Tuesday, July 24, 2007

Islam Makin Subur di Turki

Walaupun Turki tiada apa-apa pertalian peribadi, namun situasi di Turki menyediakan ruang kegembiraan di hati ini. Kurang lebih 80 tahun lampau, Kamel Artatuk yang dianggap bapa pemodenan Turki telah membina kebangkitan negara tersebut dengan acuan Eropah yang kuat digagaskan kepada pegangan sekular. Bapa sekular Turki tersebut dianggap sebagai wira pemodenan Turki tetapi beliaulah juga yang dilihat sebagai tonggak utama mengikis ketamadunan Islam di Turki. Namun setelah sekian lama, kebangkitan pemikiran Islam dalam persada politik negara mula menampakkan hasil bila mana pada 2002, Recep Tayyip Erdogan telah berjaya terpilih sebagai Perdana Menteri Turki yang pertama berpegang pada prinsip Islam setelah puluhan tahun di bawah pemerintahan sekular yang diasaskan oleh Kamel Artatuk.


Recep Tayyip Erdogan

Pilihanraya Umum Turki yang berlangsung pada 22 Julai 2007, telah membuktikan bahawa pimpinan Erdogan telah mewadahkan pemerintahan alternatif yang selama ini dikuasai oleh golongan sekular. Menurut laporan semasa pilihanraya Turki oleh BBC, parti AKP (Justice and Development Party) yang dipimpin oleh Erdogan telah diberi mandat lagi untuk memerintah Turki dengan menguasai 47% undi berbanding parti sekular terkuat Turki CHP (Republican People's Party) dengan penguasaan 21%. Walaupun sebelum pilihanraya, pihak tentera (yang berpengaruh kuat terhadap politik sekular) memberi indikator tidak menyebelahi parti AKP, namun rakyat Turki bangkit menerusi demokrasi memilih pemerintahan AKP.
Kamel Artatuk

Beberapa laporan dipetik mengatakan bahawa pemilihan AKP untuk terus memimpin Turki adalah berdasarkan prestasi yang telah ditonjolkan dalam membina semula kekuatan ekonomi dan demokrasi di Turki. Jika Turki, salah satu negara Islam yang telah disekularkan sekian lama boleh mengembalikan kegemilangan Islam. Bagaimana pula dengan negara-negara 'Islam' yang lain? Semakin kembali kepada paksi Islam atau semakin disekularkan?

Friday, July 20, 2007

Kelakarnya Pemimpin Kita ...

Pada minggu lepas, saya memetik penjelasan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri yang menyatakan orang Melayu mewakili hampir 70% daripada jumlah warganegara Malaysia yang melucutkan kerakyatan dan berhijrah ke negara lain. Pagi ini, tatkala membaca berita The Star, Menteri Dalam Negeri membuat kenyataan membetulkan kenyataan Timbalannya dengan menjelaskan hanya 10% sahaja orang Melayu yang sebenarnya melucutkan kerakyatan bagi mendapatkan kerakyatan di negara lain. Sebaliknya kaum Cina di Malaysia yang paling ramai meninggalkan negara yakni sekitar 80% daripada jumlah 106,333 orang sejak 50 tahun lepas. Bagi masyarakat Melayu, mungkin ramai yang berasa lega mendengar berita terbaru tersebut. Tetapi sebagai orang Melayu yang mana bangsa Melayu mendominasi pengurusan negara, persoalan kewibawaan, kebolehpercayaan serta soal keyakinan sedikit sebanyak terdetik.


