Monday, June 23, 2008

6 Tahun Berlalu...Al-Fatihah

Dikala hampir larut malam, tiba-tiba terasa ingin membelek-belek dokumen-dokumen lama yang disimpan secara digital. Sudah hampir 3 hari tidak membaca cerita politik Malaysia. Tetapi malam ini 'folder' yang naluri kuat menuju ialah 'folder' politik. Setelah beberapa fail dibuka, terdapat satu dokumen tertulis Fadzil Noor. Hari ini, 23 Jun enam tahun yang lalu, negara kehilangan seorang tokoh politik yang agak tersohor iaitu Dato Ustaz Fadzil Noor mantan Presiden Parti Islam SeMlaysia (PAS). Ustaz Fadzil yang dilahirkan pada Mac 1937 telah kembali kerahmahtullah ketika usia 65 tahun. Masih teringat lagi ustaz telah diberi penghormatan yang baik daripada kerajaan walaupun beliau merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia ketika itu. Jenazah beliau telah diterbangkan khas dengan pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia dari Kuala Lumpur ke Kepala Batas, Alor Setar.

Pada mulanya memang aku berhasrat untuk hadir ke majlis pengebumian Ustaz, tetapi disebabkan kelewatan jenazah tiba di Alor Setar dan juga kerja-kerja di pejabat telah menyebabkan hasrat itu terbantut. Ditambah lagi nasihat dan makluman dari rakan-rakan yang lebih dahulu sampai di tempat bakal beliau disemadikan, dipujuk hati untuk melupakan hasrat tersebut. Kesesakan kenderaan ke tempat pengebumian beliau di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena telah kelihatan dari Alor Setar lagi. Di Madrasah inilah juga membuat aku terkenang bersua secara nyata dengan Ustaz Fadzil tatkala beberapa kali mendengar ceramah beliau ketika menuntut di universiti dahulu hinggakan dipanggil bersoal jawab dengan pihak pengetua kolej kediaman.

Sebagai bekas Pensyarah universiti, Ustaz Fadzil mempunyai kehebatan berpidato yang bersahaja tetapi tetap mantap. Ini diakui sendiri oleh beberapa ahli politik termasuk di kalangan bukan Islam. Bagi aku, sumbangan besar Ustaz Fadzil ialah meletakan PAS dalam arus perdana politik Malaysia. Malah yang lebih terkesan ialah gerakan dan perjuangan Islam untuk kesejahteraan semua. Tanpa dapat dinafikan beliau dianggap sebagai tokoh pemimpin PAS yang mahsyur dalam politik moden Malaysia. Semoga allahyarham sejahtera di sana...Al-Fatihah.

Tuesday, June 17, 2008

Hitam itu menawan!

Minggu lepas terasa sangat meletihkan. Mengadap komputer mentranskripsikan temubual kajian bukan sahaja meletihkan tetapi agak tertekan. Adakalanya bagaikan nak termuntah, marah, tertekan, menyesal, ... dan sebagainya. Namun memujuk hati, apa pula keadaan kehidupan orang kampung, orang miskin, orang susah tatkala harga minyak naik. Rasanya membaca penjelasan dan berita tentang hal-hal tersebut lagi memualkan.



