Tersentak seketika apabila membaca tulisan Andrew Sia dalam akhbar The Star 8 April 2007 yang bertajuk Anwar's New Agenda. Sebagai penganalisis komunikasi dan media, pastinya rencana akhbar The Star ini menimbulkan beberapa persoalan yang cukup menarik dalam konteks sistem media di Malaysia yang rata-rata didominasi oleh parti pemerintah. Seperti juga sistem politik Malaysia yang berlandaskan politik perkauman, begitulah juga pola insitiusi media yang banyak bernaung dalam kerangka perkauman serta selari dengan politik kepartian. Rata-rata, institusi media massa perdana Malaysia samada media cetak mahupun elektronik adalah dimiliki atau berpengaruh ke atas sesuatu parti politik kecualilah media politik seperti Harakah, Suara Keadilan dan Rocket.
Antara foto yang disiar bersama rencana The Star tersebut
Berbalik kepada rencana akhbar The Star tersebut, yang menarik minat saya bukannya kandungan rencananya tetapi agenda di sebalik pemaparan rencana itu. Beberapa teori atau penjelasan ilmiah seperti Teori Pembentukan Agenda, Teori Penyuburan Media dan 'Analysis Framing Theory' menyimpulkan bahawa pemaparan sesuatu elemen di dalam sesebuah media adalah selari dengan sesuatu matlamat. Ia tidak hanya sekadar untuk menyampaikan maklumat atau berita. Apatakah lagi dalam konteks media massa di Malaysia yang hampir segalanya berpaksikan politik, matlamat dibalik tabir rencana ini cukup menarik untuk diteliti. Namun tidak dinafikan sama sekali bahawa kandungan rencana itu ada kesannya yang tertentu. Kenapakah sebagai sebuah akhbar yang dikuasi oleh MCA yang juga parti komponen Barisan Nasional yang memerintah Malaysia, The Star tampil untuk mengimejkan Anwar Ibrahim setelah beliau bebas dari penjara? Situasi ini dilihat sedikit 'pelik' tatkala hampir keseluruhan media perdana bersikap 'membeku' atau mengimej Anwar dalam konteks yang 'kurang elok' hatta ada yang terus 'mematikan imej' beliau. Apapun, sikap media The Star ini tidaklah keterlaluan sebaliknya, ini kerana The Star sejak dari dulu dilihat sebagai agak sedikit objektif dan neutral berbanding akhbar lain. Ini mungkin dapat dikaitkan dengan pengaruh media ini ke atas masyarakat 'atas pagar' dan golongan pertengahan tanpa mengira status bangsa. Apatah lagi laporan-laporan The Star yang ada kalanya kontroversi dapat disimpulkan media ini sebagai satu alat dalam percaturan politik MCA dalam komponen Barisan Nasional.
Walau bagaimanapun, kenapakah sekarang The Star berani menampilkan imej Anwar apatah lagi menerusi rencana yang berkisar gagasan politik baru Anwar. Apatah ini satu titik permulaan rencana politik yang serius lantas mengisyaratkan kempen pilihanraya menerusi media massa sudah bermula menjelangnya pilihanraya umum Malaysia? Mungkinkah ini juga salah satu strategi MCA dalam proses 'political bargaining' komponen Barisan Nasional. Akhir-akhir ini, Anwar yang dilihat begitu komited menuntut perubahan Dasar Ekonomi Baru dilihat oleh masyarakat bukan Melayu sebagai sesuatu yang perlu disokong. Mungkin juga rencana ini dapat mewujudkan satu kuasa desakan kepada UMNO khususnya dalam merombak dasar ekonomi negara agar lebih bermanfaat kepada bangsa Cina yang dipimpin oleh MCA. Dengan erti kata lain, mungkin juga rencana yang mengimejkan agenda Anwar ini sebagai satu kuasa desakan secara tidak langsung. Malah ia secara tidak langsung juga boleh menjadi kuasa desakan dalaman UMNO sendiri khususnya dikalangan golongan pertengahan Melayu agar merubah gagasan UMNO yang lebih disenangi oleh bukan Melayu demi survival politik UMNO. Biar apapun, saya melihat rencana berkenaan dengan Anwar Ibrahim pasca 'Sungai Buloh' dan praagenda baru politik Anwar sebagai satu episod baru akhbar perdana Malaysia.
1 comment:
Well said.
Post a Comment