Menteri Hal Ehwal Dlm Negeri Timbalan Menteri Hal Ehwal Dlm Negeri

Lantaran itu dari memberi fokus kenapa ramai Melayu berhijrah, kini persoalan yang timbul pula ialah bagaimana dan kenapa fakta serta data daripada Kementerian tersebut berbeza? Yang amat mengelikan hati saya apabila kedua eksekutif atasan tersebut dari kementerian yang sama. Bagaimana data yang serius menurut pandangan saya serta status kedudukan mereka dalam soal urus tadbir negara, fakta yang dikeluarkan boleh berbeza serta salah? Apakah ini juga melambangkan kurang cekapnya pengurusan negara yang besar kemungkinan membuat keputusan yang tidak tepat berdasarkan soal-soal seperti maklumat yang tidak tepat sebegini. Lebih merisuakan dan mencurigakan apabila tempoh lebih seminggu diambil untuk membetulkan fakta-fakta tersebut! Kecewa yang amat sangat apabila melihat situasi sebegini tatkala Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 kira-kira sebulan lagi.

Tuesday, July 17, 2007

Apa ada dengan kad sim telefon bimbit???

Hampir 2 minggu lepas, tekanan psikologi cukup kuat dirasakan. Tatkala Britain digemparkan dengan kejadian serangan penganas ke atas lapangan terbang Glasgow lewat Jun lalu, diyakini masyarakat Islam di Australia pasti berasa bahangnya. Sejak peristiwa di Glasglow, beberapa orang doktor Muslim dari India telah ditahan dan disoal siasat.


Dr. Mohammad Haneef

Namun suspek utama di Australia yang dikaitkan secara langsung dengan keganasan di Glasgow ialah Dr. Mohammad Haneef. Beliau, warganegara India yang berkhidmat di sebuah Hospital di Gold Coast, Australia telah ditahan di bawah Akta Anti Pengganas. Akta ini pula sering dan terus mendapat tentangan hebat daripada masyarakat tempatan di Australia kerana dianggap sebagai mencabuli hak undang-undang individu. Seperti juga Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia, undung-undang ini membenarkan seseorang itu ditahan tanpa dibicarakan untuk sesuatu tempoh. Walaupun undang-undang ini yang digazetkan pada Disember 2005 di Australia sebagai langkah pencegahan tindakan pengganas, ramai yang merasakan ianya mengundang ketidakadilan atau melanggar hak asasi perundangan sejagat yakni seseorang tidak patut dijatuhkan hukuman selagi belum diputuskan oleh mahkamah. Malah pemikiran masyarakat Australia yang menentang undang-undang ini khuatir akan akta ini dimanipulasikan bagi kepentingan politik pihak tertentu.
Kalau tidak silap, Dr. Mohammad Haneef merupakan individu yang keempat dikenakan perintahan tahanan mengikut akta ini selepas penahanan 2 individu yang dikaitkan dengan gerakan penganas Tamil Illam bulan lepas. Apakah Dr. Mohammad Haneef merupakan 'master mind' terhadap cubaan meletupkan lapangan terbang Glasgow? Yang pastinya, salah seorang yang ditahan didalam cubaan letupan itu mempunyai pertalian keluarga (sepupu) dengan beliau. Tetapi yang menjadi punca penahanan Dr. Mohammad setelah 3 hari selepas kejadian itu ialah kad sim telefon yang ditemui bersama kenderaan yang dikatakan cuba meletupkan lapangan terbang itu adalah kepunyaan Dr. Mohammad. Kad sekecil itulah dijadikan asas pembabitan beliau dengan tindakan pengganas. Menurut akta tersebut di Bahagian 103, adalah menjadi satu kesalahan di bawah akta tersebut apabila seseorang itu menyediakan apa juga bentuk bantuan terhadap gerakan pengganas. Kekerapan Dr. Mohammad menghubungi suspek yang ditahan di Glasgow juga dijadikan sandaran penglibatan beliau. Kenapakah pula isteri, bapa, ibu atau saudara mara beliau yang lain tidak diheret sama, mereka pun pastinya kerap menghubungi Dr. Mohammad serta sepupunya itu.

Namun setelah 12 hari ditahan, akhirnya pihak polis Australia sendiri meramalkan agak sukar membuktikan secara langsung dan kukuh penglibatan Dr. Mohammad. Berita terbaru pada pagi ini menyebut, beliau telahpun dibebaskan setelah 12 hari ditahan tanpa dibuat pertuduhan. Tetapi pihak Imigresen Australia pula telah menarik balik visanya dan membawa implikasi beliau seterusnya akan ditahan/tidak dibenarkan keluar dari Australia tanpa kelulusan Imigresen Australia. Pada pagi ini juga sekumpulan penunjuk perasaan telah hadir diperkarangan ibu pejabat polis Queensland menyatakan bantahan terhadap penahanan Dr. Mohammad dan sekaligus terhadap Akta Anti Terroris.


Penunjukan perasaan anti Akta Anti Terroris dan penahanan Dr. Mohammad Haneef
Sepanjang tempoh penahanan Dr. Mohammad, media tidak putus-putus menyiarkan berita penahanan beliau yang seterusnya dikaitkan dengan dengan gerakan terroris, militan dan ekstremis yang semuanya dirujuk kepada kumpulan-kumpulan Islam. Muka-muka depan akhbar, berita utama TV dan pelbagai lagi berita/rencana tentang Islam rancak diwacanakan sejak penangkapan Dr. Mohammad Haneef. Apakah agenda sebenar penahanan beliau? Apakah kerajaan Australia (atau PMnya sendiri) ingin menunjukkan belang sebagai penyokong utama Bush setelah Blair hampir mengundur diri? Apakah ini juga sebagai satu gerakkan pembersihan Bush setelah bekas Setiausaha Negara Amerika, Colin Powell mendedahkan cadangannya kepada Bush untuk tidak menyerang Iraq ditolak. Bagi Australia sendiri, malah tidak kurang juga di Malaysia berkemungkinan tindakan-tindakan seperti ini adalah satu proses gerak kerja pilihanraya umum yang kian hampir. Tatkala tinggal tidak sampai setahun lagi pilihanraya umum Australia, populariti pimpinan Howard dilaporkan dalam kedudukan tidak terjamin. Walaupun perlembagaan negara-negara membangun dan maju jelas menghuraikan dan memisahkan kehakiman, eksekutif dan legislatif, tetapi manipulasi merupakan formula paling kukuh dalam menjamin survival politik atau kuasa. Maka dengan itu, terroris mahupun anti terroris semuanya adalah demi survival kuasa atau politik. Mellinium baru ini, tema 'perjuangan' telah beralih dari komunisme kepada terrorisme.

Wednesday, July 11, 2007

638 hari dari Bumi Asing

Masa berlalu begitu pantas. Pergi tanpa kembali, hadir kadangkala bagai tak bersedia. Begitulah hebat peringatan daripada Allah, dalam kalamNya dititipkan, "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan dengan kesabaran" (Al-Asr). Tatkala menghitung hari, detik ini sudah 638 hari dilalui mencari jalan mencapai jihad di bumi asing, Australia. Tatkala tuntutan belajar yang cukup hebat rencamnya terus bertambah di universiti tangga ke-45 dunia, hati dan rindu pada tanah tumpah darah ku tak pernah surut. Berada di negara yang digelar negara maju pasti tidak menghentikan minda berfikir tentang negara sendiri. Disiplin kerja, tahap pemikiran malah yang lebih hebat sikap tiap individu yang merata erti dan amalan penuh kemanusiaannya membuat hati sedih mengenang nasib rakyat negara sendiri. Bagaimana pula sekiranya mereka ini ditakdirkan suatu hari ini pula beriman dengan Allah. Subhanallah, jika ini berlaku dapat diramalkan mereka ini akan menjadi Muslim yang lebih hebat lagi kental berbanding dengan diri dan mungkin orang Melayu di Malaysia hatta nusantara.