Barack Obama dan Tiger Woods

Kehidupan umpama bola, kekadang di atas, adakalanya di bawah. Malah bola sepak juga sudah berubah dari segi bahan, kualiti dan coraknya. Minat, harapan dan kepercayaan manusia juga berubah. Siapa sangka, dua 'budak' hitam telah mempengaruhi pandangan serta kehidupan orang putih di abad ke-21 ini. Lebih seminggu yang lepas, bekas Wanita Pertama (First Lady) Amerika tunduk menghormati hak ramai yang menyokong Barack Obama sebagai calon Presiden Amerika. Siapa sangka 'budak' hitam itu bakal memimpin negara nombor satu dunia.
Keletihan pada minggu lepas juga telah mengundang minat untuk menonton televisyen. Tatkala selepas subuh mula menurunkan tirainya, beberapa transkripsi dilakukan, alat kawalan jauh tv ditekan punatnya. Pertandingan Golf Terbuka US kali ke-108 yang memulakan episod baru terpancar di kaca tv. Lama sudah sukan ini ditinggalkan sejak menapak di Brisbane ini. Hampir 2 tahun lebih hanya 3 kali sahaja batang-batang golf hinggap ditangan. Tetapi episod Terbuka US ke-108 ini agak berbeza. Tiger Wood, jaguh golf yang terkemuka menjadi tumpuan. Tiger Woods yang baru menjalani pembedahan lutut dijangka kurang menyerlah. Beberapa berita yang dibaca juga memberi sedikit keadaan tidak mesra 'orang putih' kepada 'budak hitam' ini. Memang sejak hari pertama lagi bukan sahaja para pengulas bersikap sedikit 'tidak mesra' terhadap Woods, malah ada juga penonton yang mencemuh 'budak hitam' ini. Inilah realiti yang terpancar ditengah-tengah siaran langsung kejohanan tersebut tanpa dapat diselindung. Namun bintang golf tersebut tetap mendapat sambutan hangat.
Ramai orang kata GOLF adalah permainan 'Golongan Orang Lemah Fikiran'. Tetapi menyaksikan para pemain terutamanya Tiger Wood, golf adalah permainan yang mencabar fizikal, perasaan, minda, dan persekitaran. Bermain golf anda menguji kecekalan dan ketabahan diri kerana kekalahan dan kemenangan kesemuanya dalam kawalan anda ... orang lemah fikiran sewajarnya bermain golf untuk meningkatkan jati diri. Ada orang kata Woods hebat kerana dia Tiger Woods, ada orang kata dia hebat kerana Allah kurniakan keistimewaan kepadanya. Apa pun begitulah pemurahnya Allah dan hebat ciptaanNya.
Rupanya setelah puluhan tahun, Barack Obama muncul menggantikan Martin Luther King sebagai wira 'hitam' di dunia 'putih'. Manakala Tiger Woods pula mengambil tempat Muhammad Ali... dua budak hitam dalam dunia putih yang pasti kelihatan menawan.

Monday, June 09, 2008

Yang Ditunggu Tiba Lagi

Sejak berada di bumi Brisbane ini, awal tahun dan pertengahan tahun merupakan saat yang dinantikan. Bukan sebabnya ia detik permulaan 'summer' dan 'winter' di sini, tetapi kebiasaannya pada dua ketika ini ramai pencinta buku yang agak kekurangan 'isi dompetnya' membeli sakan. Brisbane Lifeline Bookfest bagi tahun ke-18 edisi kedua kembali lagi. Dengan hampir 1 juta naskah buku terpakai bakal menjadi milik pengunjung, manakala hasilnya disalurkan pula kepada perkhidmatan kaunseling percuma kepada masyarakat di sini.




Seperti tahun terdahulu, pesta buku ini diadakan di Brisbane Convention Center bermula 7 hingga 10 Jun 2008. Dengan harapan untuk tidak terkilan, seawal 8.30pagi kami sekeluarga bergegas ke sana dengan harapan untuk menjadi antara pengunjung terawal dan demi mengelakan kekecewaan. Baru 8 minit dibuka, tiga ruang pameran yang setiap satu seluas 5000 meter persegi sudah dipenuhi orang ramai. Untuk mengoptimakan masa, anak-anak (Ariff & Ammar) ditinggalkan di bahagian buku kanak-kanak agar mereka mencari sendiri buku yang diminati. Aku dan isteri masing-masing mencari buku yang berkenan di hati. Setelah hampir 2 jam, kami berkumpul semula dan beredar ke kaunter bayaran. Kesemuanya 48 buah buku kami sambar dengan nilai hanya AUD52 (sekitar RM150). Memang berbaloi, hampir 8 buah buku kulit tebal yang kami dapatkan. Kalau ikutkan hati hendak lagi lama di situ, namun apakan daya bila anak-anak mula tak senang duduk dan kepenatan.



