Friday, January 19, 2007

Wawasan 2020 & ICT

16 tahun yang lalu, Dr.Mahathir telah mencetuskan satu mazhab pembangunan negara yang mengadunkan keseimbangan dan kesatuan sosial, ekonomi dan teknologi. Atas label Wawasan 2020, negara akan dipacu berpaksikan pemodenan berasaskan ekonomi dan teknologi yang mengakar dari sudut keinsanan. Rententan daripada itu pula, 5 tahun selepas itu (1 Ogos 1996) Multimedia Super Coridor (MSC) dilancarkan sebagai satu lagi mekanisme pembentukan negara maju Malaysia. Natijahnya, Teknologi Komunikasi Maklumat-TKM (ICT) telah menjelma sebagai salah satu katalis dalam pembangunan negara pada asasnya dan telah menjadi nadi utama dalam perindustrian dan perniagaan. Malah kini ia telah menjadi salah satu industri besar negara.

Tatkala TKM diangkat sebagai 'rukun' dalam mazhab Wawasan 2020, ilmu dan amalannya turut di'dakwah'kan di peringkat sekolah. Lantaran itu ratusan juta diinfak dalam misi dakwah ini. Bermula dari tiada menjadi ada (mewujudkan makmal dan membekal komputer) sehinggalah proses tarbiyah kepada guru-guru dilaksanakan dengan berpandukan kitab-kitab Windows, Microsoft Office, Internet Explorer, Adobe Acrobat dan seumpamanya. Bertitik tolak daripada tarbiyyah ini maka lahirlah salah satu rukun daripada MSC iaitu Sekolah Bestari (Smart School) yang bermula dengan projek rintis pada 1999-2002. Bermula dari itu pendidikan di sekolah bukan sahaja disaran mendidik anak-anak dengan ilmu TKM malah TKM juga harus menjadi salah satu rukun dalam proses pengajaran-pembelajaran di sekolah. Senyum panjang dan senyum kambinglah para kontraktor binaan (membina makmal) dan pembekal komputer. Hari ini pula, apabila membaca berita menerusi thestar online maka saya dari dulu, kini dan mungkin selama tersenyum kambing apabila Timbalan Menteri Pendidikan mengatakan "... 767 primary schools and 28 secondary schools in the country still did not have 24-hour electricity supply... This has made it difficult for schools to make full use of the computer facilities provided."

Monday, January 08, 2007

Antara Masihi & Hijrah?

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Saban tahun apabila menjelangnya 31 Disember, satu dunia akan bersiap sedia dengan berpesta (amalan biasa yang dilihat). Pada waktu tersebut jugalah masing-masing mula membina azam dan perancangan untuk tahun baru yang bakal dilalui. Hakikatnya 1 Januari yang disambut sebagai tahun baru adalah berdasarkan hukum atau formula perkiraan kalender yang dikenali sebagai Kalender Gregorian sempena nama Pope Gregory XIII pada 1528 (Dogget, 2006). Bagi kita di Malaysia, kalender tersebut cukup dikenali sebagai kalender Masihi.

Kalender Gregorian yang dijadikan sebagai kalender piawai seluruh dunia berasal dari Akta Parlimen United Kingdom pada tahun 1751. Akta tersebut menjelaskan bahawa bagi menyelaraskan perkiraan masa/tahun, maka seluruh United Kingdom dan negera jajahannya perlu mengunapakai kalender Gregorian. Kalau begitu Malaysia yang juga mengunapakai kalender Gregorian sebagai kalender rasmi, secara logiknya belum merdekalah! (sekadar mencuit minda).

Kalender merangkumi tahun, bulan dan unit kiraan yang terkecil adalah hari. Adalah dianggarkan sekitar 40 jenis kalender wujud dan digunapakai sehingga hari ini di seluruh dunia termasuklah kalender atau takwim Islam iaitu Hijrah. Para pengkaji berpendapat bahawa perkiraan takwim atau kalender ini banyak dipengaruhi oleh faktor agama, tradisi, politik dan budaya sesuatu masyarakat. Namun secara ilmiahnya terdapat tiga kaedah utama menghitung takwim tahunan ini iaitu berdasarkan solar, lunar dan lunisolar. Kalau kita teliti Al-Quran, amat jelas formula menghitung kalender diterangkan.

Firman Allah SWT dalam Surah Yunus, ayat 5 yang maksudnya "Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan- Nya." Para pengkaji kalender menyimpulkan bahawa dua kaedah utama perkiraan tahunan ialah berdasarkan matahari (syamsiah atau solar) dan bulan (qamariah atau lunar).

Menurut Dogget (2006), sejarah takwim Gregorian (Masihi) yang selalu kita gunapakai banyak dipengaruhi oleh unsur Kristian khususnya berdasarkan aliran Roman Catholic dan Protestant. Dua perayaan utama yang mendasari takwim ini dari segi sejarahnya ialah perayaan Krismas dan Hari Easter. Namun jika diselidik dengan lebih mendalam, sejarah takwim tersebut pula berakar dari takwim solar (kiraan mengikut matahari) yang diperkenalkan oleh orang Rom. Takwim tersebut mula disebarkan sebaik sahaja Pemerintah Empayar Rom iaitu Julian Ceaser menakluk Mesir. Takwim tersebut dikenali dengan nama Takwim Solar Julian bersempena namanya. Dari segi sejarahnya, bulan Februari mempunyai 29 hari atau 30 hari pada tahun lompat. Namun disebabkan pemerintah Empayar Rom berikutnya iaitu Augustus Ceaser merasakan beliau juga sehebat Julian Ceaser, maka diperintahkan agar bulan Ogos (sempena namanya) berjumlah sama dengan bulan Julai (sempena nama Julian). Oleh itu jumlah hari dalam bulan Februari telah dikurangkan sehari dan ditambah ke bulan Ogos yang memperlihatkan jumlah hari yang sama bagi kedua-dua bulan Julai dan Ogos.

Berbalik kepada takwim berdasarkan kiraan bulan (lunar), takwim Hijrah merupakan antara takwim jenis ini yang digunakan meluas. Secara dasarnya takwim ini berpandukan kepada putaran bulan yang mana kemunculan anak bulan menandakan permulaan sesuatu bulan yang baru. Sama seperti kebanyakan takwim lain, kalender Hijrah turut mempunyai 12 bulan. Bagi tujuan penyelarasan dan kegiatan harian, kalender Hijrah telah menghasilkan formula setiap bulan ganjil berjumlah 30 hari sementara bulan genap pula dengan 29 hari. Namun bagi tujuan melaksanakan ibadah puasa dan sambutan Eidul Fitri maka pelaksanaan bermulanya bulan baru diasaskan kepada rukyah dan hisab dalam keadaan tertentu. Formula tersebut menjadikan jumlah hari dalam setahun adalah 354 hari berbanding tahun masihi yang berjumlah 365 hari. Sedarkah kita bahawa ketika kita merayakan ulangtahun kelahiran yang ke-33 (ikut tahun Masihi), kita sebenarnya sudah berusia 34 tahun menurut takwim Hijrah.

Bulan-bulan Takwim Hijrah
1. Muharram – 30 hari
2. Safar – 29 hari
3. Rabiul-Awwal – 30 hari
4. Rabiul-Akhir – 29 hari
5. Jamadil-Awwal – 30 hari
6. Jamadil-Akhir – 29 hari
7. Rejab – 30 hari
8. Syaban – 29 hari
9. Ramadhan – 30 hari
10. Syawal – 29 hari
11. Zulkaedah – 30 hari
12. Zulhijjah – 29 hari

Dari segi sejarahnya, kalender Hijrah ini mula diasaskan semasa pemerintahan Saidina Ummar al-Khattab. Beliau telah menetapkan 1 Hijrah bermula dari tahun di mana berlakunya peristiwa Hijrah atau perpindah Rasulullah dari Mekah ke Madinnah. Signifikannya peristiwa ini ialah bermulanya penyebaran Islam yang tertumpu di Kota Mekah ke kawasan di luar Mekah seperti di Madinnah. Dengan erti kata yang lain Hijrah adalah proses pengIslaman dunia atau dengan mudahnya globalisasi Islam. Mungkin jika tiada penghijrahan Rasulullah, Islam tidak sampai ke Malaysia. Peristiwa ini sebagaimana sering dikupas oleh para ustaz, adalah satu proses dakwah Islamiah secara terbuka oleh Rasulullah. Seperti yang pernah saya coretkan sebelum ini, tahun Hijrah yang dimulai dengan 1 Muharram sebenarnya satu proses tarbiyah dan dakwah agar umat Islam muhasabah diri supaya menjadi lebih mukmin atau insan dalam tahun baru tersebut.

