Saturday, March 31, 2007

Amerika, Australia dan Guantanamo Bay

Beberapa hari lepas, Tribunal Jenayah Perang Amerika Syarikat 'berjaya' mendorong David Hicks membuat pengakuan bersalah terhadap satu daripada beberapa tuduhan jenayah penganas. Manakala tiga minggu terdahulu Khalid Shaikh Mohamad telah membuat pengakuan sebagai 'master mind' melenyapkan menara berkembar World Trade Center dan hampir sebahagian besar kes pengeboman oleh kumpulan pengganas. Pastinya dalam tempoh beberapa hari nanti dijangkakan 14 lagi tahanan 'penganas' di Guantanamo Bay akan membuat pengakuan bersalah terhadap tuduhan-tudahan jenayah mereka. Kenapakah baru sekarang, setelah 5 tahun mereka ditahan baru mereka dengan 'rela' hati mengaku bersalah. Kenapa tidak selepas 1 atau 2 bulan ditangkap mereka sudah membuat pengakuan. Setelah mereka dinafikan mendapat khidmat peguam peribadi apakah terlalu sukar untuk pihak yang menahan mereka memperoleh perakuan mereka? Kenapakah mereka sanggup tunggu penyeksaan sehingga 5 tahun dalam tahanan ketenteraan baru hendak membuat pengakuan? Adakah pihak pendakwa tidak mempunyai bukti dan fakta kukuh sehingga 5 tahun baru berjaya membuat pendakwaan? Jika hal ini benar, ini bermakna pihak yang menahan mereka sebenarnya tidak mempunyai bukti sahih. Maka boleh juga dihipotesiskan bahawa mereka yang ditahan itu dipaksa membuat pengakuan.


David Hicks & Khalid Shaikh Mohammed

Seperti mana yang dilaporkan oleh pelbagai media di Australia khususnya, pengakuan oleh Hicks akan membantu beliau 'bebas' dari Guantanamo Bay dan menjalani hukuman penjara di Australia (negara asalnya). Seterusnya dengan melalui proses-proses rayuan tertentu berkemungkinan Hicks akan bebas setelah menjalani hukuman penjara 9 bulan di Australia. Berita dan laporan akhbar Australia hari ini mensahihkan bahawa Hicks akan dibawa pulang ke Australia untuk menjalani hukuman penjara selebihnya di Australia. Adalah sesuatu yang cukup menarik untuk dianalisis situasi Guantanamo Bay ini. Antara andaian yang berpotensi tinggi ialah ia tidak lain untuk menghalalkan matlamat Amerika dan tentera bersekutunya melancarkan perang ke atas Iraq, negara Timur Tengah yang lain dan sekali gus mencipta bukti menentang penganas. Apa yang berlaku sekarang mungkin ada hubungannya dengan situasi politik Presiden Bush di Amerika serta kedudukan kepimpinan kuncu-kuncunya seperti di Britain dan Australia.

Pemilihan Dewan Senat (parlimen AS) Amerika pada November 2006, memberi tamparan hebat kepada Bush. Parti Demokratik berjaya menumbangkan Parti Republikan pimpinan George Walker Bush yang seterusnya mengurangkan kuasa mutlak Bush di Kongres Amerika. Kemenangan Parti Demokratik yang kuat menentang dasar ketenteraan Amerika khususnya perang ke atas Iraq secara tidak langsung memberi isyarat bahawa majoriti rakyat Amerika tidka bersetuju dengan dasar ketenteraan Bush. Hakikatnya dasar ketenteraan Bush yang diwarisi menerusi bapanya telah menjadikan Presiden itu sebagai aktor penting dunia.
John Howard & George Bush
Mungkin kalau dianalisa apakah sumbangan besar Bush kepada Amerika sepanjang kepimpinannya, tidak lain hanya hal perang dan tentera yang mengunguli kepimpinannya. Dengan berbaki 584 hari lagi menjelang Pilihanraya Presiden Amerika, maka Bush terpaksa menggunakan peluru simpanannya untuk mencipta bukti bahawa dasar beliau memerangi keganasan adalah benar dan patut rakyat Amerika berasa bangga dengan sumbangan negaranya.
Sejurus selepas Khalid Shaik Mohammad membuat pengakuan penganas terhebat di dunia ketika ini, Bush dengan bangganya menyatakan 'Dunia kini patut sedar dan berterima kasih kepada Amerika'. Dengan pengakuan tahanan Guantanamo Bay itu, maka Bush boleh mula mengatur strategi bagi memastikan kedudukannya terus terjamin bagi mengekalkan dirinya Presiden Amerika dan pemimpin unggul dunia.



Pengakuan David Hicks bukan sahaja boleh menguntungkan beliau untuk bebas dari Guantanamo Bay, tetapi juga Amerika dan lebih penting kerajaan Australia pimpinan John Howard turut tumpang 'bahagia'. Howard mungkin sudah boleh menarik nafas lega kerana tekanan politik ke atas kerajaannya oleh rakyat Australia terhadap kes Hicks akan beransur kurang. Kegagalan Howard berfungsi secara berkesan agar Amerika memberi keadilan kehakiman kepada Hicks dan tuntutan membawa Hicks pulang bagi dibicarakan secara adil di Australia oleh banyak pihak di negara kangaroo ini pastinya terhakis dengan kepulangan Hicks nanti. Sepanjang 2 tahun kebelakangan ini, tekanan terhadap Howard cukup kuat. Dalam pilihanraya beberapa negeri, pati pembangkang (Parti Labour) telah berjaya mempertahankan kerajaan negeri masing-masing. Ini juga merupakan petunjuk yang agak merimaskan bagi Howard mengekal kerajaannya pada Pilihanraya Umum Australia yang pula perlu dilaksanakan di antara Julai 2007 hingga Jun 2008. Hatta ketika ini, pungutan suara di Australia menunjukkan populariti John Howard dan kerajaan pimpinannya merosot. Manakala parti pembangkang yang kini dipimpinan oleh Kevin Rudd telah mengatasi parti pimpinan Howard. Mungkinkah sebulan lagi, setelah Hicks kembali ke Australia, populariti Howard dan partinya kembali pulih.

Namun perkara pokok yang wajar direnung, benarkah manusia itu 'haiwan politik' sebagaimana difalsafahkan oleh aristotle? Dalam falsafah kehidupan haiwan, pasti ada mangsa dan pemangsa yang bertujuan menjamin survival masing-masing. Tanpa menafikan kebenaran bahawa para pengganas harus dilumpuhkan, apakah cara, kaedah, strategi yang dilaksanakan oleh 'tentera & polis dunia' ketika ini wajar dihalalkan? Keganasan telah menyebabkan ramai yang tidak bersalah terkorban, namun keganasan juga mungkin dimanipulasi dan menyebabkan mereka yang tidak bersalah dicipta menjadi penganas. Di sebalik keganasan dan penganas, survival kuasa-kuasa tertentu mungkin kekal terpelihara. Jiwa, harta, maruah, penderitaan dan ekonomi bukan lagi penting, yang penting, yang berkuasa terus kekal.

No comments: