Tuesday, February 17, 2009

Perak...satu renungan

Pergolakan atau juga yang katakan lebih afdhal disebut 'rampasan kuasa' di Perak bukan sahaja menggegarkan 'the silver state' tetapi terasa bagaikan bayangan tsunami ke atas kerukunan negara berperlembagaan. Apa tidak, dari sekecil-kecil orang kampung hingga setinggi-tinggi darjat yang manusia berikan iaitu Raja-raja Melayu gegar gempita dibuatnya. Tetapi ianya bukan datang dari yang Maha Esa, ia adalah ciptaan manusia belaka. Mungkin ada yang sinis mengatakan...memang ia berpunca salah satunya dari manusia yang turut dinamakan Maha----. Walauapapun, sebagai seorang 'social scientist' keadaan tersebut mengganggu jiwa dan raga aku walaupun kini berada beribu batu jauh dari ibu negara Malaysia.

Tatkala baru mengulas panjang dalam kerja-kerja penulisan ilmiah dua hari yang lalu, hati ini kuat mengatakan bahawa apa yang berlaku di Perak adalah dari ketentuan/kerja manusia. Sebagaimana yang aku ulas dalam tesis yang aku tulis beberapa hari lalu yakni Allah SWT memang telah mentakdirkan ketentuan tertentu, namun yang harus berusaha mengubahnya (sama ada baik atau buruk) adalah manusia sendiri (Surah Al-Anfal, 53). Namun kita jagu harus ingat dan sedar bahawa tiap yang berlaku itu ada hikmahnya yang tersendiri. Maka kita juga harus yakin bahawa tiap yang buruk itu adakalanya menjadi tauladan/pengajaran. Ini kerana, walaupun dalam ayat tadi manusia diberikan kelebihan untuk berusaha mendepani sesuatu ketentuan, namun tindakan yang berunsur tidak baik oleh manusia pastinya akan musnah. Yakinilah kita bahawa janji Allah "Wamakaru Wamakarallah, Wallahu khairul maakirin"-Manusia merancang, Allah juga merancang, namun sebaik-baik perancangan adalah Allah (Surah Al-Imran, 54). Walaupun begitu ramai juga yang bertanya, bilakah kebenaran akan muncul. Maka dengan itu, marilah kita beriman pula dengan janji Allah dalam Surah Al-Zumar,10 di mana Allah menyebut antaranya Allah menjanjikan kemenangan dan balasan baik bagi mereka yang beriman dan bersabar. Untuk itu didoakan semoga kita semua khususnya umat Islam di Perak samaada pendukung Pakatan Rakyat (PR) atau Barisan Nasional (BN) agar menginsafi akan beriman dengan Al-Quran. Tatkala usaha pihak masing-masing mempertahankan tindakan masing-masing namun penyelesaiannya atas usaha masing-masing dan keimanan kita terhadap Allah.

Bagi pendukung BN tentunya kejayaan memerintah semula sesuatu pencapaian yang membanggakan biarpun dengan apa kaedahnya kerana matlamatnya adalah untuk memerintah mengikut acuan masing-masing. Tetapi sebagai 'scientist social', saya menjangkakan masih ada ruang dipihak PR 'merampas' semula pemerintahan menurut lunas atau startegik Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Perak selain usaha memohon mahkamah menghakimi kesahihan proses pembentukan kerajaan pimpinan BN. PR sebenarnya punya satu lagi kuasa yang masih boleh mengubah keadaan iaitu kuasa Speaker Dewan. Jika sekiranya terdapat 5 ADUN BN diambil apa-apa tindakan yang mensabitkan mereka digantung dari DUN Perak, senario ini cukup untuk PR mengusulkan undi tidak percaya kepada Menteri Besar dari BN dengan kelebihan 1 undi majoriti. Keadaan ini yang digazetkan sah untuk melucutkan kerajaan sedia ada pastinya boleh membawa PR kembali menerajui kerajaan Perak. Ini semua adalah usaha yang boleh manusia lakukan (sudahpun terbukti). Namun sejauh mana ianya baik untuk semua, maka harus kita kembali beriman kepada firman Allah sebagaimana yang saya bincangkan tadi.

Marilah kita semua selalu suka akan mencari ilmu (kebenaran). Terimalah hakikat bahawa kita semua sangat 'kurang ajar' (kalau rasa hina...bacalah sebagai 'kurang diajar') dari segi agama, ekonomi, politik, sosial dan banyak lagi. Disebabkan kita 'kurang ajar'lah kita sering juga berpersepsi bahawa orang itu atau orang ini kurang ajar. Marilah kita tingkatkan iman dengan meningkatkan rasa diri kita ini 'kurang ajar'.





No comments: