Seminggu dua yang lalu, Pilihanraya Umum Universiti Awam di Malaysia menjadi mauduk utama media massa mahupun media-media elektronik masa kini. Sesungguhnya pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) cukup sentimental buat aku. Mengenang kembali sejarah zaman remaja tatkala di universiti cukup manis. Betullah kata para guru dan rakan senior semasa belajar dulu bahawa zaman bergelar pelajar adalah cukup indah. Pasti kelak kita akan terkenang indahnya zaman tersebut yang pastinya berbeza walaupun satu masa nanti kita bergelar pelajar semula. Sebagai pelajar kita punya tiket besar untuk bersikap 'kurang ajar' kerana memangpun kita sedang belajar untuk mengatasi sikap kurang ajar itu.
Ketika tetikus deras mengklik berita-berita suasana pilihanraya kampus, imbasan 11 tahun sudah mengamit ingatan. Pada ketika itu aku masih mentah dengan permainan politik kampus tetapi bernafsu besar dengan gagasan 'kemahasiswaan'. Namun kecenderungan 'bermain kuasa' bukan suatu yang baru bagi aku yang sekitar awal 20an ketika itu. Aku mula sedar akan kelibat 'berpolitik' seawal usia 7 tahun. Tanpa dinafikan bapa borek anak rintik ... mungkin penglibatan bapa dalam kegiatan seni budaya dan juga khidmat masyrakat ketika zaman mudanya menyebabkan aku amat cenderung dengan gerakan kemasyarakatan. Seawal usia 5 tahun, akau sudah mula mengikuti aktiviti kemasyarakatan bapa terutamanya dalam Pergerakan Belia Melayu Pulau Pinang dan juga Rukun Tetangga. Minat terhadap politik jelas terpancar ketika berumur 8 tahun. Pada ketika itu,berlangsunglah Pilihanraya Umum ke-6 sekitar tahun 1982. Masih segar lagi ingatan aku, beberapa hari sebelum pilihanraya emak telah membeli bekalan makana yang banyak, katanya takut Barisan Nasional kalah di Pulau Pinang boleh menyebabkan pergaduhan kaum dan berlaku perintah berkurung. Mendengar amaran itu, aku jadi bimbang kalau-kalau BN kalah ... tapi sekarang tidak lagi begitu. Pada malam pengiraan undi aku dan bapa serta abang telah siap menunggu di depan TV, radio dan surat khabar Utusan Malaysia siap sedia untuk dicatat keputusan. Pada tahun yang sama juga satu sejarah besar berlaku apabila tokoh muda dari Pulau Pinang yang sinonim dengan gerakan belia Islam menerima lamaran UMNO dan BN. Anwar Ibrahim menyertai UMNO dan BN atas jemputan Dr. Mahathir. Peristiwa besar ini telah menyebabkan aku mula minat politik kerana Anwar sebagai seorang muda yang cukup karismatik memberi kesan besar dalam senario politik negara dan Pulau Pinang amnya.
Satu lagi titik sejarah bahawa minat aku terhadap politik dan kepimpinan yang ada dalam diri aku tatkala baru melangkah ke darjah 3 di Sekolah Rendah Kebangsaan Westlands, Pulau Pinang. Aku menangis apabila membaca berita pembunuhan Perdana Menteri India ketika itu iaitu Indira Ghandi pada 31 Oktober 1984. Aku masih ingat lagi guru kelas pemulihan (kanak-kanak yang tak tahu berbahasa Melayu) Cikgu Thavamani ceritakan bagaimana sumbangan Indira Ghandi kepada India. Cikgu Thavamani juga adalah guru yang mengajar Matematik dan Bahasa Inggeris kita sekolah rendah dulu.
Minat dan kecenderungan kepimpinan terus berkembang tatkala dilantik sebagai Penolong Ketua Darjah semasa darjah 2. Masa darjah 3 pula dilantik menjadi Pengawas sekolah seterusnya sebagai Penolong Ketua Pengawas semasa di darjah 6. Pendek kata anugerah kepimpinan yang Allah beri tanpa aku sedari. Semasa sekolah menegah, 2 kali diangkat sebagai Ketua Pelajar (Head Boys). Pertama semasa di tingkatan 5 di Sek. Men. Westland dan seterusnya ketika menumpung seketika di Sek. Men. Abdullah Munshi, P.Pinang belajar di tingkatan 6. Ketika di Munshi, banyak yang aku belajar tentang pemimpin dan kepimpinan. Maklumlah sebagai imigran tiba-tiba dilantik sebagai Ketua Pelajar menyebabkan rakan-rakan anak jati Abdullah Munshi berasa tergugat. Di sinilah akau mula berfikir tentang perkongsian kuasa dan aliran kuasa untuk mengharmonikan antara pribumi dan pendatang.