Bersama sebahagian buku dari Lifeline Bookfest 2008


Buku-buku yang dijual diperolehi dari dalam dan luar negara. Banyak juga buku-buku akademik yang hebat (awal...dah kuningpun) boleh diperolehi jika bernasib baik. Apapun, bila agaknya pesta sebegini akan berlaku di negara sendiri. Moga satu hari nanti ia akan berlaku dan semoga masyarakat Malaysia menjadikan membaca buku sabagai satu budaya sepanjang hayat. Malah bagi umat Islam, mencari ilmu dengan membaca membawa makna yang cukup besar.

Wednesday, June 04, 2008

10sen...Ooohh..30sen...Haaa..78sen

Dua hari lepas, menteri yang bertanggungjawab meramalkan harga petrol di Malaysia akan naik tiga puluh sen seliter mulai Ogos 2008. Tetapi hari ini, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa harga petrol di Malaysia akan naik mulai 5 Jun 2008 dengan kenaikan bukan 30sen tetapi 78sen dari RM1.92/liter kepada RM2.70/liter. Rupa-rupanya badi tsunami pilihanraya ke-12 Malaysia baru-baru ini seakan-akan petanda pelbagai lagi tsunami akan melanda berbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia. Dengan maklumat yang berjaya dikumpul, kenaikan kali ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah sekitar 20 tahun kebelakangan ini iaitu kenaikan 40.6% daripada harga sebelum ini.

Sebelum 90an - RM 0.89
Tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)
01/10/2000 - RM 1.20 (kenaikan RM 0.10)
20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)
01/05/2002 - RM 1.32 (kenaikan RM 0.02)
31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
01/03/2003 - RM 1.35 (kenaikan RM 0.02)
01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)
01/10/2004 - RM 1.42 (kenaikan RM 0.05)
05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)
31/07/2005 - RM 1.62 (kenaikan RM 0.10)
28/02/2006 - RM 1.92 (kenaikan RM 0.30)
05/06/2008 - RM2.70 (kenaikan RM 0.78)


Walaupun kenaikan adalah pasti (seiring dengan fenomena sejagat), namun kenaikan yang mendadak ini pastinya sukar buat masyarakat. Pengalaman di negara orang ketika ini menyatakan, kenaikan harga petrol menjanjikan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang lain. Di Australia umpamanya, kenaikan harga petrol hampir 50% berbanding dengan harga pada 3 tahun lepas. Namun kenaikan tidaklah begitu mendadak secara sekaligus. Walaupun harga petrol melonjak naik, namun masyarakat di Brisbane umpamanya masih mampu mengawal keadaan ekonomi masing-masing memandangkan sistem serta infrastruktur pengangkutan awamnya memang boleh diharapkan dan boleh dipercayai. Bukan setakat bas masuk hampir setiap pelusuk kawasan, malah sistemnya bersifat intergratif lagi sistematik. Itupun masih lagi kedengaran suara dan luahan ketidakpuasan masyarakat terhadap sistem yang bagi saya mendahului Malaysia 10 tahun kehadapan. Sekurang-kurangnya, walaupun petrol masih mahal, kebajikan dan kemudahan masyarakat terus terjamin. Hatta, sejak kos petrol meningkat mendadak sekitar 2 tahun lepas, pihak pengusaha pengangkutan awam sudah mula merangka strategik menangani permasalahan ini. Kini, boleh dikatakan sekurang-kurangnya 40% bas di Brisbane bukan sahaja rendah kos bahan apinya, tetapi mesra alam juga dengan lebih 35% daripada jumlah basnya menggunakan gas (CNG) berbanding petrol. Malah jadual dan segala maklumat lengkap perjalanan bus disediakan menerusi internet. Namakan saja anda di mana dan ke mana hendak pergi, beberapa cadangan laluan berserta jam dan jarak menunggu bas semuanya anda tahu.

Bas awam di Brisbane
Bagaimana halnya keadaan pengangkutan awam tatkala petrol meningkat di Malaysia...rasanya makin 'bermasalah' lagi berkemungkinan. Kekadang terfikir juga...apa pak/mak menteri, pegawai tinggi kerajaan atau pegawai-pegawai kerajaan buat bila melakukan lawatan kerja seluruh dunia? Dari mulut seorang bekas pegawai perancang bandar DBKL yang saya temui di Brisbane hampir 2 tahun lalu, katanya ...'KL sekarang umpamanya dah patut jadi macam Brisbane sekurang-kurangnya Brisbane 5 tahun lalu...kita dihantar untuk mengkaji dan menerapkan sistem infrastruktur Brisbane ke KL. Tapi bila 'orang politik' mula masuk, cadangan tinggal kenangan...'.



Tuesday, June 03, 2008

Harapkan Pagar ...Pagar Makan ...

Masalah jenayah berlalu dan silih berganti tanpa meletakkan titik noktah. Sejak mengenali penyalahgunaan dadah dan seangkatan dengannya, hari demi hari berita penangkapan penagih, pengedar dan penyeludup dadah tidak pernah terhenti. Secanggih mana sekalipun peralatan dan teknologi pencegahan, masalah ini tidak pernah terhenti. Bukan baru usaha dilakukan untuk membenteras jenayah ini, sudah berzaman dan berdekad...keadaan tetap sama. Undang-undang jenayah dadah di Malaysia bukan calang-calang. Pernah Malaysia hampir 'berbalah' dengan negara jiran serta serantau apabila hukuman kesalahan dadah dijatuhkan ke atas rakyat asing. Tetapi jenayah dadah di Malaysia tiada penamat.


Semasa kecil, tatkala keluarga menyewa kongsi sebuah rumah di tengah-tengah bandar Georgetown, gejala ganja dan dadah tidak asing. Boleh dikatakan tiap minggu pasti terserempak anak jiran serumah hanyut dengan dadah. Sedih, kasihan malah takut ada saja pada perasaan. Alhamdulillah, kami adik-beradik tiada seorangpun yang terkesan dengan fenomena 'bahana' serumah tersebut. Apabila teringatkan si anak jiran tu, kelakar pun ada juga. Bila mana si mamat ni 'high' menarik pula cerita-ceritanya yang terkeluar dari mulutnya. Lebih hebat lagi bila mengenangkan nasihat-nasihat daripada dia sendiri agar jauhi ganja dan dadah ... mungkin inilah yang dikatakan sedar tetapi miskin atau 'papa' hidayah.


Sejak di sekolah menegah lagi, persoalan sosial seperti ini kerap otak ini memikirkan musabab dan penyelesaian. Bingung juga bila macam-macam dilakukan oleh pelbagai pihak, tetapi masalah tetap berlanjutan. Membaca suratkhabar The Australian pagi ini mengesahkan lagi hipotesis yang terbenak sekian lama jauh dalam pemikiran. 'Top cop arrested over $120m ice scheme' dengan sebuah foto terpampang besar di muka depan akhbar The Australian. Seorang Pesuruhjaya Kanan Polis telah ditangkap kerana disabitkan dengan sindiket penyeludupan dadah ke Australia. Mark Standen, Penolong Pengarah Suruhanjaya Jenayah telah dikenalpasti oleh pihak perisikan Australia sebagai individu penting dalam usaha menyeludup dadah ke negara itu. Malah menurut laporan akhbar tersebut, beliau bukan sahaja dalang dalam proses menyeludup, tetapi juga telah melaksanakan strategis dalam 'menyilap mata' usaha penguatkuasaan. Benarlah teori dalam Islam yang menekankan aspek kepimpinan dan pemimpin. Pemimpin itu haruslah taat kepada Allah serta Rasul. Kalaulah kita punya ketua atau pemimpin di kalangan umat Islam, yang ketaatannya pada Allah serta Rasulpun sudah goyah...apakah mungkin mampu memimpin kita ke arah kesejahteraan dunia apatah lagi akhirat.




Mark Standen


Berbalik kisah di Australia tu...mungkin juga di 'kampung kita' perkara yang sama berlaku...