubagaimanapun, saya masih risau dengan kerajaan-kerajaan negeri yg bakal dibentuk oleh parti-parti pembangkang. Saya tidak berapa yakin dengan manifesto "Negara Kebajikan". Risau akan musnah ekonomi negara.

Wallahuallam.