Belum sempat menarik nafas berehat daripada menjadi ketua, suasana dan kemanisan alam universiti cepat memikat hati aku untuk terus 'main politik'. Antara peristiwa yang cukup signifikan dalam penglibatan kemahasiswaan aku ialah penglibatan secara langsung dalam satu-satunya demonstrasi kampus yang cukup hebat dalam sejarah universiti di lembah Sintok. Umum tahu bahawa mahasiswa di Sintok cukup 'ulu' pemikiran kononnya kerana lokasi geografikal kampus itu... pada ketika itu. Sesekali mengenangkan peristiwa itu terasa bodoh juga. Isunya banyak tetapi yang mengerakkan demonstratsi itu adalah kerana universiti mengenakan syarat melarang bas awam masuk kampus sepanjang tempoh perkuliahan. Alasan utama larangan tersebut ialah untuk mengelak pelajar dari keluar kampus atau ponteng kuliah. Sedangkan tanpa bas awam bagaimana urusan peribadi nak dibuat dan lebih penting banyak juga assignment yang memerlukan pelajar mencari bahan dan buat kerja lapangan di luar kampus. Kecut perut juga dibuatnya ketika berdemo tu, mana tidaknya staf Keselamatan siap dengan kemera dan video merakam aksi-aksi kami. Tanpa aku sedari akulah pemegang pembesar suara membantu Presiden dan Tim. Presiden MPP berucap di ruang legar Bangunan Canselori. Tujuan demo tu untuk hantar Memorandum. "Kami tak nak jumpa dengan pembangu TNC(HEP), kami mahu TNC(HEP) turun jumpa kami", masih aku ingat ungkapan tegas dan keras itu. Apabila dimaklumkan TNC tiada di pejabat dan berada di salah sebuah fakulti untuk bermesyuarat, kami gerakan demo menuju ke arah bangunan fakulti tersebut. Betulah pepatah Melayu, lidi sebatang mudah dipatahkan tetapi lidi segenggam terlalu kuat untuk dipatahkan. Dua minggu selepas itu satu demi satu 'orang kuat' demo disoal siasat. Memang cuak juga apabila terbaca notis di serata kampus berbunyi "Sesiapa yang terlibat dengan demonstrasi kampus diminta melapor diri ke pejabat Keselamatan. Kami ada gambar anda". Tetapi hinggalah tamat pengajian 3 1/2 tahun di situ aku langsung tidak disoal siasat. Ini semua ketentuan Allah.
Malah yang lebih menarik aku bertanding pula dalam pilihanraya kampus 1995. Atas desakan rakan-rakan dan juga pengaruh Allahyarham Dekan Sekolah aku maka aku berazam bertanding. Ini kerana aku merasakan mahasiswa terlalu dibuai dengan isu yang berlegar sekitar kebajikan mereka. Mana isu kemanusiaan, mana isu persekitaran, mana isu menyanggah ketidakadilan kuasa dunia? Aku mula merasakan bahawa anjakan paradigma perlu berlaku. Tanpa dapat dinafikan, tulisan-tulisan Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim telah sebati dalam minda aku. Tahun 1995 menyaksikan adengan boikot pilihanraya kampus. Ini berlaku apabila kumpulan pengerak demo seolah-olah disekat hingga wujud pembatalan pilihanraya kampus pada 1995. Rakan-rakan kumpulan tersebut pula berhadapan dengan satu kumpulan yang 'dijelmakan' oleh universiti. Keadaan menjadi kecoh. Universiti mengumumkan akan mengadakan pilihanraya semula. Khabar angin bertiup kencang tentang cadangan boikot pilihanraya semula itu. Aku mula resah, rakan-rakan bukan bumiputra dah mula canang 'this is the best time'! Aku semakin sedih setelah rayuan kepada rakan-rakan yang nak boikot tak menampakkan hasil. Mereka tegas!
Aku mula kumpulkan rakan-rakan bincang tindakan... "Ini soal maruah dan imej, kepimpinan boleh dibentuk dan dibina," aku mula mengajar rakan-rakan agar tidak lagi terasa 'kurang ajar'. Sambung kau lagi. "Jangan marahkan nyamuk, kelambu kita bakar," ...."Melayu mesti terus teraju lembah Sintok" tambah aku lagi. Ingat lagi pesan arwah Dekan aku semasa berjumpa beliau untuk mohon 'restu' bertanding. 'You kena pi cari kawan-kawan Melayu. Kalau bukan Melayu make sure they willing to work with you". Puas aku rayu dan cari calon untuk proses penamaan pagi itu. Aku mula risau bila tengok rakan-rakan kulit cerah mula masuk menyerahkan borang penaam calon. Berjumpalah dengan beberapa rakan sebangsa yang tak berapa kenal serah borang. Hampir waktu tamat penamaan aku dimaklumkan oleh pegawai HEP hampir 50-50. Alhamdulillah menjelang detik akhir 'room mate' aku bersama rakannya serahkan borang. Petang itu diumumkan kesemua calon yang menamakan diri menang tanpa bertanding.
bersambung...
Monday, October 16, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment