Tipah tertipu, tertipu Tipah, Tipah tertipu, tertipu Tipah, Tipah tertipu lagi...demikianlah bait-bait lagu rapp yang agak menarik untuk difahami akan maknanya. Kelmarin, 31 Mei 2009, Parti Keadilan Rakyat melakar sejarah memenangi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Penanti. Pilihanraya kecil itu mencatatkan sejarah apabila jumlah yang keluar mengundi adalah sekitar 46% daripada jumlah pengundi yang layak...sejarah keluar mengundi yang paling rendah. Angka tersebut yang menyamai jumlah pengundi sejumlah 7100 orang adalah angka yang benar-benar menggambarkan realiti keadaan pilihanraya kecil yang dianggap hambar tersebut. Maka pelbagai tafsiran dibuat ke atas terjemahan jumlah pengundi pada hari itu.
Ada pihak yang pro Pakatan Rakyat (PR) berhujah ini disebabkan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon, maka persaingan hambar wujud. Keadaan ini menjadikan penyokong PR yang berkelayakan mengundi merasakan tidak keluar mengundi pun tidak apa kerana yakin calon mereka akan menang. Di samping itu turut disabitkan dengan kenyataan pemimpin UMNO yang didakwa mengeluarkan kenyataan 'menghasut' penyokong mereka untuk tidak keluar mengundi. Senario keluar mengundi tanpa dapat dinafikan memang boleh disabitkan dengan keadaan yang disebut tadi sungguhpun ada ahli akademik yang menafikannya. Ini kerana jika sekiranya penyokong BN benar-benar ingin menafikan kemenangan calon PKR tersebut, boleh sahaja mereka mengundi 3 lagi calon bebas yang lain. Dari segi strategi politik, jika benar apa yang didakwa oleh pihak BN bahawa pilihanraya kecil tersebut adalah mainan politik PKR untuk mengatasi masalah dalaman, kenapa tidak saja dieksplotasi dakwaan tersebut? Jika dakwaan tersebut berjaya dimanipulasi dengan sebaik mungkin nescaya undi ke atas PKR boleh berkurangan atau mungkin juga calon PKR boleh dikalahkan dengan andaian penyokong PKR atau PR sendiri menunjukkan undi protes dan seluruh penyokong BN mengundi calon bebas. Keadaan tersebut tidak berlaku kerana andaian-andaian hujah berikut: BN juga turut membuat 'homework' bahawa dalam apa keadaan sekalipun, besar kemungkinan jika calon bebas menang, kemungkinan calon bebas tersebut menyertai PR adalah tinggi. Jika penyokong BN memberi sokongan kepada calon bebas dengan jelas maka BN akan terperangkap dalam hujah mereka sendiri untuk tidak bertanding atas dasar 'boikot' proses 'pembersihan' PR atau PKR. Apapun memang bukan mudah untuk merebut kawasan di bawah naungan 'Ketua Pembangkang' Malaysia.
Kemenangan Mansor Othman seperti yang diberitakan oleh media yang cenderung ke arah PR agak 'menghairahkan'. Mendapat 6052 undi yakni majoriti 5558 dianggap sebagai kemenangan besar dan bergaya. Sekali lagi persoalan dengan angka tercetus. Benarkah Mansor menang besar? Memang betul majoriti yang diperolehinya besar berbanding apa yang diperolehi oleh Fairus dahulu hanya bermajoriti 2219. Namun angka tersebut disifatkan sebagai tidak mengambarkan tafsiran sebenar. Dengan tiadanya pesaing utama dari BN, kemenangan calon PKR tersebut tidak boleh dianggap hebat. Menggunakan analogi PR sendiri semasa berhadapan dengan BN dalam pilihanraya-pilihanraya lain, mana mungkin keseluruhan jentera pusat PKR dan PR yang dikerahkan boleh tumbang kepada calon bebas. Jadi kemenangan sudah agak pasti namun apakah benar-benar menang dengan erti kata sebenarnya masih boleh dibahaskan. Sewajarnya PKR hanya boleh mentafsirkan menang jika mereka berjaya mendapat sekurang-kurangnya 7346 undi yakni 1 undi lebih daripada apa yang diperolehi oleh Fairus dalam pilihanraya umum (PRU) yang lalu. Senario menang juga akan berbeza sekiranya BN turut sama bertanding kali ini. Kegagalan mendapat jumlah undi yang sama atau melebihi PRU tanpa saingan BN mengundang lebih persoalan berbanding kemenangan. Apakah sokongan terhadap PKR atau PR, melalui saat penilaian semula oleh rakyat? Ini merupakan satu andaian yang tidak boleh dinafikan oleh PR. Kenyataan Azmin Ali yang menegaskan pilihanraya itu sebagai usaha pemantapan kualiti bolehlah dianggap hanya sekadar mencari sebab bukannya menyatakan hakikat. Apakah di Penanti sahaja masyarakat mengeluh kualiti perkhidmatan wakil rakyat mereka? Apakah sepanjang tempoh 1 tahun Fairus tidak menunjukkan prestasi? Apakah dengan ditunjangi oleh Ketua Pembangkang sebagai Ahli Parlimen kawasan Penanti, masalah dalaman kawasan tersebut masih tidak boleh diselesaikan sehinggakan mengheret pilihanraya kecil? Malah sepanjang kempen pilihanraya Penanti yang lalu, sedikit sebanyak masalah dalaman PKR Pulau Pinang malah PR diluahkan secara tidak langsung. Ada sesetengah pemerhati menyatakan bahawa pilihanraya Penanti bukannya ubat kepada percaturan politik PKR di Pulau Pinang. Sinis menyatakan bahawa senario Penanti hanyalah kudis, tetapi kanser/barah masih kekal.
Sebagai pemerhati, pengkaji dan penganalisa politik-komunikasi, masalah besar dalam pimpinan PKR hatta Pakatan Rakyat yang kian menular adalah diwarisi dan diperturunkan oleh para pemimpinnya yang masih lagi berjiwa BN. Kumpulan tersebut yang terjun ke dacing baru masih berfalsafahkan ukuran dan amalan sukatan sistem 'inci','kaki','depa','ela', dan 'batu' sedangkan yang didambakan dan diharapkan ialah sistem 'milimeter','centimeter','meter' dan 'kilometer'. Neraca (dacing) tetap menunjukkan angka-angka tetapi tidak menggambarkan sistem atau kiraan nilai semasa. 5 kaki berbeza dengan 5 meter, 5558 berbeza dengan 2219...tetapi perbezaan adalah pada nilai serta sistem semasa walaupun angka diterjemah besar atau kecil.
No comments:
Post a Comment