Namun rasa syukur tidak pernah sunyi apabila mengenang takdir Allah untuk berada di bumi Australia ini. Mungkin pesan Rasulullah, tuntulah ilmu hingga ke negeri China cukup signifikan untuk ditafsir apabila melihat negara asing dalam suatu realiti tersendiri. Timbul persoalan, apakah orang Melayu di Malaysia patut keluar dan memerhatikan bangsa asing untuk mereka melakukan lonjakkan paradigma? Adakala rasanya perlu, tetapi kekadang rasanya tidak wajar pula apabila mengenangkan perilaku-perilaku anak-anak muda yang bukan sahaja hilang idenititi Melayu, tetapi tengelam terus jati diri Melayunya. Bercakap soal pegangan (agama), apatah lagi hendak diharapkan.

Tatkala meniti hari yang ke-638, tersentak dengan berita dari Malaysia yang menyatakan 106,000 rakyat Malaysia bertindak melucutkan kerakyatan Malaysia dan mendapatkan kerakyatan dari negara lain sepanjang tempoh kira-kira 11 tahun lepas. Lebih terkejut lagi dilaporkan bangsa Melayulah yang paling ramai berbuat demikian dengan peratusan kira-kira 70% atau sejumlah 79199 orang. Apakah dan bagaimana ini boleh berlaku? Apakah orang Melayu sudah tidak berasa nasib umpama pepatah Melayu, 'Hujan emas di negeri orang, hujan batu dinegeri sendiri' atau bangsa Melayu itu sudah senasib dengan bahasanya yang telah menjadi Bahasa Malaysia seolah hilang jati diri Melayu itu.

Sunday, July 08, 2007

Catatan... PhD

Hampir sebulan lebih tiada catatan dibuat di blog ini. Bukannya terlalu sibuk dengan PhD sehingga tiada masa untuk nukilkan apa-apa, tetapi minda berkecamuk mengenang nasib Islam dan umatnya mutakhir ini. Rupanya usaha bersepadu, dinamik dan startegik oleh golongan tertentu terhadap Islam sungguh berhasil. Jika ditanya apakah cabaran besar dalam perjuangan PhD ini, tanpa ragu-ragu lagi cukup yakin akan ku katakan mempertahankan dan menegakkan Islam. Mungkin ramai akan kata siapa kita untuk mempertahankan Islam ... sedangkan pemimpin-pemimpin Islam atau ahli politik sendiri tidak berupaya melakukan ... siapalah kita? Kita bukan nabi, bukan wali, bukan ulama, dan banyak bukan lagi. Namun inilah alasan-alasan yang telah melemahkan Islam dan mirip pemikiran sekular (memisahkan kehidupan sosial, politik, ekonomi daripada Islam).

Jika kita hayati amalan dalam sembahyang fardhu pada rakaat pertama yang disebut doa Iftitah (Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan Semesta alam), ia pasti menjelaskan serta mengingatkan kita bahawa sebagai seorang Islam, apa sahaja tindakan kita adalah kerana Allah. Ia juga menjadi pedoman jelas apakah dan bagaimana tindak tanduk serta perlakukan sebagai seorang Islam wajar kita laksanakan. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam untuk mempertahankan dan mendaulatkan Islam tanpa mengira kedudukan dan status sosial, ekonomi serta politiknya.

Apakah belajar itu satu tuntutan Islam? Pastinya semua akan agak bersetuju selaras dengan wahyu awal Allah ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW iaitu 'Iqra'. Namun persoalan yang lebih releven lagi adalah sejauhmana, sebagai umat Islam kita berjihad dalam konteks menuntut ilmu. Apakah memadai untuk kita menuntut ilmu dalam sesuatu bidang yang masih belum dikuasai oleh umat Islam. Pastinya ia suatu kewajipan tatkala bidang ilmu itu belum diterokai oleh umat Islam atau disebut tuntutan itu sebagai fardhu kifayah. Apakah kerana belum ramai umat Islam memegang ijazah lanjutan seperti sarjana dan PhD maka kita dituntut mencapai ke peringkat tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua yang disebut tadi saya anggap hanyalah tuntutan asas yang wajar dimuhasabah senantiasa.

Menginsafi dan menghayati umat Islam sebagai khairul ummah (umat yang terbaik) dan Islam adalah agama sepanjang zaman, maka tuntutan yang lebih besar, kompleks dan menyeluruh wajar digarap oleh umat Islam. Apatah lagi ketamadunan Islam dengan cendiakawan-cendiakawan Islam peneroka pelbagai bidang ilmu suatu ketika dulu memberi satu tafsiran bahawa umat Islam mesti menolak kejumudan dalam berpelajaran. Malangnya hari ini, sungguhpun ramai orang Islam berjaya menjejaki peringkat-peringkat tinggi institusi keilmuan, namun kita hanya mencapai apa yang dikatakan memperolehi ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah tetapi tidak menyumbang kepada ketamadunan ilmu Islamiah. Kita bangga dengan pencapaian kita, namun kita kurang sedar akan sumbangan kita sebagai khairul ummah kepada bidang ilmu tersebut. Kita capai tahap tertinggi ilmu, tetapi kita kurang atau langsung tidak menyumbang kepada bidang ilmu sebagai seorang khairul ummah. Sedarkah kita bahawa rata-rata ilmu yang kita perolehi adalah hasilan falsafah pemikiran sekular yang mana sebagai seorang Islam kita harus menganggapnya sebagai tidak sempurna. Tidak sempurna selagi mana prinsip, matlamat dan aplikasinya tidak mengEsakan Allah.

Dalam konteks 'jihad', sebagai seorang pelajar kita punya aset besar serta menanti diakhirat sana laba/faedah yang cukup lumayan. Tetapi adakah sekadar cukup sahaja untuk kita bergelar pelajar maka kita tergolong dalam kumpulan 'jihad' yang dijanjikan Allah ganjaranNya? Apakah dengan status pelajar yang turut sama membawa saham 'jihad', kita boleh berasa lega menantikan ganjaran di dunia serta akhirat kelak? Apakah matlamat mendapatkan ijazah Sarjana atau PhD menjadikan kita Muslimin atau Muslimat 'istimewa' kerana jihad itu? Kalau diteliti konsep 'jihad' itu, jelas lagi kukuh maksudnya yakni berjuang dijalan Allah. Persoalannya sekarang, apabila kita menuntut sampai ke Master atau PhD, ianya demi jalan Allah atau demi survival diri serta keluarga kita di dunia ini. Semaklah kembali nawaitu kita belajar ini, ianya disebabkan tuntutan kerja, tuntutan untuk naik pangkat, tuntutan bagi mendapat pendapatan yang lebih baik, atau apa-apa sahaja yang berkaitan kepentingan hidup kita yang mengatasi pegangan kita yakni Islam. Berapa ramai diantara kita yang mempunyai iltizam untuk mengenegahkan pemikiran Islam dalam bidang ilmunya? Berapa ramai yang telah menonjolkan keilmuan Islam dalam bidang ilmunya, atau sekurang-kurangnya mengutarakan sedikit sebanyak rujukan daripada ilmuan Islam. Namun yang lebih hebat lagi siapakah diantara kita yang berupaya untuk 'mengIslamkan' ilmu-ilmu dalam bidangnya. Saya berpandangan inilah yang boleh antara lain ditafsir sebagai 'jihad' dalam pelajaran.

Jihad dalam pelajar tidak mungkin dapat dicapai andai kata, Quran dan hadis hanya kita jadikan sebagai panduan dan rujukan soal-soal ibadah sahaja. Atau dibacanya kalam Allah dan sunnah Rasul itu sebagai satu kelaziman. Jika ini yang berlaku maka kita sebenarnya terus jumud dalam kerangka pemikiran sekular yang mana 'kejumudan' menjadi prinsip asas pemikiran sekular iaitu agama dan kehidupan adalah dan mesti terpisah.


Aku, Nerawi dan Latiff ... dihari keramat, 20 Jun 2007