Thursday, March 12, 2009

Renungi kisah Lebai Malang

"...Because God will never change the grace which He has bestowed on a people until they change what is in their (own) souls: and verily God is He who hears and knows (all things)".
"Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkanNya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah maha mendengar lagi maha mengasihi". (Al-Anfal:53)

Ayat di atas merupakan sepotong ayat yang amat klise dirujuk apabila merayu kepada orang Melayu khususnya untuk berubah. Tak kira siapa yang berkata atau berkuliah atau bertitah, ayat tersebut merupakan senjata psikologi untuk 'menakutkan' orang Melayu khusunya. Orang Melayu majoritinya pula takut dan sujud akan kalimah Allah ini kerana tradisi atau budaya orang Melayu itu sendiri...hal ini seakan melebihi pula 'taat' kepada Allah. Bagi mereka yang sering mentelaah tafsir Quran (BUKAN terjemahan Quran), falsafah di sebalik ayat itu cukup berkesan dan terkesan. Bangsa menurut tafsir Ibn Kathir (tafsiran yang cukup mahsyur) dalam ayat di atas adalah golongan yang menentang beriman dengan Allah. Saya memilih 'beriman' bukannya patuh atau taat kerana konotasinya cukup besar. Peringatan atau amaran menerusi ayat itu adalah Allah maha pemurah dan pengasih bagi mereka yang tidak berpaling dengan keimanan kepadaNya. Sejajar dengan hakikat bahawa Quran diturunkan untuk kebaikan seluruh alam, ayat tersebut di atas tanpa ragu terpakai samada seseorang itu seorang Islam atau bukan Islam (tak kira samada bangsa Melayu, Cina, India, Barat dsbg). Quran bukan untuk orang Islam sahaja.

Pokoknya di sini ialah berubah atau balik semula kepada beriman dengan Allah. Dalam konteks orang Melayu, kita harus berubah tak kira dari segi ekonomi, sosial, politik, dan pelbagai lagi dengan matlamat bukan untuk mengangkat kedudukan/imej orang Melayu, tetapi untuk mengangkat keimanan kita di sisi Allah. Kalau orang Melayu berubah dari cara hidup tradisi kepada terkini, ayat tersebut tidak signifikan kepada kita. Ia hanya akan menjadi berkesan/terkesan apabila perubahan cara hidup, cara berekonomi, cara berpolitik orang Melayu itu menurut ajaran Allah dan demi Allah (matlamat). Apa maknanya orang Melayu diajak berubah untuk mempertahankan keistimewaannya serta institusi tradisinya kalau matlamat perubahan itu tidak menurut jalan ke arah keimanan kepada Allah. Apa hebatnya adat istiadat hatta bahasa Melayu itu jika ada elemennya yang bercanggah dengan ajaran Allah. Apa pentingnya kepimpinan Melayu itu dipertahankan sekiranya golongan itu hanya sebagai simbol identiti bangsa Melayu.

Hakikatnya identiti agama (Islam) untuk sekadar menunjukkan bahawa seseorang itu Melayu tak ubah seperti minda dan kehendak penjajah. Yang kita dambakan biarlah identiti itu zahir sebagai keimanan kita kepada Allah. Sudah berpuluh tahun kita berarak sempena maulid Rasul, apakah dengan itu hadis dan sunnah Rasulullah sa.w. sudah sebati dalam dada kita. Beribu masjid tegak di muka bumi kita, apakah itu tandanya iman kita telah menebal. Apa maknanya Islam kita pertahankan dalam perlembagaan andai kata ratusan 'Perkara' dan undang-undang dalam perlembagaan itu menyimpang dari seruan Allah. Yang kita wajar cari, semai, pupuk, ajak dan daulatkan ialah 'iman' yakni akhlak disisi Allah bukannya identiti.

Mempertahankan bangsa berasaskan adat resamnya, atau bahasa bangsa itu, hanya bakal menyaksikan catatan sejarah tertulis. Hayatilah kisah
Lebai Malang bila identiti agama yang dijulang sebenarnya untuk menyelindungi haloba diri.

Bangsa Melayu akan kekal sejahtera apabila yang diikatnya sunnah, disimpulnya dengan Quran dan disalutnya dengan keimanan tulus kepada Allah. Janji Allah itu benar ke atas bangsa yang beriman kepadaNya bukan bangsa yang dikenali sebagai Melayu, India, Cina, Afrika dan pelbagai lagi.

Saturday, March 07, 2009

Seniman Sastera Melayu...Al-Fatihah

Semalam 6 Mac 2009,dunia sastera Melayu di Malaysia khusunya kehilangan salah seorang pengiat atau senimannya. Sdr Zubir Ali yang berasal dari Alor Setar, Kedah merupakan antara pengiat muzik yang berupaya mengisi ruang 'hiburan' diri ini. Pada Januari yang lalu, ada sebuah entri dalam blog ini yang meletakkan Zubir Ali sebagai ikon yang mampu mempengaruhi jiwa hiburan orang Melayu yang didasarkan kepada nilai falsafah dan praktis bangsa itu. Seperti juga M.Nasir, Zubir Ali banyak mempopularkan lagu-lagu yang berasaskan puisi samada sebagai seorang komposer, penulis dan juga penyanyi. Di sebalik perjuangan memartabatkan bahasa Melayu melalui 'budaya popular', Zubir Ali berjaya mengenegahkan genre 'ketuhanan' dalam 'budaya popular' tersebut. Antara lagunya yang amat mengesan ialah 'Doa'. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau...Al-Fatihah.

Doa

Tuhanku
Dalam termangu
Ku sebut namaMu
Biar susah sungguh
Mengingati Kau
Penuh seluruh

Tuhanku cahayaMu
Panas suci
Bagai kerdip lilin
Di kelam sunyi

Tuhanku
Aku hilang bentuk
Kembara di negeri asing
Tuhanku
PintuMu ku ketuk
Aku tak bisa berpaling


Tuesday, March 03, 2009

Puisi Soal Jawab

Hari ini aku menerima satu luahan berhubung isu bahasa Melayu. Cerapan itu datang rasanya terkesan dari puisi Usman Awang, Keranda 152 yang dipos ke satu kumpulan email. Meneliti seketika bait-bait luahan itu, aku kira ia bersedia diangkat sebagai sebuah puisi yang penuh persoalan. Bingkas aku menjawab persoalan serta luahannya.

Sekadar bermain-main dengan sisa-sisa bahasa Melayu peninggalan nenek-moyang ku. Harap jangan ada terguris hati, namun aku susun sepuluh jari.

nak ubat penyakit...tapi salah cari ubat

Sebab diberi kepada bukan ahlinya yang mengaku hebat

Tunggulah 5-10 tahun lagi tengoklah kesan dia

Orang Melayu kan mudah lupa

Siapa nak sajak..sajak...siapa nak syair..syair...

Tapi biarlah menguntungkan minda bukan buat harta dunia

Key point sebenarnya....adakah nak majukan bangsa dengan menghapuskan bahasa ibunda

Sekali lagi, orang Melayu kan mudah lupa

Kenapa kerajaan "degil" sangat tak nak kembali kepada bahasa melayu...

Akulah pemimpin aku maha tahu

Sila guna undi anda untuk bahasakan kerajaan sekarang!

Apakah undi itu masih rahsia

Kenapa pembangkang beria sangat nak perjuangkan bahasa melayu....entah?

Kerana merekalah paling banyak belajar kesalahan yang lalu

Orang2 politik susah nak diramal...

Apabila nafsu mereka beramal

Orang2 akademik bungkam membisu...

Sebab mereka dirasuk AUKU

Orang2 kampung, anak2 kecil desa jadi mangsa...

Itulah dunia mereka sejak merdeka

Satu tambah Satu = Dua,

Kalau jawab lebih derhaka aku pula

One plus One = Entah? apa tu ayah?

Adik tahu…100 Plus lah tu

Terlalu politiking!...

Lumrah manusia bila rasa dirinya ‘King’


Salam puisi-Qrie

*Kepada pengirim luahan itu, tahniah kerana berupaya menjadikan luahan itu puitis.


Monday, March 02, 2009

Usman Awang Dalam Kenangan

Masalah bahasa Melayu yang kian memuncak bingkas mengingatkan aku akan sosok seorang tokoh bahasa Melayu yang paling terkesan ke atas diri ini. Tongkat Warrant nama pena Sasterawan Negara iaitu Usman Awang telah membuak cinta abadi aku terhadap bahasa Melayu. Ramai menganggap bahasa adalah satu seni hiburan...golongan ini tak berbeza seperti kapitalis, sebaliknya bahasa adalah pemikiran dan sistem minda masyarakat. Mereka yang beranggapan bahasa adalah satu hiburan, aku umpamakan sebagai seorang yang sudah 'mati pucuk'. Keghairahan aku terhadap bahasa tak pernah gersang dan tak pernah puas merasa kelazatannya. Al-Quran merupakan satu contoh terbilang dan gemilang, tiap-tiap bait kandungannya yang dipersembahkan dalam bentuk bahasa cukup agung akan nilainya (makna tersurat dan tersirat). Usman Awang telah membuat aku berasa cukup bangga dengan pemikiran Melayu sebenarnya. Melayu yang aku kenal melalui kesusteraan Melayu adalah Melayu yang bersifat memertabatkan insan...bukannya Melayu yang aku sering lihat sebagai hamba insan. Jadilah kita Melayu yang menjadi hamba Allah...BUKANNYA hamba manusia.

Dipersembahkan dua nukilan sajak Allahyarham Dr. Usman Awang sebagai santapan minda...


Kurang Ajar

Sebuah perkataan yang paling ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu.

Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku;
Kau harus menjadi manusia kurang ajar
Untuk tidak mewarisi malu ayahmu.

Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya.

Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar.


Malam di Balai Budaya

Malam itu di Balai Budaya
Api dan air mata

Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara
‘Berarak ke parlimen,aku di muka’

Malam itu di Balai Budaya
Seseorang peguam muda berkata
‘Bakar Perlembagaan 152’

Malam itu di Balai Budaya
Seseorang pemuda berteriak
‘Ayuh mari kita berarak’

Malam itu di Balai Budaya
para pelajar berikrar
‘Dada kami sedia dibakar’

Malam itulah juga
Parlimen jadi petanda
Memenggal leher BAHASA.

(USMAN AWANG 3 Mac 1967)