Friday, September 22, 2006

Tribulasi kehidupan para sahabat : Khubaib bin Adie

Khubaib bin 'Adie merupakan antara pahlawan Islam semasa Perang Badar. Beliau telah disula oleh kaum Musyrikin ketika melaksanakan tugas dakwah sekitar kota Mekah. Kaum Musyrikin bertindak demikian sebagai tindakan balas terhadap Khubaib.

Ketika beliau dinaikan ke atas kayu salib, kaum Musyrikin telah berkata kepadanya, "Kembalilah semula (kepada agama asalnya) daripada agama Islam, nanti engkau akan kami bebaskan!" Sahut Khubaib,"Tidak, demi Allah! Aku tidak suka keluar daripada Islam meskipun diberikan seluruh isi bumi ini" seraya memandang ke arah qiblat. Lalu mereka memalingkan arah pandangannya ke arah lain. Terus dijawabnya "Walau ke mana arah pun kamu mengalihkan wajahku Allah tetap berada bersama ku", Allah telah berfirman maksudnya "Ke manapun kamu berpaling, maka di sana adalah wajah Allah" (Al-Baqarah: 115).

Lalu Khubaib dihampiri 40 orang Musyrikin yang masing-masing memegang lembing. Mereka berkata, "Inilah orangnya yang telah membunuh bapa-bapa kamu di dalam Perang Badar". Ketika tubuhnya dirobak-robak oleh lembing-lembing kaum Musyrikin itu, Khubaib memalingkan dirinya ke arah ka'abah sambil menyatakan, "Alhamdulillah! Syukur kepada Allah yang telah mengalihkan wajahku ke arah kiblat yang diredhaiNya". Kemudian beliau berpaling semula kepada kaum Musyrikin lalu mengungkapkan rangkap-rangkap berikut:

Berbagai puak sekelilingku berhimpun
Dari merata datang berduyun
Anak dan isteri dibawa semua
Menyaksikan aku di pelepah kurma

PadaMu Tuhan ku adukan derita
Di tempat nan dagang aku diseksa
Sabarlah aku menumpuh ujian
Dagingku dicincang, habislah harapan

Darpada kufur ku pilih mati
Airmata mengalir tanpa sedih di hati
Tidaklah takutkan pada kematian
Tapi neraka menghangus badan

Sekiranya Allah menghendaki berkat
Pada anggotaku yang hancur lumat
Persetan tubuhku dibunuh mati
Untuk Allahlah kematianku pasti...

(Dipetik daripada; Fathi Yakan,1981)

No comments: