Selama hidup masuk dekad yang keempat, sudah 3 kali dirasai kesan yang dimaksudkan kemelesetan ekonomi. Kali pertama terasa akan masalah ekonomi ini adalah sekitar lewat tahun 1980an. Ketika itu aku masih lagi kanak-kanak dan baru beberapa tahun memulakan persekolahan. Kenapa diri ini masih ingat peristiwa itu walaupun usia aku baru kanak-kanak...sebabnya perasaan malu senantiasa menghantui kesan kemurungan ekonomi pada ketika itu. Aku adalah antara pelajar yang lewat menjelaskan yuran persekolahan, lewat bayar yuran peperiksaan, dari berpengangkutan beca akhirnya hanya berjalan kaki ke sekolah...apabila masuk tahun baru persekolahan baju sekolah kami adik beradik bertukar dari yang dipakai si abang beralih kepada si adik. Kasut sekolah yang harus berwarna putih bertukar menjadi hampir kekuningan jika tidak ditompokkan dengan kapur putih. Ada kalanya kapur untuk guru menulis di papan hijau digunakan untuk memutihkan kasut apabila Penolong Kanan atau Guru Besar buat 'spo check'. Sehingga tamat sekolah rendah sekitar lewat 1980an, wang saku yang termampu emak/ayah beri hanyalah maksimum 20 sen tetapi secara puratanya sekadar 10sen. Mujurlah pada ketika itu ada rancangan makanan tambahan, pada waktu rehat dapatlah sepinggan nasi/mee/bihun/bubur. Seminggu sekali merasalah 'susu segar'. Ayah dari berkerja kerani di bank akhirnya terpaksa menjadi tukang cuci kereta. Itulah kenangan pertama kali aku mengenali apa itu kemelesatan ekonomi. Bila hari raya sedih lihat emak ayah berusaha pulun buat kerja untuk kami adik beradik sambut raya dengan baju baru. Esok lusa nak raya, petang itu baru beli baju baru adalah lumrah.
Apabila meningkat remaja, sekali lagi berasa kegawatan ekonomi. Waktu itu, diminda ini sudah ada sedikit sebanyak ilmu dan pengetahuan ekonomi. Bahana ekonomi mulai pertengahan 1990an amat terasa pula kerana waktu itu diri ini sudah dianggap sewajarnya tahu dan perlu berusaha untuk berdikari. Ilmu-ilmu ekonomi dan pengurusan di universiti menyediakan jawapan yang lebih realistik dan logik untuk memahami punca dan kesan ekonomi. Namun satu jawapan yang tidak mampu dijawab secara rasional lagi bijaksana ialah ke mana semua wang di dunia ini pergi? Kalaupun satu dunia berurusan dengan matawang dolar Amerika, ke mana hilangnya wang-wang tersebut? Siapakah toyol-toyol atau mahluk asing yang sembunyikan wang itu sehingga dunia tiada wang? Kalau dah tiada wang, kenapa para pemimpin dunia tak boleh duduk semeja berbincang untuk masing-masing buat keputusan cetak saja wang kertas itu? Hakikatnya, wang itu tidak turun dari langit, tetapi ia dihasilkan oleh tangan manusia sendiri. Setelah mentelaah teori-teori ekonomi, aku masih juga buntu untuk mencari punca yang lebih rasional, logik, dan boleh dipercayai. Rasional aku tidak menemui jawapan yang selayaknya adalah satu yang minda ini boleh terima hakikatnya...tidak seperti apa yang sedang berlaku di Perak ketika ini.
Tatkala membaca berita menerusi Malaysiakini, jelingan mata tiba-tiba bagaikan tarikan magnet terpandang ruangan sebelah kanan hampir ke bawah. Deretan nama 'Hishamuddin Rais' ternyata mencuit perhatian. Membaca artikel beliau 'Di sinilah wang dunia disorok' akhirnya memberi satu jawapan yang agak menyakinkan berhubung putaran ganas ekonomi dunia. Akhirnya usaha menyakinkan tulisan tersebut dengan merujuk beberapa tulisan lain, membuahkan satu penerimaan sebab yang agak rasional akan masalah ekonomi dunia. Tulisan seorang aktivis barat yang bertajuk 'The Federal Reserve: History of Lies, Thievery, and Deceit', amat terkesan sekali. Persoalan sekarang, siapa berani untuk mengubahnya...sanggup dan bolehkah kita...sebahagian puncanya ada pada cara hidup kita!!!
No comments:
Post a Comment