Sunday, October 08, 2006
Antara Politik & Islam di Thailand
Gen. Sonthi Boonyaratglin
Tatkala merenung dan berfikir tentang dokumen pengesahan pencalonan PhD (candidature confirmation - CC), terpanggil untuk merenung sejenak peristiwa sekitar 20 September 2006. Memangpun September cukup bermakna buat diriku mungkin juga sebahagian besar masyarakat Malaysia. Bait dokumen yang aku coretkan "In particular, the Quran clearly prohibits drug use, promiscuous sexual behaviour and unlawful sexual relations" menyebabkan penyelia aku seolah mencabar keupayaan berhujah serta iman aku dengan catatannya yang berbunyi ... "So does the Christian Bible. What is distinctive about Islam?" Biarlah jawapan dan hujah balas aku dibaca 2 tahun lagi untuk tatapan umum!
Pagi 21 september yang lepas, tergamam seketika bila mana rakan sepejabat di kampus bertanyakan tentang rampasan kuasa di Thailand oleh pihak tentera. Memang kosong dalam pengetahuan aku tentang hal ini, maklumlah sudah hampir 3-4 hari asyik memikirkan tentang CC dan langsung tidak menonton berita lewat malam ABC sebagaimana rutin. Sepantas kilat terus digali maklumat-maklumat yang ada dalam internet berhubung hal ini. Ahh... ini mesti akan jadi isu besar lagi. "Nerawi, do you know that Gen. Sonthi who lead the coup is a Muslim?" jelas aku kepada rakan sepejabat dan dijawabnya dalam terkejut yang tenang ... "Ya kah!". Pada ketika itu juga ligat aku berfikir... why must the news and media high light about his religion? What is the next agenda? Dalam laporan mana-mana berita, tiada yang dilaporkan tanpa sebarang niat atau matlamat (telaah Teori Penentuan Agenda - Agenda Setting Theory). Teori ini antara teori wajib yang perlu diketahui oleh setiap pelajar bidang komunikasi. Aku mula membayangkan bagaimana Islam akan diburukan lagi dengan insiden ini. Ya, ini pasti menjadi antara soalan yang cukup enak untuk dihidangkan kepada Pichai Chuensuksawadi, Ketua Eksekutif Editor akhbar Bangkok Post nanti. Kebetulan pada 21 Sept. itu, Pichai akan mengadakan sesi dialog bersama staf akademik dan penuntut sarjana School of Communication & Journalism, University of Queensland.
Sesi tengahari 21 sept. itu cukup menarik. Kesimpulannya, dialog yang berkisar sekitar amalan dan pendidikan kewartawanan di Thailand oleh Pichai sudah cukup mudah untuk menjawab persoalan kenapa rampasan kuasa berlaku tanpa bertanya kepada beliau secara khusus. Rupanya golongan ilmuan dan ekonomi pertengahan dan ke atas di Thailand melihat penguasaan Temasik Holdings di dalam salah satu syarikat telekomunikasi Thailand yang dikuasai oleh keluarga Thaksin (bekas Perdana Menteri Thailand) antara punca kepimpinan Thaksin perlu ditentang. Syukur aku kerana negara kita juga mungkin nyaris-nyaris terjerumus dalam kancah politik yang sama jika aku yang satu lagi (Khairy Jamaludin) mengambil sikap bertahan (rujuk isu ELC Libra dan Pantai Holdings dengan gergasi Singapura yang sama iaitu Temasik Holdings).
Seperti yang diidamkan, 2 soalan aku ajukan kepada Pichai: apakah peranan media di Thailand dalam isu Selatan Thai dan kenapa media mula mempropagandakan Gen. Sonthi sebagai seorang Muslim. Jawapan jujurnya, mengakui memang benar Sothi sebagai seorang Islam dan Thaksin mengangkat Gen. Sonthi sebagai Panglima Angkatan Tentera Thai dengan alasan sebahagian daripada mekanisme menangani isu selatan Thailand. Dengan kata lain Sonthi sebagai Muslim adalah fakta. Namun sebagai seorang guru yang mengajar ilmu perancangan agenda dalam media, aku sama sekali tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Tetapi mungkin itu adalah jawapan terbaik daripada seorang Ketua Editor Bangkok Post yang pastinya tidak senang duduk kerana secara tidak langsung nasibnya juga seperti telor dihujung tanduk. Mungkin boleh tanya Dato' Johan Jaafar atau Dato' Kadir Jasin, mereka bukan sahaja arif tentang sepak terajang kepimpinan media di Malaysia malah mereka sebahagian daripada proses 'sekali air bah, sekali pantai berubah' dalam industri media di Malaysia. Ketika sesi jamuan tengahari itu, telefon bimbit Pichai terus menerus berdering dan nada mesej masuk tidak surut-surut. Seketika Pichai berdampingan dengan aku dan Nerawi sambil berkongsi mesej yang diterima. Salah satu sms yang masih segar dalam ingatan aku yang dibaca oleh kami di skrin telefon Pichai ialah "Deputy PM detained".
Sejak 21 Sept. lagi, berita-berita tentang rampasan kuasa ini aku ikuti dengan penuh serius kerana bagi aku, Islam dinilai dan difokus. Jika berlaku kekecohan apatah pertumpahan darah, maka pasti Islam akan dilabel bermacam-macam. Alangkah lega rasanya bila diumumkan Gen. (bersara) Surayud Chulanont dilantik sebagai PM kerajaan sementara Thailand pada 1 Oktober 2006. Dengan demikian pemerintahan tentera telah tamat. Malah kesemua anggota kabinet Thaksin yang ditangkap turut dibebaskan.
Alhamdulillah, Gen. Sonthi setidak-tidaknya telah menjadi hero dan berjaya menonjolkan imej Islam yang baik sekurang-kurangnya dengan tidak mencetuskan sebarang insiden yang boleh mengugat keperibadian beliau sebagai seorang Muslim. Maka dengan itu, agenda memburukan Islam yang pastinya telah tersedia oleh pihak media Barat khususnya, terpaksa diperam dan disimpan buat seketika. Sejak dari itu, laporan rampasan kuasa di Thailand sudah agak berkurangan mengandungi perkataan Islam.
"In politics, nothing is happen accidently nor in news reporting. Politic and journalism are the art of planning to make things possible."
Salam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment