Friday, March 30, 2007

12 Rabiul-Awwal



Menyambut ulang tahun kelahiran bukannya suatu yang asing dalam diri individu. Apatah lagi dalam dunia sekular dan moden ini, menyambut ulang tahun kelahiran lebih merupakan satu manifestasi diri hinggakan lupa sejarah asal serta kejadian kita . Bagi dunia secara umumnya, kira-kira 1432 tahun lalu telah diutuskan ke dunia seorang insan yang membawa konsep hidup yang lebih bermakna. Tanggal 12 Rabiul-Awwal diingati dalam sejarah Islam sebagai tarikh kelahiran Muhammad bin Abdullah yang selanjutnya diangkat sebagai Rasul (Pengutus Allah) kepada manusia.


Lazimnya kita mengingati tarikh 12 Rabiul Awwal sebagai detik kelahiran Rasulullah. Namun ramai dikalangan kita lupa atau tidak sedar bahawa pada 12 Rabiul Awwal juga, setelah 62 tahun hidup, baginda telah meninggal dunia. Beberapa riwayat ada mengisahkan saat-saat akhir Baginda. Diriwayatkan antara pesanan akhir kepada Saidina Ali yang juga menantunya ialah untuk meneruskan risalah Islam. Di saat-saat akhir sebelum menghembuskan nafas terakhir Rasulullah juga berpesan kepada Saidina Ali untuk melunaskan hutang-hutang yang belum sempat disempurnakan baginda. Ini jelas memberi pengajaran kepada kita bahawa urusan keduniaan dan sesama manusia adalah satu kewajipan penting dengan tidak mengenepikan tuntutan Allah.


Keperibadian Rasulullah bukan sahaja kita maklumi dan hormati, malah ia turut disanjung oleh bukan Muslim. Dalam sejarah dunia moden, karya Dr. Michael M. Hart yang bertajuk 'The 100: A Ranking of the Most Influential Person in History' pada 1978 menimbulkan kejutan dan perdebatan hebat. Apa tidaknya, beliau telah menamakan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia nombor 1 yang paling berpengaruh di muka bumi ini. Lantaran itu beliau telah menerbitkan beberapa siri penjelasan kenapa beliau memilih Muhammad SAW .




Hari ini, mengingati Rasulullah sesuatu yang wajib, tetapi bukan sebagai fakta sejarah tetapi sebagai agenda risalah Islamiah. Tingkatkanlah diri dengan pengetahuan, kefahaman, dan risalah Rasulullah dalam melaksanakan tanggungjawab kita sesama Muslim dan juga tanggungjawab kita kepada bukan Muslim. Salam Maulidur Rasul

2 comments:

Anonymous said...

haha,betul ke nabi lahir 12 R/awal......?????? mana dalil ko amik.....pegi buat research dulu, jangan pakai rembat je. Orang nak buat blog, ko pun nak buat gak....

Q-rie said...

Terima kasih atas cuitan berhubung tarikh tersebut. Memang saya akui bahawa dalam menentukan tarikh tersebut beberapa riwayat ada menampakkan perbezaan. Misalnya ada berpendapat Baginda lahir pada 9, 10, 13, hatta 8 Rabiul Awwal selain 12 Rabiul Awwal. Namun sebahagian besar (menerusi perbincangan dengan rakan-rakan Timur Tengah di sini) merujuk tarikh tersebut sebagai 12 Rabiul Awwal. Jika sdr/i, mempunyai maklumat yang tepat silalah berkongsi. Mempunyai ilmu/maklumat berguna tetapi tidak dikongsi untuk membawa manfaat amat tidak dianjur oleh Islam. Salam hormat.