Jika begitu halnya, kenapa kita terjerumus kuat dengan 1 Januari yakni tahun baru Gregorian/Masihi. Jelasnya tahun Masihi yang disimbolkan dengan ringkasan A.D. (Anni Domini Nostri Jesu Christi" yang bermaksud "dalam tahun Tuhan Kami Jesus Christ"). Namun kini ringkasan A.D. itu diganti dengan C.E. (Chritian Era) yang turut kita kenali sebagai Tahun Masihi (TM). Mengapa perlu kita umat Islam merayakan atau menjadikan 1 Januari titik mula ‘kehidupan baru’ sedangkan 1 Muharram tahun Hijrah itu lebih signifikan kepada diri serta keselurahan umat Islam serta warga dunia kerana kehadiran Islam itu sebagai rahmat kepada sekelian alam. Saya tidak menyatakan bahawa menyambut 1 Januari menjadikan kita bukan atau kurang Islam, tetapi persoalannya jika tidak orang Islam sendiri yang memartabatkan 1 Muharram sebagai tahun baru umat Islam siapa lagi yang akan berbuat demikian.

Marilah kita semarakkan tahun 1428 yang bakal menjelang kira-kira 11 hari lagi (19 Januari 2007). Jika kita biasa mengingat atau mencatat hari demi hari menggunakan tarikh Masihi, marilah kita turut catatkan tarikh Hijrah kita. Ulama pewaris Nabi, ummah pewaris Islam.

* Untuk bacaan lanjut sila lawat
http://astro.nmsu.edu/~lhuber/leaphist.html
http://ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=55&cmd=resetall


19 Zulhijjah 1427
08 Januari 2007


Thursday, January 04, 2007

Ibadah Korban Di St.Lucia, Brisbane

Alhamdulillah, tahun ini 1427 Persatuan Pelajar Melayu Queensland (PPMQ) maju ke hadapan setapak lagi. Kalau Eidul Adha yang lalu diraikan dengan majlis jamuan BBQ di tepi Sungai Brisbane, buat pertama kali ini seekor lembu dan 6 ekor kambing ditumbangkan sebagai ibadah korban dan akikah para ahlinya. Bagi aku agak hebat juga sambutan ibadah korban PPMQ di St. Lucia, Queensland ini. Di Universiti Utara Malaysia pun 12 ekor lembu dan 2 kambing. Mungkin ini manifestasi tanda syukur akan kenaikan elaun pelajar tajaan kerajaan Malaysia yang menerima kenaikan elaun baru-baru ini. Jika hal ini berlaku, alhamdulillah rakan-rakan di sini begitu prihatin akan nikmat dan rezeki yang Allah anugerahkan.

Cuma bezanya di sini, tak dapatlah merasai upacara penyembelihan, melapah, dan memotong daging untuk dibahagi-bahagikan. Disebabkan peraturan pihak berkuasa tempatan, tempahan korban dilakukan terus kepada pihak peniaga daging. Yang sempat kami lakukan ialah membahagi-bahagikan daging yang telah siap diproses dengan membungkusnya sahaja. Walau bagaimanapun niat dan amalan tersebut berjaya disempurnakan oleh 12 pelajar di sini.

Majlis ibadah korban dilakukan pada 13 Zulhijjah 1427 bersamaan 3 Jan. 2007. Pagi-pagi lagi seawal jam 7.30am rakan-rakan dah berkumpul di rumah Sdr. Zul untuk memulakan proses memasak. Jam 8.30am, kami telah menerima beberapa kotak daging khususnya daging akikah. Ketua chef tidak lain dan tidak bukan Abang Khalid sementara Nas, Shamir, Sah dan aku memulakan proses memotong bawang, ubi, dan menyiapkan rempah ratusnya dengan dibantu oleh Nazir. Tatkala tengah memasak Abg. Syed, Hizmi, Latiff, Azraei, Nazri (bos Majlis Korban) dan Sharizal (bos PPMQ) menyertai kami.

Sambil-sambil memasak, proses membahagi dan membungkus daging korban pun dilakukan. Daripada 3 bahagian lembu yang diterima, hampir 45 bungkus daging telah siap dibahagi dan dibungkus. Jam 11.30am, kami mula mengangkut daging-daging ke Musolla (surau) Universiti Queensland. Daging-daging korban yang lain pun mula tiba daripada pihak penjual daging. Ketika itu dianggarkan 65 lagi bungkus daging lembu dan kambing diterima. Melihat jumlah daging yang begitu banyak, kami mula risau takut-takut tak terhabis daging-daging tersebut nak diagihkan. Rakan-rakan dari seberang sungai di West End hatta dari Gold Coast pun makin ramai yang sudah sampai.

Selepas solat Zohor, jamuan tengahari (kari kambing, kurma lembu dan nasi minyak) mula kami siapkan. Sesudah majlis ringkas dan doa akikah yang dipimpin oleh Ashrif, rakan-rakan daripada Timur Tengah, Indonesia, Singapura, Brunei, Pakistan dan lain-lain negara serta rakan-rakan PPMQ siap menunggu menikmati jamuan tengahari. Sejurus itu juga daging-daging korban mula diedarkan. Alhamdulillah hampir jam 2 petang kerisauan kami takut-takut daging tak terhabis edar surut sama sekali.

Bagi pasukan yang menjayakan program ini aku pasti bukan sahaja gembira kerana majlis ini dianggap berjaya, namun bagi diri aku sendiri banyak yang dipelajari. Nampaknya melalui program ini hal-hal berkaitan rukun, fardu dan sunnat tentang ibadah korban yang diperolehi secara sengaja mahupun tidak langsung. Inilah impak besar yang amat aku hargai disamping melaksanakan ibadah korban bagi kali kedua. Namun sedikit yang aku kesali kerana cuitan 3 hari sebelum majlis ini tentang kutipan derma untuk mangsa banjir di Johor dan gempa bumi di Acheh tak mendapat respon sesiapa. Tapi aku berdoa semoga ramai yang melalukan sesuatu khususnya menyumbang wang ringgit dalam membantu mangsa-mangsa tersebut. Rupanya banjir dan gempa bumi yang mungkin menjadi bencana sememangnya membuka ruang bagi yang berada dan tidak alpa menuai pahala. Ibadah korban pada hakikatnya adalah peringatan setiap tahun terhadap setiap yang mengaku dirinya muslim untuk mensyukuri nikmat Allah dengan berkorban harta atau wang ringgit bagi mengesakan Allah dan melaksanakan hakikat insan. Semoga Eidul Adha 1428 kita temui lagi dan memantapkan rasa syukur atas nikmat Allah kepada kita.

Tuesday, January 02, 2007

Tahun Baru

Bagi umat Islam, Muharram merupakan bulan pertama dalam sistem kalendernya. Ia juga menandakan permulaan tahun baru Islam. Bulan Muharram adalah signifiken dengan peristiwa Hijrah Rasulullah. Persitiwa Hijrah ini pula dari segi sejarah difahami sebagai perpindah Rasulullah ke arah pembentukan negara Islam. Dari falsafahnya pula Hijrah adalah bererti perubahan/perpindahan ke arah yang lebih baik atau cemerlang. Hakikatnya peristiwa Hijrah yang disinonimkan dengan bulan Muharram merupakan satu lagi mekanisme muhasabah dan tarbiah kepada insan berhubung dengan masa. Semoga nasyid yang berjudul 'Masa' ini mampu mencuit hati kita seketika sebelum tibanya tahun baru Hijrah 1428 dua minggu lagi atau bagi yang sudah merayakan ketibaan tahun 2007 Masihi.

Lagu : MASA
Nyayian: Kumpulan RABBANI

Masa ibarat nyawa bagi manusia
Mestilah diurus dengan bijaksana
Hargailah masa dengan sebaiknya
Supaya tidak rugi

Renunglah masa yang telah berlalu
Ia tak akan boleh datang kembali
Ambillah iktibar untuk diteladani
Agar terbentuk peribadi yang murni

Isilah masa jangan dipersiakan
Rancanglah dengan teliti dan berkesan
Ilmu dicari luaskan pengalaman
Ibadah dilupa jangan
Perjalanan masa tak menunggu kita
Semakin lama usia bertambah tua
Bertuah kita jika dapat mencapai
Umur dan amalan seiring usia

Masa muda jangan ikut perasaan
Masa tua biasanya serba tak senang
Datang bermacam sakit yang tak diundang
Mulakanlah ibadat dari sekarang
Hidup dibina berlandaskan kebenaran
Semoga pulang dengan hati yang tenang
Masa di dunia hanyalah sementara
Masa di akhirat kekal selamanya

Marilah tunaikan kewajipan kita
Pada Yang Maha Esa
Masa tidak akan merugikan kita
Bila diatur dengan penuh sempurna
Seperti yang dituntut oleh agama
Hidup pastikan sejahtera selama