Sunday, May 17, 2009

Revolusi Tanpa Kabel - WiGig

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam (tulis baca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."

Lima ayat di atas merupakan ayat-ayat Quran atau wahyu pertama daripada Allah kepada Nabi Muhammad saw. Hakikatnya ia merupakan falsafah ilmu yakni manusia pada dasarnya bersifat mencari kebenaran/pengetahuan. Semakin berpengetahuan atau berilmu manusia itu, maka semakin sedar dia akan terhadnya atau kurangnya ilmu yang diketahuinya...dengan itu maka keEsaan Allah seharusnya terjelma dari dalam minda dan diri kita.

20 tahun lalu, minda akan tertanya-tanya apakah komunikasi seharian boleh berlaku tanpa wayar. Segalanya terjawab apabila internet menjadi wadah tanpa sempadan kepada kita berkomunikasi. Kalau pada peringkat awal kita masih perlu menyambungkan kabel untuk berinternet, sedekad kemudian terciptalah rangkaian tanpa kabel (wireless) di merata tempat bagi menghubungkan manusia dengan diperkenalkan teknologi 'bluetooth' dan 'WiFi'.

Kini satu lagi teknologi yang boleh menyalurkan data/maklumat antara peralatan teknologi komunikasi dan maklumat dengan keupayaan 6Gps (Gigabait per saat) dalam proses akhir pengenalannya. Usahasama Microsoft, Intel, Dell, Nokia, Samsung, LG dan Panasonic yang menghasilkan teknologi Wireless Gigabait Alliance (WiGig) dijangka akan diuji-nilai pada penghujung tahun ini dan bakal berada dipasarkan selewat-lewatnya penghujung tahun 2010. Teknologi ini yang direka untuk kegunaan kediaman bakal berfungsi mengintergrasikan peralatan-peralatan teknologi komunikasi di rumah. Sebagai contoh, WiGig bakal menyalurkan atau memindahkan data secara timbal balik di antara televisyen digital, pemain cakera padat, komputer peribadi, komputer riba, kamera digital, perakaman video dgital dan sebagainya tanpa memerlukan kabel.

Demikianlah janji Allah, bahawa mereka yang berusaha mencari ilmu nescaya akan menemui bermacam yang mungkin tidak terfikir akal manusia. Tetapi malangnya, apabila ilmu makin menebal didada dan minda, kita seringkali gagal mensyukuri nikmatNya dengan menggunakan ilmu tersebut untuk tindakan yang tidak bermanfaat atau ditegahNya. Adalah amat terlalu malang bagi mereka yang berilmu tidak mengamalkannya dan pada masa yang sama gagal mensyukuri dan menghayati anugerahNya itu.

No comments: