Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Saban tahun apabila menjelangnya 31 Disember, satu dunia akan bersiap sedia dengan berpesta (amalan biasa yang dilihat). Pada waktu tersebut jugalah masing-masing mula membina azam dan perancangan untuk tahun baru yang bakal dilalui. Hakikatnya 1 Januari yang disambut sebagai tahun baru adalah berdasarkan hukum atau formula perkiraan kalender yang dikenali sebagai Kalender Gregorian sempena nama Pope Gregory XIII pada 1528 (Dogget, 2006). Bagi kita di Malaysia, kalender tersebut cukup dikenali sebagai kalender Masihi.
Kalender Gregorian yang dijadikan sebagai kalender piawai seluruh dunia berasal dari Akta Parlimen United Kingdom pada tahun 1751. Akta tersebut menjelaskan bahawa bagi menyelaraskan perkiraan masa/tahun, maka seluruh United Kingdom dan negera jajahannya perlu mengunapakai kalender Gregorian. Kalau begitu Malaysia yang juga mengunapakai kalender Gregorian sebagai kalender rasmi, secara logiknya belum merdekalah! (sekadar mencuit minda).
Kalender merangkumi tahun, bulan dan unit kiraan yang terkecil adalah hari. Adalah dianggarkan sekitar 40 jenis kalender wujud dan digunapakai sehingga hari ini di seluruh dunia termasuklah kalender atau takwim Islam iaitu Hijrah. Para pengkaji berpendapat bahawa perkiraan takwim atau kalender ini banyak dipengaruhi oleh faktor agama, tradisi, politik dan budaya sesuatu masyarakat. Namun secara ilmiahnya terdapat tiga kaedah utama menghitung takwim tahunan ini iaitu berdasarkan solar, lunar dan lunisolar. Kalau kita teliti Al-Quran, amat jelas formula menghitung kalender diterangkan.
Firman Allah SWT dalam Surah Yunus, ayat 5 yang maksudnya "Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan- Nya." Para pengkaji kalender menyimpulkan bahawa dua kaedah utama perkiraan tahunan ialah berdasarkan matahari (syamsiah atau solar) dan bulan (qamariah atau lunar).
Menurut Dogget (2006), sejarah takwim Gregorian (Masihi) yang selalu kita gunapakai banyak dipengaruhi oleh unsur Kristian khususnya berdasarkan aliran Roman Catholic dan Protestant. Dua perayaan utama yang mendasari takwim ini dari segi sejarahnya ialah perayaan Krismas dan Hari Easter. Namun jika diselidik dengan lebih mendalam, sejarah takwim tersebut pula berakar dari takwim solar (kiraan mengikut matahari) yang diperkenalkan oleh orang Rom. Takwim tersebut mula disebarkan sebaik sahaja Pemerintah Empayar Rom iaitu Julian Ceaser menakluk Mesir. Takwim tersebut dikenali dengan nama Takwim Solar Julian bersempena namanya. Dari segi sejarahnya, bulan Februari mempunyai 29 hari atau 30 hari pada tahun lompat. Namun disebabkan pemerintah Empayar Rom berikutnya iaitu Augustus Ceaser merasakan beliau juga sehebat Julian Ceaser, maka diperintahkan agar bulan Ogos (sempena namanya) berjumlah sama dengan bulan Julai (sempena nama Julian). Oleh itu jumlah hari dalam bulan Februari telah dikurangkan sehari dan ditambah ke bulan Ogos yang memperlihatkan jumlah hari yang sama bagi kedua-dua bulan Julai dan Ogos.
Berbalik kepada takwim berdasarkan kiraan bulan (lunar), takwim Hijrah merupakan antara takwim jenis ini yang digunakan meluas. Secara dasarnya takwim ini berpandukan kepada putaran bulan yang mana kemunculan anak bulan menandakan permulaan sesuatu bulan yang baru. Sama seperti kebanyakan takwim lain, kalender Hijrah turut mempunyai 12 bulan. Bagi tujuan penyelarasan dan kegiatan harian, kalender Hijrah telah menghasilkan formula setiap bulan ganjil berjumlah 30 hari sementara bulan genap pula dengan 29 hari. Namun bagi tujuan melaksanakan ibadah puasa dan sambutan Eidul Fitri maka pelaksanaan bermulanya bulan baru diasaskan kepada rukyah dan hisab dalam keadaan tertentu. Formula tersebut menjadikan jumlah hari dalam setahun adalah 354 hari berbanding tahun masihi yang berjumlah 365 hari. Sedarkah kita bahawa ketika kita merayakan ulangtahun kelahiran yang ke-33 (ikut tahun Masihi), kita sebenarnya sudah berusia 34 tahun menurut takwim Hijrah.
Bulan-bulan Takwim Hijrah
1. Muharram – 30 hari
2. Safar – 29 hari
3. Rabiul-Awwal – 30 hari
4. Rabiul-Akhir – 29 hari
5. Jamadil-Awwal – 30 hari
6. Jamadil-Akhir – 29 hari
7. Rejab – 30 hari
8. Syaban – 29 hari
9. Ramadhan – 30 hari
10. Syawal – 29 hari
11. Zulkaedah – 30 hari
12. Zulhijjah – 29 hari
Dari segi sejarahnya, kalender Hijrah ini mula diasaskan semasa pemerintahan Saidina Ummar al-Khattab. Beliau telah menetapkan 1 Hijrah bermula dari tahun di mana berlakunya peristiwa Hijrah atau perpindah Rasulullah dari Mekah ke Madinnah. Signifikannya peristiwa ini ialah bermulanya penyebaran Islam yang tertumpu di Kota Mekah ke kawasan di luar Mekah seperti di Madinnah. Dengan erti kata yang lain Hijrah adalah proses pengIslaman dunia atau dengan mudahnya globalisasi Islam. Mungkin jika tiada penghijrahan Rasulullah, Islam tidak sampai ke Malaysia. Peristiwa ini sebagaimana sering dikupas oleh para ustaz, adalah satu proses dakwah Islamiah secara terbuka oleh Rasulullah. Seperti yang pernah saya coretkan sebelum ini, tahun Hijrah yang dimulai dengan 1 Muharram sebenarnya satu proses tarbiyah dan dakwah agar umat Islam muhasabah diri supaya menjadi lebih mukmin atau insan dalam tahun baru tersebut.
Jika begitu halnya, kenapa kita terjerumus kuat dengan 1 Januari yakni tahun baru Gregorian/Masihi. Jelasnya tahun Masihi yang disimbolkan dengan ringkasan A.D. (Anni Domini Nostri Jesu Christi" yang bermaksud "dalam tahun Tuhan Kami Jesus Christ"). Namun kini ringkasan A.D. itu diganti dengan C.E. (Chritian Era) yang turut kita kenali sebagai Tahun Masihi (TM). Mengapa perlu kita umat Islam merayakan atau menjadikan 1 Januari titik mula ‘kehidupan baru’ sedangkan 1 Muharram tahun Hijrah itu lebih signifikan kepada diri serta keselurahan umat Islam serta warga dunia kerana kehadiran Islam itu sebagai rahmat kepada sekelian alam. Saya tidak menyatakan bahawa menyambut 1 Januari menjadikan kita bukan atau kurang Islam, tetapi persoalannya jika tidak orang Islam sendiri yang memartabatkan 1 Muharram sebagai tahun baru umat Islam siapa lagi yang akan berbuat demikian.
Marilah kita semarakkan tahun 1428 yang bakal menjelang kira-kira 11 hari lagi (19 Januari 2007). Jika kita biasa mengingat atau mencatat hari demi hari menggunakan tarikh Masihi, marilah kita turut catatkan tarikh Hijrah kita. Ulama pewaris Nabi, ummah pewaris Islam.
* Untuk bacaan lanjut sila lawat
http://astro.nmsu.edu/~lhuber/leaphist.html
http://ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=55&cmd=resetall
19 Zulhijjah 1427
08 Januari 2007
Monday, January 08, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment