Kevin Rudd PM Australia ke-26 John Howard 11 tahun sebagai PM Australia
Selepas 11 tahun memimpin sebagai Perdana Menteri Australia, akhirnya pada 24 Nov. 2007 John Howard secara rasmi ditolak oleh majoriti penduduk Australia. Parti Liberal yang dipimpinnya telah ditumbangkan oleh Kevin Rudd iaitu ketua pembangkang Parlimen Australia yang tak sampai 1 tahun baru memimpin sebagai ketua pembangkang. Kevin yang memimpin Parti Buruh berjaya melonjakan daripada 40% penguasaan parlimen pada pilihanraya lepas kepada penguasaan 55% parlimen pada pilihanraya 2007.
Ramalan dan sikap pengundi Australia untuk menukar kerajaan sudah agak jelas sejak awal tahun 2007 lagi. Keupayaan kepimpinan Rudd cukup terserlah seperti yang dilaporkan oleh kajiselidik populariti kepimpinan oleh media-media di Australia. Hatta bilamana populariti Rudd menunjukkan penambahan yang konsisten, John Howard telah disarankan untuk turun dari jaawatan dan menyerahkannya kepada Peter Castelo iaitu Bendahari yang juga Menteri Kewangan Australia. Kejayaan Parti Buruh ini memperlihat penguasaan yang lebih kukuh berbanding parti pimpinan John Howard semasa pilihanraya lepas iaitu yang hanya menguasai 49% parlimen sahaja. Berbanding dengan Howard, Rudd dilihat sebagai pemimpin yang lebih Aussie sikapnya. Pendirian Rudd bahawa tentera Australia di Iraq wajar ditarik pulang secara berperingkat, lebih berpendirian daripada terlalu menyokong atau menurut dasar Amerika, mempunyai pengalaman serta hubungan yang mesra dengan pemimpin negara jiran serta lebih menyokong golongan 'proletariat' berbanding golongan 'bourgeoisie' nampaknya serasi dengan harapan majoriti Aussie.
Biar apa pun yang amat menarik minat ialah bagaimana media telah diruangkan dan digunakan dengan cara yang begitu adil. Pada pandangan penulis, sehebat mana sekalipun menifesto dan janji pilihanraya, jika tidak salurkan dengan strategi media yang terbaik, besar kemungkinan ia hanya tinggal janji. Sebagai seorang akademia, yang lebih penting dalam mana-mana pilihanraya adalah ruang dan peluang yang seimbang, adil serta saksama diberikan kepada mana-mana pihak yang bertanding. Kesempatan berada di Australia cukup membuat penulis kagum dengan sikap media serta kerajaan Howard yang amat menghormati kesaksamaan hak dalam bermedia lebih-lebih lagi dalam keadaan pilihanraya. Sejak dari pertengahan tahun lagi, iklan-iklan politik (pilihanraya) sudah turut terselit dalam semasa iklan-iklan komersial.
Sungguhpun Australia Broadcasting Corporation (ABC) merupakan stesen penyiaran awam (dibiayai kerajaan), namun dalam soal penyiaran daripada pihak pembangkang, stesen ini bersikap profesional dengan menyediakan ruang kepada pihak pembangkang mengisi ruangnya. Media seperti televison telah bersikap terbuka dengan memberi ruang kepada mana-mana parti untuk membeli slot-slot iklan mereka. Hasilnya Parti Liberal, Buruh serta lain-lain parti mempunyai akses media yang terjamin. Hasil pencarian disenaraikan beberapa iklan siri kempen pilihanraya yang disiarkan menerusi tv Australia yang ditaja oleh parti pemerintah dan juga pembangkang.
Melihat dan memikirkan senario ini, bilakah masanya media peyiaran di negara-negara sedang membangun atau negara membangun boleh menyediakan persekitaran yang adil bagi menyokong proses demokrasi dalam berpilihanraya? Jika media yang tidak saksama berlaku di mana-mana negara, apakah ini disebabkan oleh kurang tahap keupayaan rakyatnya atau tidak profesionalnya pengamal media atau tidak demokrasinya kumpulan pemerintah atau kesemuanya sekali? Jika pepatah Islam menyatakan 'Kebersihan itu sebahagian daripada iman' maka 'saksamanya media itu adalah sebahagian daripada demokrasi pilihanraya'.
No comments:
Post a Comment