Tuesday, June 16, 2009

Al-Fatihah...Dr. Fathi Yakan


Menuntut di tingkatan 6 memang membuka minda ini seluasnya. Di peringkat tersebutlah fikiran ini ligat menganalisa dan membina kritikan terhadap dunia. Antara buku yang cukup bermakna bagi aku sebagai seorang yang dilahirkan sebagai Muslim ialah 'To be A Muslim'. Buku tersebut yang tidaklah tebal berwarna kehijauan masih aku ingat lagi tatkala mendapat berita penulisnya telah kembali menemui penciptaNya beberapa hari lalu. Dr. Fathi Yakan, merupakan seorang pemikir dan sarjana Islam di samping beliau juga terkenal sebagai seorang aktivis Islam.



Selain sumbangannya menitipkan ilmu menerusi penerbitan puluhan buku, beliau juga merupakan antara individu yang giat menyatukan gerakan dan kepimpinan Islam dari pelbagai kumpulan di Timur Tengah. Buku-buku penulisannya banyak telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu. Antara judul dalam bahasa Melayu yang popular ialah 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam'. Buku-buku beliau turut menjadi rujukan dalam gerakan pertubuhan-pertubuhan Islam khususnya di kalangan belia. Kesungguhan membangunkan minda Muslim menerusi wahana ilmu dan pendidikan amat terserlah apabila Dr. Fathi dan isterinya berjaya membuka Al-Jinan University yang merupakan universiti Islam swasta di Lebonan pada 1988.

Berminat membaca 'To Be A Muslim', sila muat turun di sini.


Friday, June 12, 2009

H1N1 Diistiharkan 'Pandemik'

Dalam istilah kesihatan khususnya berkaitan dengan wabak atau sesuatu penyakit, epidemik ialah keadaan di mana sesuatu penyakit itu menular atau terkesan ke atas seluas kawasan yang besar. Manakala istilah 'pandemik' pula merujuk tahap penularan yang merangkumi atau terkesan ke atas seluruh dunia. Hari ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO-world Health Organisation) telah mengistiharkan bahawa wabak 'Selsema Swine' merupakan suatu pandemik. Malah menurut Ketua Pengarah WHO, Dr. Margaret Chan, organisasi dunia itu mengklasifikasikan wabak ini yang juga dikenali sebagai H1N1 berada ditahap 5 hingga 6 diseluruh dunia. Menurutnya lagi, sehingga kini sejumlah 28774kes telah disahkan dengan kematian sejumlah 144 orang yang meliputi sejumlah 74 buah negara. Ini menjadikan H1N1 sebagai antara wabak selsema yang cepat merebak di abad ke-21 ini yang sekaligus disifatkan sebagai permulaan pandemik selsema bagi tahun ini.

N1H1 dikatakan amat mudah menyerang golongan di bawah umur 25 tahun. Keadaan ini pasti merisaukan banyak pihak khususnya ibubapa. Bagi negara-negara yang mempunyai musim dingin (winter) yang nyata, keadaan ini lebih membimbangkan. Ini kerana secara pemahaman mudahnya, bakteria mudah merebak dan aktif dalam suhu yang rendah. Oleh itu tidak menghairankan banyak juga sekolah-sekolah telah ditutup di beberapa buah negara. Di Australia sahaja, wabak ini dilaporkan telah dikesan positif ke atas 1500 orang. Australia sebagai sebuah rantau yang agak terpelosok dan bersendirian serta jauh dari Amerika Selatan (wabak mula dikesan) merupakan antara negara yang tertinggi dikesan penyakit ini. Mengambil contoh Australia sahaja dapat merasionalkan kita kenapa N1H1 kini dikenalpasti sebagai pandemik.

Natijah N1H1 ini amat besar terhadap dunia khususnya dari aspek ekonomi. Merujuk Australia sekali lagi, sebahagian besar kesan yang dikesan mempunyai perkaitan dengan faktor mobilasi manusia antara negara. Kesemua kes-kes awal di Australia dikesan ke atas mereka yang masuk atau kembali ke Australia. Tatkala orang perseorangan risau, para ekonomis juga kian risau. Kesan terus yang dapat dilihat ialah ia mungkin mengakibatkan rangkaian industri berkaitan pelancongan terjejas. Tidak mustahil, sebagai langkah pencegahan paling berkesan ialah menghadkan mobilasi manusia dari satu negara ke satu negara yang lain. Jika usaha pencegahan ini terpaksa dilakukan, maka industri pelancongan pasti akan merana. Senario ini amat jelas, apabila WHO walaupun mengistiharkan pandemik tetapi mengenepikan langkah pencegahan menghadkan mobilasi manusia.

Namun disebalik kekecohan ini, industri yang agak kurang terjejas ialah industri media. Liputan media massa yang membuat liputan khas jam demi jam telah berjaya mengeksplotasi usaha mendidik dan memaklum dari wabak penyakit ini. Melihat situasi ini adakalanya media dilihat sebagai mensensasikan masalah ini yang pastinya meningkatkan penjanaan pendapatan mereka. Mungkin juga, situasi pandemik ini yang menjadikan orang ramai yang prihatan akan bertindak untuk tidak mendedahkan diri serta keluarga ke kawasan umum. Ini menjadikan mereka akan lebih banyak tinggal di rumah sebagai usaha pencegahan. Keadaan ini pula pasti membuat industri media hiburan menjadi kreatif untuk menawarkan hiburan di rumah akibat pandemik selsema yang berlaku. Inilah realiti dunia kapitalis...

Monday, June 01, 2009

Angka Menipu atau Tertipu

Tipah tertipu, tertipu Tipah, Tipah tertipu, tertipu Tipah, Tipah tertipu lagi...demikianlah bait-bait lagu rapp yang agak menarik untuk difahami akan maknanya. Kelmarin, 31 Mei 2009, Parti Keadilan Rakyat melakar sejarah memenangi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Penanti. Pilihanraya kecil itu mencatatkan sejarah apabila jumlah yang keluar mengundi adalah sekitar 46% daripada jumlah pengundi yang layak...sejarah keluar mengundi yang paling rendah. Angka tersebut yang menyamai jumlah pengundi sejumlah 7100 orang adalah angka yang benar-benar menggambarkan realiti keadaan pilihanraya kecil yang dianggap hambar tersebut. Maka pelbagai tafsiran dibuat ke atas terjemahan jumlah pengundi pada hari itu.

Ada pihak yang pro Pakatan Rakyat (PR) berhujah ini disebabkan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon, maka persaingan hambar wujud. Keadaan ini menjadikan penyokong PR yang berkelayakan mengundi merasakan tidak keluar mengundi pun tidak apa kerana yakin calon mereka akan menang. Di samping itu turut disabitkan dengan kenyataan pemimpin UMNO yang didakwa mengeluarkan kenyataan 'menghasut' penyokong mereka untuk tidak keluar mengundi. Senario keluar mengundi tanpa dapat dinafikan memang boleh disabitkan dengan keadaan yang disebut tadi sungguhpun ada ahli akademik yang menafikannya. Ini kerana jika sekiranya penyokong BN benar-benar ingin menafikan kemenangan calon PKR tersebut, boleh sahaja mereka mengundi 3 lagi calon bebas yang lain. Dari segi strategi politik, jika benar apa yang didakwa oleh pihak BN bahawa pilihanraya kecil tersebut adalah mainan politik PKR untuk mengatasi masalah dalaman, kenapa tidak saja dieksplotasi dakwaan tersebut? Jika dakwaan tersebut berjaya dimanipulasi dengan sebaik mungkin nescaya undi ke atas PKR boleh berkurangan atau mungkin juga calon PKR boleh dikalahkan dengan andaian penyokong PKR atau PR sendiri menunjukkan undi protes dan seluruh penyokong BN mengundi calon bebas. Keadaan tersebut tidak berlaku kerana andaian-andaian hujah berikut: BN juga turut membuat 'homework' bahawa dalam apa keadaan sekalipun, besar kemungkinan jika calon bebas menang, kemungkinan calon bebas tersebut menyertai PR adalah tinggi. Jika penyokong BN memberi sokongan kepada calon bebas dengan jelas maka BN akan terperangkap dalam hujah mereka sendiri untuk tidak bertanding atas dasar 'boikot' proses 'pembersihan' PR atau PKR. Apapun memang bukan mudah untuk merebut kawasan di bawah naungan 'Ketua Pembangkang' Malaysia.

Kemenangan Mansor Othman seperti yang diberitakan oleh media yang cenderung ke arah PR agak 'menghairahkan'. Mendapat 6052 undi yakni majoriti 5558 dianggap sebagai kemenangan besar dan bergaya. Sekali lagi persoalan dengan angka tercetus. Benarkah Mansor menang besar? Memang betul majoriti yang diperolehinya besar berbanding apa yang diperolehi oleh Fairus dahulu hanya bermajoriti 2219. Namun angka tersebut disifatkan sebagai tidak mengambarkan tafsiran sebenar. Dengan tiadanya pesaing utama dari BN, kemenangan calon PKR tersebut tidak boleh dianggap hebat. Menggunakan analogi PR sendiri semasa berhadapan dengan BN dalam pilihanraya-pilihanraya lain, mana mungkin keseluruhan jentera pusat PKR dan PR yang dikerahkan boleh tumbang kepada calon bebas. Jadi kemenangan sudah agak pasti namun apakah benar-benar menang dengan erti kata sebenarnya masih boleh dibahaskan. Sewajarnya PKR hanya boleh mentafsirkan menang jika mereka berjaya mendapat sekurang-kurangnya 7346 undi yakni 1 undi lebih daripada apa yang diperolehi oleh Fairus dalam pilihanraya umum (PRU) yang lalu. Senario menang juga akan berbeza sekiranya BN turut sama bertanding kali ini. Kegagalan mendapat jumlah undi yang sama atau melebihi PRU tanpa saingan BN mengundang lebih persoalan berbanding kemenangan. Apakah sokongan terhadap PKR atau PR, melalui saat penilaian semula oleh rakyat? Ini merupakan satu andaian yang tidak boleh dinafikan oleh PR. Kenyataan Azmin Ali yang menegaskan pilihanraya itu sebagai usaha pemantapan kualiti bolehlah dianggap hanya sekadar mencari sebab bukannya menyatakan hakikat. Apakah di Penanti sahaja masyarakat mengeluh kualiti perkhidmatan wakil rakyat mereka? Apakah sepanjang tempoh 1 tahun Fairus tidak menunjukkan prestasi? Apakah dengan ditunjangi oleh Ketua Pembangkang sebagai Ahli Parlimen kawasan Penanti, masalah dalaman kawasan tersebut masih tidak boleh diselesaikan sehinggakan mengheret pilihanraya kecil? Malah sepanjang kempen pilihanraya Penanti yang lalu, sedikit sebanyak masalah dalaman PKR Pulau Pinang malah PR diluahkan secara tidak langsung. Ada sesetengah pemerhati menyatakan bahawa pilihanraya Penanti bukannya ubat kepada percaturan politik PKR di Pulau Pinang. Sinis menyatakan bahawa senario Penanti hanyalah kudis, tetapi kanser/barah masih kekal.

Sebagai pemerhati, pengkaji dan penganalisa politik-komunikasi, masalah besar dalam pimpinan PKR hatta Pakatan Rakyat yang kian menular adalah diwarisi dan diperturunkan oleh para pemimpinnya yang masih lagi berjiwa BN. Kumpulan tersebut yang terjun ke dacing baru masih berfalsafahkan ukuran dan amalan sukatan sistem 'inci','kaki','depa','ela', dan 'batu' sedangkan yang didambakan dan diharapkan ialah sistem 'milimeter','centimeter','meter' dan 'kilometer'. Neraca (dacing) tetap menunjukkan angka-angka tetapi tidak menggambarkan sistem atau kiraan nilai semasa. 5 kaki berbeza dengan 5 meter, 5558 berbeza dengan 2219...tetapi perbezaan adalah pada nilai serta sistem semasa walaupun angka diterjemah besar atau kecil.