Tuesday, February 10, 2009

Raja-Raja Melayu Kebal?


Semasa menuntut di tingkatan 6, beberapa karya klasik Melayu harus dihadam. Bukan setakat itu sahaja, pelajar akan turut didamba mencerna dan mewacana karya-karya tersebut. Melalui ppembacaan itu maka banyaklah cerita sama ada dogeng, mitos atau fakta sejarah tentang Melayu dan kesultanan Melayu diperolehi. Mengimbau kembali detik-detik tersebut, adakalanya berasa geli hati...pahlawan Melayu dan juga raja-raja Melayu umpama mempunyai kuasa 'kelebihan' macam cerita zaman kanak-kanak dulu seperti Ultraman, Hulk, Superman dan sebagainya. Menerusi pengajian kesusteraan Melayu tersebut, di minda ini berlegar seribu satu persoalan seperti hebatnya pahlawan dan raja Melayu dan juga kritikan seperti kejamnya mereka ini. Terasa orang dulu-dulu hidup umpama hamba dan orang besar Melayu pula umpama ketua gengstar kerana kerja mereka kutip cukai tetapi pembangunan tidak ada, kemewahan golongan bangsawan terpelihara. Namun ada juga Raja Melayu serta panglimanya yang nyata bersifat rakyat tatkala Islam mula masuk ke gugusan Melayu. Mungkin dari senario ini juga maka terserlahnya kalimat 'Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah'.

Kini, dengan mantapnya dan semakin kukuh Islam, mungkin istilah tersebut wajar diganti. Setelah ratusan tahun Islam bertapak di tanahair, wajar rasanya istilah itu digantikan dengan kalimat 'Raja alim raja dipatuh, raja zalim raja disanggah'. Ini bersesuaian dengan nilai Melayu itu sendiri yang meletakkan nilai agama yakni Islam sebagai pasak dan puncak bangsanya.

Kebelakangan ini terdapat dua isu yang berkaitan Sultan Melayu yang hebat dibicarakan. Isu pertama ialah arahan mahkamah agar Almarhum Tuanku Jaafar membayar RM3.5 juta kepada Standard Chartered ke atas perjanjian bank yang termateri pada tahun 1993. Satu lagi isu adalah yang terkini di mana ada pihak yang ingin menyaman Tuanku Sultan Perak di mahkamah kerana melucutkan kerajaan Pakatan Rakyat dan melantik Kerajaan Barisan Nasional di Perak. seperti biasa, orang Melayu yang rata-ratanya semangat keMelayuannya yang kuat bingkas bangun dan mempertahankan institusi Raja.

Namun, dibenak ini berasa kenapa orang Melayu khususnya, tidak bangkit menentang orang atau orang-orang yang menyediakan wadah agar Raja Melayu juga tidak kebal dan boleh diheret ke mahkamah. Adakah orang Melayu tak perasan kerana ia dilakukan oleh 'orang-orang'. tertentu atau 'orang-orang khas'. Hakikatnya demokrasi berperlembagaan telah diangkat sedikit martabatnya pada tahun 1993. Pada tahun 1993, di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia, Raja-raja Melayu sudah boleh dihadapkan ke mahkamah kerana Parlimen ketika itu dengan dokongan parti-parti pembangkang khususnya DAP telah meluluskan penubuhan Mahkamah Khas. Mahkamah Khas berfungsi sebagai mahkamah untuk mengadili apa-apa pertuduhan yang dihadapkan ke atas Raja-raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukan tindakan tersebut dengan keizinan Peguam Negara. Dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan ini yang diusulkan oleh Kerajaan Malaysia pimpinan Barisan Nasional maka satu catatan sejarah berhubung kekebalan Raja-Raja Melayu terjelma. Justeru itu, masih adakah lagi kekebalan Raja-raja Melayu? Di saat dunia makin berubah, minda manusia makin pintar, tuntutan kemanusiaan didamba, apa yang wajar ada pada raja-raja kita bukannya kekebalan tetapi keimanan. Sesungguhnya yang dekat di sisi Allah adalah keimanan bukannya kekuasaan manusia.

"RAJA BERIMAN RAJA DIPELIHARA, RAJA ZALIM RAJA DISANGGAH"

No comments: