Tuesday, July 24, 2007

Islam Makin Subur di Turki

Walaupun Turki tiada apa-apa pertalian peribadi, namun situasi di Turki menyediakan ruang kegembiraan di hati ini. Kurang lebih 80 tahun lampau, Kamel Artatuk yang dianggap bapa pemodenan Turki telah membina kebangkitan negara tersebut dengan acuan Eropah yang kuat digagaskan kepada pegangan sekular. Bapa sekular Turki tersebut dianggap sebagai wira pemodenan Turki tetapi beliaulah juga yang dilihat sebagai tonggak utama mengikis ketamadunan Islam di Turki. Namun setelah sekian lama, kebangkitan pemikiran Islam dalam persada politik negara mula menampakkan hasil bila mana pada 2002, Recep Tayyip Erdogan telah berjaya terpilih sebagai Perdana Menteri Turki yang pertama berpegang pada prinsip Islam setelah puluhan tahun di bawah pemerintahan sekular yang diasaskan oleh Kamel Artatuk.


Recep Tayyip Erdogan

Pilihanraya Umum Turki yang berlangsung pada 22 Julai 2007, telah membuktikan bahawa pimpinan Erdogan telah mewadahkan pemerintahan alternatif yang selama ini dikuasai oleh golongan sekular. Menurut laporan semasa pilihanraya Turki oleh BBC, parti AKP (Justice and Development Party) yang dipimpin oleh Erdogan telah diberi mandat lagi untuk memerintah Turki dengan menguasai 47% undi berbanding parti sekular terkuat Turki CHP (Republican People's Party) dengan penguasaan 21%. Walaupun sebelum pilihanraya, pihak tentera (yang berpengaruh kuat terhadap politik sekular) memberi indikator tidak menyebelahi parti AKP, namun rakyat Turki bangkit menerusi demokrasi memilih pemerintahan AKP.
Kamel Artatuk

Beberapa laporan dipetik mengatakan bahawa pemilihan AKP untuk terus memimpin Turki adalah berdasarkan prestasi yang telah ditonjolkan dalam membina semula kekuatan ekonomi dan demokrasi di Turki. Jika Turki, salah satu negara Islam yang telah disekularkan sekian lama boleh mengembalikan kegemilangan Islam. Bagaimana pula dengan negara-negara 'Islam' yang lain? Semakin kembali kepada paksi Islam atau semakin disekularkan?

No comments: