Dr. Mohammad Haneef
Namun suspek utama di Australia yang dikaitkan secara langsung dengan keganasan di Glasgow ialah Dr. Mohammad Haneef. Beliau, warganegara India yang berkhidmat di sebuah Hospital di Gold Coast, Australia telah ditahan di bawah Akta Anti Pengganas. Akta ini pula sering dan terus mendapat tentangan hebat daripada masyarakat tempatan di Australia kerana dianggap sebagai mencabuli hak undang-undang individu. Seperti juga Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia, undung-undang ini membenarkan seseorang itu ditahan tanpa dibicarakan untuk sesuatu tempoh. Walaupun undang-undang ini yang digazetkan pada Disember 2005 di Australia sebagai langkah pencegahan tindakan pengganas, ramai yang merasakan ianya mengundang ketidakadilan atau melanggar hak asasi perundangan sejagat yakni seseorang tidak patut dijatuhkan hukuman selagi belum diputuskan oleh mahkamah. Malah pemikiran masyarakat Australia yang menentang undang-undang ini khuatir akan akta ini dimanipulasikan bagi kepentingan politik pihak tertentu.
Kalau tidak silap, Dr. Mohammad Haneef merupakan individu yang keempat dikenakan perintahan tahanan mengikut akta ini selepas penahanan 2 individu yang dikaitkan dengan gerakan penganas Tamil Illam bulan lepas. Apakah Dr. Mohammad Haneef merupakan 'master mind' terhadap cubaan meletupkan lapangan terbang Glasgow? Yang pastinya, salah seorang yang ditahan didalam cubaan letupan itu mempunyai pertalian keluarga (sepupu) dengan beliau. Tetapi yang menjadi punca penahanan Dr. Mohammad setelah 3 hari selepas kejadian itu ialah kad sim telefon yang ditemui bersama kenderaan yang dikatakan cuba meletupkan lapangan terbang itu adalah kepunyaan Dr. Mohammad. Kad sekecil itulah dijadikan asas pembabitan beliau dengan tindakan pengganas. Menurut akta tersebut di Bahagian 103, adalah menjadi satu kesalahan di bawah akta tersebut apabila seseorang itu menyediakan apa juga bentuk bantuan terhadap gerakan pengganas. Kekerapan Dr. Mohammad menghubungi suspek yang ditahan di Glasgow juga dijadikan sandaran penglibatan beliau. Kenapakah pula isteri, bapa, ibu atau saudara mara beliau yang lain tidak diheret sama, mereka pun pastinya kerap menghubungi Dr. Mohammad serta sepupunya itu.
Namun setelah 12 hari ditahan, akhirnya pihak polis Australia sendiri meramalkan agak sukar membuktikan secara langsung dan kukuh penglibatan Dr. Mohammad. Berita terbaru pada pagi ini menyebut, beliau telahpun dibebaskan setelah 12 hari ditahan tanpa dibuat pertuduhan. Tetapi pihak Imigresen Australia pula telah menarik balik visanya dan membawa implikasi beliau seterusnya akan ditahan/tidak dibenarkan keluar dari Australia tanpa kelulusan Imigresen Australia. Pada pagi ini juga sekumpulan penunjuk perasaan telah hadir diperkarangan ibu pejabat polis Queensland menyatakan bantahan terhadap penahanan Dr. Mohammad dan sekaligus terhadap Akta Anti Terroris.
Penunjukan perasaan anti Akta Anti Terroris dan penahanan Dr. Mohammad Haneef
Sepanjang tempoh penahanan Dr. Mohammad, media tidak putus-putus menyiarkan berita penahanan beliau yang seterusnya dikaitkan dengan dengan gerakan terroris, militan dan ekstremis yang semuanya dirujuk kepada kumpulan-kumpulan Islam. Muka-muka depan akhbar, berita utama TV dan pelbagai lagi berita/rencana tentang Islam rancak diwacanakan sejak penangkapan Dr. Mohammad Haneef. Apakah agenda sebenar penahanan beliau? Apakah kerajaan Australia (atau PMnya sendiri) ingin menunjukkan belang sebagai penyokong utama Bush setelah Blair hampir mengundur diri? Apakah ini juga sebagai satu gerakkan pembersihan Bush setelah bekas Setiausaha Negara Amerika, Colin Powell mendedahkan cadangannya kepada Bush untuk tidak menyerang Iraq ditolak. Bagi Australia sendiri, malah tidak kurang juga di Malaysia berkemungkinan tindakan-tindakan seperti ini adalah satu proses gerak kerja pilihanraya umum yang kian hampir. Tatkala tinggal tidak sampai setahun lagi pilihanraya umum Australia, populariti pimpinan Howard dilaporkan dalam kedudukan tidak terjamin. Walaupun perlembagaan negara-negara membangun dan maju jelas menghuraikan dan memisahkan kehakiman, eksekutif dan legislatif, tetapi manipulasi merupakan formula paling kukuh dalam menjamin survival politik atau kuasa. Maka dengan itu, terroris mahupun anti terroris semuanya adalah demi survival kuasa atau politik. Mellinium baru ini, tema 'perjuangan' telah beralih dari komunisme kepada terrorisme.
No comments:
Post a Comment