Saturday, September 06, 2008

Perginya Tokoh Kewartawanan Malaysia ...

Entri yang lepas, baru saja memperihalkan beberapa peristiwa besar dalam negara yang mencatatkan sejarah tersendiri. Pada 4 September 2008 pula, satu lagi catatan sejarah terlakar. Seorang insan yang wajar diangkat sebagai antara pelopor kewartawanan Malaysia meninggalkan nama di dunia dan mengadap penciptaNya ... Abdul Samad Ismail, nama agung dalam dunia kewartawanan negara telah meninggal dunia. Tan Sri Abdul Samad Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Samad telah berkecimpung dalam dunia kewartawanan seawal usia muda sekitar pertengahan belasan tahun.


Dari sudut dunia komunikasi atau lebih khusus lagi kewartawanan, sumbangan besar Pak Samad adalah berusaha membentuk perspektif kewartawanan tempatan. Ini terbukti apabila beliau telah memainkan peranan besar ke arah pembebasan tanah air daripada penjajahan menerusi nilai pemberitaan yang menjurus ke arah kemerdekaan negara. Malah beliau juga berusaha mempengaruhi pembangunan serta pembinaan negara menerusi wadah berita atau kewartawanan. Hal ini jelas apabila kelantangan lidah kepengarannya telah membuat siapa saja yang berkuasa pasti berusaha 'memadamkan' semangatnya. Dalam hal ini Pak Samad yang telah mengalirkan darah kewartawanan dalam dirinya sejak zaman pemerintahan British, telah ditangkap di bawah 3 kuasa pemerintahan yakni pemerintahan British, Jepun dan juga di bawah ISA oleh pemerintah Malaysia sendiri dari 1976-1981. Namun, akhirnya segala sumbangannya serta perjuangannya itu dihormati menerusi pengurniaan Ramon Magsaysay Award for Journalism, Literature and Creative Communications Arts pada 1994. Mungkin juga tidak keterlaluan jika Pak Samad digelar bapa pembangunan kewartawanan negara.

Berapa ramaikah wartawan hari ini yang mempunyai jiwa besar seperti Pak Samad yang berani mempertaruhkan diri dan meletakan kerjaya sebagai perjuangan memartabatkan masyarakat? Berapa ramaikah editor berita hari ini perjuangannya tinggi yang lebih rela meletakkan nilai berita mengatasi nilai komersial? Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Pak Samad...Al-Fatihah


No comments: