Thursday, January 04, 2007

Ibadah Korban Di St.Lucia, Brisbane

Alhamdulillah, tahun ini 1427 Persatuan Pelajar Melayu Queensland (PPMQ) maju ke hadapan setapak lagi. Kalau Eidul Adha yang lalu diraikan dengan majlis jamuan BBQ di tepi Sungai Brisbane, buat pertama kali ini seekor lembu dan 6 ekor kambing ditumbangkan sebagai ibadah korban dan akikah para ahlinya. Bagi aku agak hebat juga sambutan ibadah korban PPMQ di St. Lucia, Queensland ini. Di Universiti Utara Malaysia pun 12 ekor lembu dan 2 kambing. Mungkin ini manifestasi tanda syukur akan kenaikan elaun pelajar tajaan kerajaan Malaysia yang menerima kenaikan elaun baru-baru ini. Jika hal ini berlaku, alhamdulillah rakan-rakan di sini begitu prihatin akan nikmat dan rezeki yang Allah anugerahkan.

Cuma bezanya di sini, tak dapatlah merasai upacara penyembelihan, melapah, dan memotong daging untuk dibahagi-bahagikan. Disebabkan peraturan pihak berkuasa tempatan, tempahan korban dilakukan terus kepada pihak peniaga daging. Yang sempat kami lakukan ialah membahagi-bahagikan daging yang telah siap diproses dengan membungkusnya sahaja. Walau bagaimanapun niat dan amalan tersebut berjaya disempurnakan oleh 12 pelajar di sini.

Majlis ibadah korban dilakukan pada 13 Zulhijjah 1427 bersamaan 3 Jan. 2007. Pagi-pagi lagi seawal jam 7.30am rakan-rakan dah berkumpul di rumah Sdr. Zul untuk memulakan proses memasak. Jam 8.30am, kami telah menerima beberapa kotak daging khususnya daging akikah. Ketua chef tidak lain dan tidak bukan Abang Khalid sementara Nas, Shamir, Sah dan aku memulakan proses memotong bawang, ubi, dan menyiapkan rempah ratusnya dengan dibantu oleh Nazir. Tatkala tengah memasak Abg. Syed, Hizmi, Latiff, Azraei, Nazri (bos Majlis Korban) dan Sharizal (bos PPMQ) menyertai kami.

Sambil-sambil memasak, proses membahagi dan membungkus daging korban pun dilakukan. Daripada 3 bahagian lembu yang diterima, hampir 45 bungkus daging telah siap dibahagi dan dibungkus. Jam 11.30am, kami mula mengangkut daging-daging ke Musolla (surau) Universiti Queensland. Daging-daging korban yang lain pun mula tiba daripada pihak penjual daging. Ketika itu dianggarkan 65 lagi bungkus daging lembu dan kambing diterima. Melihat jumlah daging yang begitu banyak, kami mula risau takut-takut tak terhabis daging-daging tersebut nak diagihkan. Rakan-rakan dari seberang sungai di West End hatta dari Gold Coast pun makin ramai yang sudah sampai.

Selepas solat Zohor, jamuan tengahari (kari kambing, kurma lembu dan nasi minyak) mula kami siapkan. Sesudah majlis ringkas dan doa akikah yang dipimpin oleh Ashrif, rakan-rakan daripada Timur Tengah, Indonesia, Singapura, Brunei, Pakistan dan lain-lain negara serta rakan-rakan PPMQ siap menunggu menikmati jamuan tengahari. Sejurus itu juga daging-daging korban mula diedarkan. Alhamdulillah hampir jam 2 petang kerisauan kami takut-takut daging tak terhabis edar surut sama sekali.

Bagi pasukan yang menjayakan program ini aku pasti bukan sahaja gembira kerana majlis ini dianggap berjaya, namun bagi diri aku sendiri banyak yang dipelajari. Nampaknya melalui program ini hal-hal berkaitan rukun, fardu dan sunnat tentang ibadah korban yang diperolehi secara sengaja mahupun tidak langsung. Inilah impak besar yang amat aku hargai disamping melaksanakan ibadah korban bagi kali kedua. Namun sedikit yang aku kesali kerana cuitan 3 hari sebelum majlis ini tentang kutipan derma untuk mangsa banjir di Johor dan gempa bumi di Acheh tak mendapat respon sesiapa. Tapi aku berdoa semoga ramai yang melalukan sesuatu khususnya menyumbang wang ringgit dalam membantu mangsa-mangsa tersebut. Rupanya banjir dan gempa bumi yang mungkin menjadi bencana sememangnya membuka ruang bagi yang berada dan tidak alpa menuai pahala. Ibadah korban pada hakikatnya adalah peringatan setiap tahun terhadap setiap yang mengaku dirinya muslim untuk mensyukuri nikmat Allah dengan berkorban harta atau wang ringgit bagi mengesakan Allah dan melaksanakan hakikat insan. Semoga Eidul Adha 1428 kita temui lagi dan memantapkan rasa syukur atas nikmat Allah kepada kita.

No comments: