Thursday, March 12, 2009

Renungi kisah Lebai Malang

"...Because God will never change the grace which He has bestowed on a people until they change what is in their (own) souls: and verily God is He who hears and knows (all things)".
"Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkanNya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah maha mendengar lagi maha mengasihi". (Al-Anfal:53)

Ayat di atas merupakan sepotong ayat yang amat klise dirujuk apabila merayu kepada orang Melayu khususnya untuk berubah. Tak kira siapa yang berkata atau berkuliah atau bertitah, ayat tersebut merupakan senjata psikologi untuk 'menakutkan' orang Melayu khusunya. Orang Melayu majoritinya pula takut dan sujud akan kalimah Allah ini kerana tradisi atau budaya orang Melayu itu sendiri...hal ini seakan melebihi pula 'taat' kepada Allah. Bagi mereka yang sering mentelaah tafsir Quran (BUKAN terjemahan Quran), falsafah di sebalik ayat itu cukup berkesan dan terkesan. Bangsa menurut tafsir Ibn Kathir (tafsiran yang cukup mahsyur) dalam ayat di atas adalah golongan yang menentang beriman dengan Allah. Saya memilih 'beriman' bukannya patuh atau taat kerana konotasinya cukup besar. Peringatan atau amaran menerusi ayat itu adalah Allah maha pemurah dan pengasih bagi mereka yang tidak berpaling dengan keimanan kepadaNya. Sejajar dengan hakikat bahawa Quran diturunkan untuk kebaikan seluruh alam, ayat tersebut di atas tanpa ragu terpakai samada seseorang itu seorang Islam atau bukan Islam (tak kira samada bangsa Melayu, Cina, India, Barat dsbg). Quran bukan untuk orang Islam sahaja.

Pokoknya di sini ialah berubah atau balik semula kepada beriman dengan Allah. Dalam konteks orang Melayu, kita harus berubah tak kira dari segi ekonomi, sosial, politik, dan pelbagai lagi dengan matlamat bukan untuk mengangkat kedudukan/imej orang Melayu, tetapi untuk mengangkat keimanan kita di sisi Allah. Kalau orang Melayu berubah dari cara hidup tradisi kepada terkini, ayat tersebut tidak signifikan kepada kita. Ia hanya akan menjadi berkesan/terkesan apabila perubahan cara hidup, cara berekonomi, cara berpolitik orang Melayu itu menurut ajaran Allah dan demi Allah (matlamat). Apa maknanya orang Melayu diajak berubah untuk mempertahankan keistimewaannya serta institusi tradisinya kalau matlamat perubahan itu tidak menurut jalan ke arah keimanan kepada Allah. Apa hebatnya adat istiadat hatta bahasa Melayu itu jika ada elemennya yang bercanggah dengan ajaran Allah. Apa pentingnya kepimpinan Melayu itu dipertahankan sekiranya golongan itu hanya sebagai simbol identiti bangsa Melayu.

Hakikatnya identiti agama (Islam) untuk sekadar menunjukkan bahawa seseorang itu Melayu tak ubah seperti minda dan kehendak penjajah. Yang kita dambakan biarlah identiti itu zahir sebagai keimanan kita kepada Allah. Sudah berpuluh tahun kita berarak sempena maulid Rasul, apakah dengan itu hadis dan sunnah Rasulullah sa.w. sudah sebati dalam dada kita. Beribu masjid tegak di muka bumi kita, apakah itu tandanya iman kita telah menebal. Apa maknanya Islam kita pertahankan dalam perlembagaan andai kata ratusan 'Perkara' dan undang-undang dalam perlembagaan itu menyimpang dari seruan Allah. Yang kita wajar cari, semai, pupuk, ajak dan daulatkan ialah 'iman' yakni akhlak disisi Allah bukannya identiti.

Mempertahankan bangsa berasaskan adat resamnya, atau bahasa bangsa itu, hanya bakal menyaksikan catatan sejarah tertulis. Hayatilah kisah
Lebai Malang bila identiti agama yang dijulang sebenarnya untuk menyelindungi haloba diri.

Bangsa Melayu akan kekal sejahtera apabila yang diikatnya sunnah, disimpulnya dengan Quran dan disalutnya dengan keimanan tulus kepada Allah. Janji Allah itu benar ke atas bangsa yang beriman kepadaNya bukan bangsa yang dikenali sebagai Melayu, India, Cina, Afrika dan pelbagai lagi.

No comments: