Hampir sebulan lebih tiada catatan dibuat di blog ini. Bukannya terlalu sibuk dengan PhD sehingga tiada masa untuk nukilkan apa-apa, tetapi minda berkecamuk mengenang nasib Islam dan umatnya mutakhir ini. Rupanya usaha bersepadu, dinamik dan startegik oleh golongan tertentu terhadap Islam sungguh berhasil. Jika ditanya apakah cabaran besar dalam perjuangan PhD ini, tanpa ragu-ragu lagi cukup yakin akan ku katakan mempertahankan dan menegakkan Islam. Mungkin ramai akan kata siapa kita untuk mempertahankan Islam ... sedangkan pemimpin-pemimpin Islam atau ahli politik sendiri tidak berupaya melakukan ... siapalah kita? Kita bukan nabi, bukan wali, bukan ulama, dan banyak bukan lagi. Namun inilah alasan-alasan yang telah melemahkan Islam dan mirip pemikiran sekular (memisahkan kehidupan sosial, politik, ekonomi daripada Islam).
Jika kita hayati amalan dalam sembahyang fardhu pada rakaat pertama yang disebut doa Iftitah (Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan Semesta alam), ia pasti menjelaskan serta mengingatkan kita bahawa sebagai seorang Islam, apa sahaja tindakan kita adalah kerana Allah. Ia juga menjadi pedoman jelas apakah dan bagaimana tindak tanduk serta perlakukan sebagai seorang Islam wajar kita laksanakan. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam untuk mempertahankan dan mendaulatkan Islam tanpa mengira kedudukan dan status sosial, ekonomi serta politiknya.
Apakah belajar itu satu tuntutan Islam? Pastinya semua akan agak bersetuju selaras dengan wahyu awal Allah ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW iaitu 'Iqra'. Namun persoalan yang lebih releven lagi adalah sejauhmana, sebagai umat Islam kita berjihad dalam konteks menuntut ilmu. Apakah memadai untuk kita menuntut ilmu dalam sesuatu bidang yang masih belum dikuasai oleh umat Islam. Pastinya ia suatu kewajipan tatkala bidang ilmu itu belum diterokai oleh umat Islam atau disebut tuntutan itu sebagai fardhu kifayah. Apakah kerana belum ramai umat Islam memegang ijazah lanjutan seperti sarjana dan PhD maka kita dituntut mencapai ke peringkat tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua yang disebut tadi saya anggap hanyalah tuntutan asas yang wajar dimuhasabah senantiasa.
Menginsafi dan menghayati umat Islam sebagai khairul ummah (umat yang terbaik) dan Islam adalah agama sepanjang zaman, maka tuntutan yang lebih besar, kompleks dan menyeluruh wajar digarap oleh umat Islam. Apatah lagi ketamadunan Islam dengan cendiakawan-cendiakawan Islam peneroka pelbagai bidang ilmu suatu ketika dulu memberi satu tafsiran bahawa umat Islam mesti menolak kejumudan dalam berpelajaran. Malangnya hari ini, sungguhpun ramai orang Islam berjaya menjejaki peringkat-peringkat tinggi institusi keilmuan, namun kita hanya mencapai apa yang dikatakan memperolehi ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah tetapi tidak menyumbang kepada ketamadunan ilmu Islamiah. Kita bangga dengan pencapaian kita, namun kita kurang sedar akan sumbangan kita sebagai khairul ummah kepada bidang ilmu tersebut. Kita capai tahap tertinggi ilmu, tetapi kita kurang atau langsung tidak menyumbang kepada bidang ilmu sebagai seorang khairul ummah. Sedarkah kita bahawa rata-rata ilmu yang kita perolehi adalah hasilan falsafah pemikiran sekular yang mana sebagai seorang Islam kita harus menganggapnya sebagai tidak sempurna. Tidak sempurna selagi mana prinsip, matlamat dan aplikasinya tidak mengEsakan Allah.
Dalam konteks 'jihad', sebagai seorang pelajar kita punya aset besar serta menanti diakhirat sana laba/faedah yang cukup lumayan. Tetapi adakah sekadar cukup sahaja untuk kita bergelar pelajar maka kita tergolong dalam kumpulan 'jihad' yang dijanjikan Allah ganjaranNya? Apakah dengan status pelajar yang turut sama membawa saham 'jihad', kita boleh berasa lega menantikan ganjaran di dunia serta akhirat kelak? Apakah matlamat mendapatkan ijazah Sarjana atau PhD menjadikan kita Muslimin atau Muslimat 'istimewa' kerana jihad itu? Kalau diteliti konsep 'jihad' itu, jelas lagi kukuh maksudnya yakni berjuang dijalan Allah. Persoalannya sekarang, apabila kita menuntut sampai ke Master atau PhD, ianya demi jalan Allah atau demi survival diri serta keluarga kita di dunia ini. Semaklah kembali nawaitu kita belajar ini, ianya disebabkan tuntutan kerja, tuntutan untuk naik pangkat, tuntutan bagi mendapat pendapatan yang lebih baik, atau apa-apa sahaja yang berkaitan kepentingan hidup kita yang mengatasi pegangan kita yakni Islam. Berapa ramai diantara kita yang mempunyai iltizam untuk mengenegahkan pemikiran Islam dalam bidang ilmunya? Berapa ramai yang telah menonjolkan keilmuan Islam dalam bidang ilmunya, atau sekurang-kurangnya mengutarakan sedikit sebanyak rujukan daripada ilmuan Islam. Namun yang lebih hebat lagi siapakah diantara kita yang berupaya untuk 'mengIslamkan' ilmu-ilmu dalam bidangnya. Saya berpandangan inilah yang boleh antara lain ditafsir sebagai 'jihad' dalam pelajaran.
Jihad dalam pelajar tidak mungkin dapat dicapai andai kata, Quran dan hadis hanya kita jadikan sebagai panduan dan rujukan soal-soal ibadah sahaja. Atau dibacanya kalam Allah dan sunnah Rasul itu sebagai satu kelaziman. Jika ini yang berlaku maka kita sebenarnya terus jumud dalam kerangka pemikiran sekular yang mana 'kejumudan' menjadi prinsip asas pemikiran sekular iaitu agama dan kehidupan adalah dan mesti terpisah.
Aku, Nerawi dan Latiff ... dihari keramat, 20 Jun 2007
Sunday, July 08, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment